Friday, December 4, 2009

Kejutan yang hambar


DIDIE dan suaminya, Isham sepatutnya sudah terkeluar.


KEJUTAN undian masuk untuk program realiti tarian terbitan Astro, Sehati Berdansa 3 telah diumumkan pada minggu keenam pertandingan. Walaupun berita itu mengejutkan pasangan yang tersingkir minggu itu, Didie Alias dan Nor Isham Ismail serta empat pasangan lain yang tersingkir sebelumnya, penonton pula menerimanya dengan perasaan hambar.

Mungkin sudah biasa dengan kejutan sebegitu yang pernah digunakan untuk program realiti lain, jadi audiens hanya melihatnya sebagai salah satu taktik Astro mempelbagaikan format Sehati Berdansa yang statik sejak diterbitkan tahun 2007.

Namun, tidak kira apa motif keputusan itu dibuat, ia merupakan berita gembira kepada lima pasangan yang tersingkir kerana diberi peluang kedua dan berkemungkin besar akan bertanding pada finalnya nanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) jika mampu bertahan selepas dimasukkan semula.

"Sebenarnya kami merancang format program sebelum musim ketiga ini bermula. Kami mengikut format program itu sendiri yang dibeli daripada India, Nach Baliye dan memang ada konsep undian masuk. Jadi undian masuk memang perancangan kami dari awal lagi.

"Pada awal program, kami telah memberitahu semua peserta bahawa terdapat satu minggu tribute yang memerlukan semua peserta berada di studio. Namun, mereka tidak mengetahui mengenai undian masuk. Ini adalah kejutan bagi mereka," kata Penerbit Eksekutif Sehati Berdansa 3, Norazian Zahir ketika ditemui selepas siaran program itu.

Mereka yang tersingkir selain daripada Didie ialah Enot dan Zainul Abidin, Mirnawan Nawawi dan Noorah Mokhsin, Oshin dan Mohd Firdaus serta Anita Baharom dan Mohamad Ismadi.

Mereka diberi masa seminggu untuk berlatih dan keempat-empat pasangan yang terselamat, Sazzy Falak dan Nazril Idrus, Sein dan Noor Diyana Muhammad, Isma dan Zulkefli Majid serta Dira dan Ash pula direhatkan untuk jangkamasa itu.

"Lima pasangan yang akan bertanding perlu memilih tema dan lagu yang pernah dijayakan oleh empat pasangan yang terselamat. Pemilihan pasangan yang berpeluang untuk bertanding sekali lagi pula terletak di tangan penonton.

"Maka, ini bermaksud pihak juri tidak akan memberi markah seperti biasa tetapi hanya mengulas persembahan mereka. Kami mahu memberi peluang kepada penonton memilih peserta kegemaran mereka," tambah Norazian.

Undian masuk Sehati Berdansa 3 telah bermula pukul 10.30 malam, Ahad lalu. Penonton hanya boleh mengundi menerusi SMS dengan menaip SB Masuk <Nama Pasangan> dan hantarkan ke 32999. Memandangkan pertandingan akhir akan berlangsung pada 26 Disember ini, apakah bermaksud ada dua pasangan yang akan disingkirkan dalam satu minggu nanti?

"Kami belum menentukan lagi sama ada untuk menyingkirkan dua orang atau menambahkan jumlah finalis. Itu kejutan yang akan diberitahu nanti," jelas Norazian lagi.


SEMUA peserta awal kembali berentap pada minggu ke-7 selepas dimasukkan semula.


Tahan semula tangisan

Menari dengan bertemankan lagu Ladki Baadi Anjani Hai (Kuch Kuch Hota Hai) pada minggu bertemakan Malam Bollywood, Didie dan suaminya, Isham sudah dapat merasa mereka akan disingkirkan minggu itu. Dengan markah terendah sebanyak 52 peratus, pasangan itu bagaimanapun gembira dengan kejutan undian masuk.

"Memang dari awal kami merasakan kami akan disingkirkan kerana markah juri kami amat rendah. Mungkin disebabkan kami agak penat atas faktor usia saya. Malah saya sudah mahu menangis tetapi tidak jadi apabila berita itu diumumkan. Kami akan cuba lagi kerana diberi peluang kedua," kata Didie.

Mereka yang mewakili Persatuan Epilepsi Malaysia berjaya mengumpul RM6,000 untuk badan amal itu. Berasa gembira untuk bertahan sehingga enam minggu, Didie merasakan peluang untuk memasuki semula pertandingan adalah berdasarkan rezeki masing-masing.

"Semuanya bergantung kepada undian peminat. Kami sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan. Apa yang penting adalah kerja amal. Lagipun bukan senang untuk bertahan untuk begitu lama. Memasuki pertandingan itu bukan satu tugas yang mudah untuk berlatih selama lima jam sehari. Tapi kami semakin menikmatinya," kata Didie.

Minggu lalu, pasangan Dira mendahului peserta lain di tangga teratas dengan markah 57 peratus diikuti Isma (56 peratus), Sein (56 peratus) dan Sazzy (54 peratus).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: