Friday, December 4, 2009

Bicara luka seorang wanita




BICARAKANLAH sampai ke penghujung hari sekalipun, emosi bercampur-campur dan simpati yang meluluh rasa terhadap budak perempuan bernama Natrah Maarof atau Huberdina Maria Hertogh tidak mudah terhenti.

Sudah 59 tahun peristiwa bersejarah itu berlaku tetapi ingatan terhadap Natrah ternyata masih berbekas. Apatah lagi, Natrah atau juga dikenali sebagai Bertha Hertogh baru sahaja meninggal dunia akibat penyakit leukimia pada usia 72 tahun, Julai lalu.

Natrah pernah mencetuskan kontroversi yang bukan kecil impaknya terhadap negara. Banyak isu yang telah diperdebatkan, banyak juga kesimpulan yang sudah digulung.

Maka timbul bermacam andaian, begitu dan begini, namun riwayat Natrah sudah tercatat begitu.

Lantas, apa lagi yang mahu dihujahkan sang pengarah bernama Erma Fatima apabila teater yang meriwayatkan susuh hidup Natrah itu dipentaskannya di lantai Panggung Sari, Istana Budaya?


PERTAMA kali beraksi di pentas teater, Maya memberikan kesan dramatik kepada watak Natrah ditemani Umie Aida yang melakonkan watak sebagai ibu angkatnya, Aminah


Masih mengetengahkan kontroversi yang pernah membakar sensitiviti agama, perkauman dan politik yang pernah berlaku 59 tahun lalu, bagaimanapun di tangan Erma, Natrah nampaknya berjaya dicanai dalam nahu dan lenggok tersendiri.

Dibandingkan teater ini dengan filem Jasmin yang diterbitkan pada 1984, kisah Natrah di tangan Erma menjurus konflik cinta seperti mana ungkapan 'Cinta, Perjuangan dan Airmata' yang dipilih sebagai tagline teater ini.

Atas kefahaman itulah, tanpa menuding jari atau berat sebelah menyalahkan mana-mana pihak, plot Natrah berjalan sempurna. Dari kasih dan cinta seorang ibu angkat dan anak anak angkatnya, penonton dibuai rasa dengan cinta dua jiwa yang saling ingin memiliki - cinta Natrah lakonan Maya Karin terhadap Mansor Adabi (Remy Ishak).

Walaupun tidak kesampaian untuk hidup bersama, pertemuan beberapa ketika serta perkahwinan yang direncanakan sepantas kilat antara mereka berdua tetap menguntumkan bunga-bunga bahagia antara mereka.

Babak cinta antara Natrah dan Mansor hanya dipersembahkan tidak lebih daripada tiga babak tetapi kemurnian hubungan mereka berdua masih dapat dikesan hingga akhir cerita.


TRAGEDI Natrah turut membuktikan penyatuan di kalangan kaum Melayu yang turut berjuang untuk mempertahankan gadis Inggeris itu supaya kekal dalam jagaan keluarga angkatnya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.


Penampilan pertama Maya dan Remy sebagai pasangan kekasih juga antara aura yang memberikan seri kepada naskah tulisan Al Jafree Md Yusof itu.

Saya percaya ada getar di jiwa setiap penonton ketika menyaksikan saat romantik antara Mansor dan Natrah usai selamat diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri.

Puas dengan cinta dua beranak angkat dan cinta pertama sepasang kekasih yang baru ingin memadu asmara, perasaan penonton diusik pula dengan perjuangan cinta seorang ibu yang menagih kasih anak kandungnya.

Penampilan Samantha Schubert sebagai Adeline Hertogh awalnya menimbulkan kebencian penonton terhadapnya memandangkan Che Aminah (Umie Aida) bermati-matian mempertahankan bahawa Natrah telah diserahkan sendiri Adeline kepadanya sebagai anak angkat.

Adeline dan Che Aminah sama-sama kelihatan terdesak. Mereka terdesak mahukan Natrah atas alasan hak, hak sebagai ibu kandung dan hak sebagai ibu angkat.

"Saya juga meletakkan diri saya sebagai ibu. Adeline Hertogh itu ibu kandung Natrah. Dia cuma mempertahankan haknya sebagai ibu. Sekiranya Natrahnya itu dilahirkan sebagai anak Islam, sudah pasti dia akan dituntut bermati-matian oleh keluarga Islamnya," ujar Erma yang ditemui usai malam kedua pementasan.

Disebabkan itulah kata Erma, sengaja dia membiarkan penonton menentukan sendiri kepada siapakah yang harus mereka letakkan rasa simpati. Penonton akan bersimpati terhadap Adeline kerana Natrah adalah darah dagingnya. Penonton juga simpati pada Che Aminah kerana selain dia yang menjaga Natrah sejak kecil, dia juga berusaha untuk mempertahankan akidah gadis yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

Ketika Che Aminah dan Adeline berkeras merebut Natrah, gadis muda itu sendiri sebenarnya punya perasaan. Dari lakonan Maya, Natrah kelihatan sangat lurus, dia hanya mahukan kehidupan dan kasih sayang daripada orang-orang yang ikhlas menjaga dan menyayanginya.

Natrah adalah mangsa cintanya sendiri. Dalam baris monolog Sofia Jane yang memainkan watak Natrah pada usia 70 tahun ada berbunyi: "Aku seperti pemburu yang diburu haiwan buruanku."

Monolog-monolog Natrah banyak berkisar tentang cintanya tentang kesakitan dan azab yang dilaluinya apabila terperangkap dalam kasih sayang dan perebutan dua keluarga.

Secara tersiratnya juga, Erma menegaskan pengucapan cinta Natrah mungkin menyimpan banyak pengertian.

"Dalam monolog Natrah pada usia 70 tahun, dia hanya bercakap tentang cinta, tetapi tidak mengkhususkan cintanya sama ada kepada Mansor, ibu angkatnya Che Aminah atau Tuhan. Saya mahu tinggalkan persoalan itu untuk dinilai sendiri oleh penonton.

"Perasaan simpati kita juga melimpah pada Natrah kerana dia menjadi mangsa keadaan atas apa yang berlaku," jelas Erma merujuk kepada babak monolog membabitkan Natrah, Che Aminah dan Adeline yang diakui cukup membekas di hati penonton.

Persis perang tiga penjuru, pengucapan monolog Umie, Samantha dan Maya tentang hak dan keinginan masing-masing itu kelihatan cukup dramatik walaupun Samantha bermonolog dalam bahasa Inggeris.


AIRMATA Natrah tidak pernah berhenti mengalir semenjak menjadi rebutan.


Dalam pada itu, walaupun pertama kali beraksi dalam teater Melayu persembahan Maya sudah boleh dibanggakan walaupun di awal latihan dia diakui Erma sedikit ketinggalan berbanding Umie, Sofia dan Samantha yang miliki 'enjin turbo' dalam teater.

Muzik Bollywood cetuskan persoalan

Segala tentang teater itu menghampiri kesempurnaan bahkan setanding teater kelas 'A', Puteri Gunung Ledang The Musical yang perah mencetuskan fenomena ketika di pentas di IB.

Natrah cukup membuai penonton dengan kisah yang pernah menggegarkan negara, ia bersulam baris-baris skrip yang sarat emosi dan menyentuh rasa serta lakonan mantap daripada pelakon-pelakon berkarakter.

Kemunculan semula Sofia Jane ke pentas teater cukup mengubat kerinduan semua kepadanya. Begitu juga dengan Umie dan Samantha yang berjaya meruntun hati semua. Namun, di tengah-tengah keasyikan itu, tetap ada rungutan terhadap Natrah.

Tindakan Erma sengaja menggunakan elemen muzik Bollywood mengundang persoalan. Ada yang mendengus kecewa kerana ritma muzik yang melatari permainan emosi Natrah cepat mengingatkan semua terhadap aksi Shah Rukh Khan dan Aishwarya Rai dari filem Mohabbatein dan Kajol, Kuch Kuch Hotai Hai.

Tidaklah sampai mencacatkan tetapi nilai kemelayuan teater itu sedikit tersasar.

Bagaimanapun saya percaya, sebagai pengarah sudah pasti Erma ada muslihat tersendiri. Diajukan persoalan itu kepadanya, begini jawab Erma:

"Saya tahu ada pengkritik dan pemerhati akan membuka mulut, mereka pasti kurang gemar dengan muzik sedemikian tetapi saya tetap dengan kehendak saya.


AKHIRNYA, Natrah kembali ke agama asalnya, satu episod sedih yang perlu dijadikan iktibar.


"Teater ini penuh dengan tekanan, kesedihan, kekecewaan, kemarahan bahkan kebencian. Jadi, sengaja saya masukkan elemen Bollywood untuk mengalihkan emosi penonton.

"Saya mahu penonton berkhayal, biar ada rasa gembira sikit. Ia semata-mata untuk hiburan, sedikit nilai komersial dan kelainan kepada sentuhan saya."

Hari ini, malam keempat Natrah menangis di Istana Budaya dan masih ada beberapa malam lagi sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada semua.

Entah bila ia akan kembali tetapi di jiwa semua, teater itu meninggalkan ingatan. Tanah Melayu pernah kehilangan Natrah.

Dia dikatakan sudah murtad dan memilih gereja sebagai kiblatnya tetapi dalam masyarakat akhir zaman hari ini, sebenarnya ramai lagi Natrah yang harus diperhatikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: