Friday, December 4, 2009

Kaspersky Mahu Jadikan Malaysia Pangkalan Asia Tenggara



KUALA LUMPUR, 4 Dis Kaspersky Lab, penyedia penyelesaian keselamatan Teknologi Maklumat (IT) utama, berminat menjadikan Malaysia sebagai pangkalannya bagi rantau Asia Tenggara dengan menubuhkan pusat analisis virus, pusat penyelidikan dan pembangunan atau pusat sokongan panggilan.

Ketika ini, syarikat dari Russia itu hanya mengedarkan produknya di Malaysia.

"Kami sibuk sekarang kerana ini merupakan suku terakhir tahun kewangan kami, tetapi kami yakin rancangan itu akan dilaksanakan pada akhir tahun depan," kata Pengarah Urusan Kaspersky Lab Asia-Pacific, Harry Cheung.

Pengasas Kaspersky Lab, Eugene Kaspersky, menyuarakan pendapatnya untuk membuka pusat penyelidikan dan pembangunan di sini semasa lawatan beliau ke Malaysia pada Oktober.

Cheung berkata syarikat itu sedang berunding dengan pihak-pihak berkaitan dan hasil daripada rundingan tersebut akan diumumkan tahun depan.

"Malaysia merupakan sebuah negara yang unik, memiliki semua ciri-ciri untuk menjadi pangkalan kami bagi rantau Asia Tenggara," katanya kepada BERNAMA selepas melancarkan Kaspersky 1Malaysia Collectable Stamps bersempena dengan hari pertama Pameran PC PIKOM 2009.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Pos Niaga Datuk Mearia Hamzah.

Cheung berkata Kaspersky memilih Malaysia kerana pasaran di sini sesuai bagi operasi syarikat itu.

"Kami merupakan penyedia penyelesaian keselamatan IT nombor satu di Malaysia, kedudukan yang diperoleh hanya dalam tempoh yang singkat. Itulah sebabnya mengapa kami yakin Malaysia boleh menjadi lokasi yang tepat bagi pusat-pusat kami," katanya.

Mengenai perkembangan berkaitan, Kaspersky menyasar meningkatkan bahagian pasaran sebanyak 10 peratus sebagai penyedia penyelesaian keselamatan IT utama di Malaysia kepada 60 peratus daripada 50 peratus ketika ini.

"Berdasarkan kepada pelan hala tuju kami, tahun depan akan menjadi tahun bagi kami mengukuh dan menaik taraf standard, kualiti produk dan keupayaan kami.

"Kami tidak menjangkakan pertumbuhan yang besar, tetapi kedudukan nombor satu yang kami pegang sekarang tidak tergugat pada bila-bila masa," tegasnya.

Mengenai lokasi tepat pusat-pusat itu, Cheung enggan mendedahkan sebarang maklumat mengenainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: