Thursday, December 10, 2009

Bukan kreativiti Bollywood

Mencuba nasib dalam bidang perfileman dan drama Malaysia, siapa sangka sutradara dari New Delhi ini

mampu berdiri teguh seperti hari ini. Drama Nur Kasih mengangkat Kabir Bhatia ke satu lagi kelas tersendiri.




LELAKI ini bukanlah anak kelahiran tempatan, namun dia telah membina reputasinya dengan menghasilkan karya drama dan filem Melayu yang unik untuk dipertontonkan kepada rakyat Malaysia.

Ternyata pengalaman lebih 12 tahun dalam industri penerbitan di negara ini dan tiga tahun di India berjaya menjadikan pengarah dan penerbit kreatif, Kabir Bhatia sebagai satu fenomena baru kepada industri seni tanah air.

Jika sesiapa menonton hasil drama-dramanya, Kabir memberikan suntikan yang berbeza dalam setiap karyanya. Selain mempunyai skrip dialog yang hebat, teknik visual dan sinematografi adalah signatur Kabir yang membuatkan penonton begitu asyik dengan penggambaran setiap babak.

Namun bagi Kabir kehebatannya di mata umum sebenarnya disebabkan individu yang menjadi tulang belakangnya iaitu penulis skrip yang juga merupakan isterinya, Mira Mustaffa.

Kolaborasi pasangan suami isteri itu cukup menjadi dan tiada siapa menyangka kehadiran mereka berdua dalam dunia seni lakonan telah membuka lembaran baru dalam penerbitan drama mahupun filem Malaysia.

Sutradara yang berasal dari New Delhi, India itu sebenarnya memancing minat khalayak sejak filem Cinta dan Sepi memasuki industri perfileman Malaysia. Naskhah itu membuatkan orang ramai membuka mata terhadap kredibiliti dan kehebatan mereka dalam berkarya.

Lebih manis lagi, kolaborasi dua anak seni ini telah membuahkan hasil yang membanggakan apabila Cinta dinobatkan sebagai Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-20 dan Anugerah Skrin (ASK) kesembilan pada tahun 2007.

Kreativiti pasangan itu berkembang pula di layar kaca menerusi drama bersiri, Kekasihku Seru yang ditayangkan tahun lalu menerusi slot Seram di TV3.


DRAMA Nur Kasih mencatatkan rating penonton lebih 4.1 juta pada episod terakhir.


Siapa sangka percaturan Kabir dan Mira dalam genre seram telah mengubah pandangan sesetengah pihak terhadap mereka yang beranggapan kekuatan Kabir dan isterinya itu hanya setakat filem dan drama cinta.

Kabir sekali lagi berada di pentas ASK 2009 apabila menerima Anugerah Drama Rantaian Terbaik bagi drama Kekasihku Seru yang diadakan baru-baru ini.

Akhirnya tiada siapa yang dapat menolak, drama-drama arahan Kabir seperti Idaman, Astana Idaman, Tower 13, Hartamas, Frontpage, Lebih Bisa Dari Jelatang, Panggung, Jodoh dan Mastura pasti akan meniti di bibir penonton.

Terbaru dan paling menyerlahkan kehebatan sutradara prolifik ini, apabila drama bersiri Nur Kasih yang dilakonkan oleh Remy Ishak, Fizz Fairuz, Tiz Zaqiyah dan Ummi Nazeera telah mencetuskan fenomena baru apabila berjaya mencatat rating penonton yang tinggi. Bahkan, Nur Kasih setakat ini sudah tiga kali diulang tayang di TV3.


KABIR (kanan) menerima Anugerah Drama Rangkaian Terbaik dalam Anugerah Skrin 2009 baru-baru ini.


Melalui kajian dan sumber yang dikeluarkan oleh AGB Nielsen Media Research, episod terakhir drama bersiri 26 episod itu telah mengumpulkan lebih 4.1 juta atau 59 peratus penonton di depan kaca TV untuk menyaksikan drama terbitan Filmscape & Juita Viden Sdn. Bhd. itu.

Resipi kejayaannya? Lelaki ini memastikan bukan sahaja dia yang perlu berkarya dalam drama-drama yang dihasilkan, sebaliknya krew-krew penerbitan juga perlu memberikan kerjasama dan mengeluarkan idea kreatif yang berbeza setiap kali penggambaran.

"Jika orang berpendapat bahawa saya mencetuskan fenomena, tidak juga. Kerana bukan saya seorang yang bekerja dalam setiap pembikinan drama, sebaliknya ia dilakukan dengan kerjasama sebuah kumpulan iaitu orang di belakang tabir. Kami berganding bahu dalam mengeluarkan pelbagai idea unik untuk dipaparkan kepada umum.

"Paling penting, setiap drama yang dihasilkan, saya buat seolah-olah ia merupakan pembikinan sebuah filem dan setiap babak akan dijaga kualitinya sebaik mungkin.

"Selain itu, saya akan memastikan isi kandungan dalam sesebuah drama itu akan ada suntikan idea-idea baru dari segi jenis penggambaran, kualiti gambar dan yang paling penting perjalanan cerita dan skrip agar ia nampak padat dan tidak meleret.

"Bila skrip bagus, cara kerja kita juga akan menjadi lebih lancar. Oleh kerana isteri saya melakukan kerja-kerja penulisan skrip, ia membuatkan kerja saya sedikit mudah kerana kami saling memahami apa yang ingin kami hasil dan paparkan pada penonton.

"Oleh kerana saya masih lagi kurang fasih berbahasa Melayu, isteri saya akan membuat skrip khas untuk saya di mana ia telah dialih bahasa ke bahasa Inggeris.

"Ketika di lokasi pula, saya mempunyai krew yang hebat membantu saya untuk memahami bahasa Melayu.

"Bagaimanapun, saya tak ada resipi-resipi kejayaan kerana memang sebegini cara kerja saya dan saya rasa setiap pengarah mempunyai gaya pengarahan yang berbeza," jelasnya yang sekali sekala turut bertelagah pendapat dengan isterinya ketika sesi melampas otak.


MANJALARA juga antara naskhah drama yang mendapat sentuhan Kabir.


Kreativiti bukan dari India

Ramai yang berpendapat Kabir membawa cara kerjanya di India sebelum ini untuk diaplikasikan dalam pembikinan drama di industri hiburan tempatan.

Salah tanggapan itu. Bagi Kabir, lebih elok jika penghasilan drama itu dilakukan mengikut rentak dalam sesebuah negara agar ia sebati dengan jiwa penonton.

Konsep mengaplikasikan pengalaman kerjanya di Bollywood hanya digunakan mengikut kesesuaian penerbitan tempatan yang agak 'tenang' berbanding di negara itu.




"Industri perfileman dan televisyen di India sangat agresif dan persaingan antara syarikat-syarikat penerbitan sangatlah sengit. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk melariskan produk mereka.

"Berbeza pula di Malaysia, pembikinan drama mahupun filem dihasilkan mengikut landasan sensitiviti masyarakat dan garis panduan yang diberi. Saya sebagai orang luar, tak bolehlah nak bawa cara kerja saya di India ke sini.

"Saya perlu mengikut rentak penonton Malaysia, barulah ia lebih mudah untuk saya dan krew lain bekerja.

"Cuma saya aplikasikan cara kerja yang pantas dalam setiap penerbitan drama dan filem. Saya akan tekan krew-krew yang bekerja dengan saya untuk menjadi lebih pantas dan cekap. Sesiapa yang pernah bekerja dengan saya, mereka tahu apa yang akan saya ajar kepada mereka.

"Dalam pada itu saya juga mendapat tahu yang orang ingat segala peralatan penggambaran saya datang dari luar negara. Itu tidak benar sama sekali. Saya menggunakan peralatan teknikal yang sama seperti produksi lain pakai.

"Perlu diingat, pembikinan drama dan filem bukan terletak pada peralatan teknikal yang digunakan tetapi ia bergantung cara kita menggunakan peralatan tersebut," katanya yang masih lagi mencari cerita-cerita baru dan segar untuk didramakan.

Tambah sutradara itu, dia perlu banyak belajar mengenai budaya Malaysia serta perkara-perkara berkaitan dalam mendapatkan sentuhan yang lebih baik ketika berkarya.

Sebelum ini, ada juga timbul isu pihak tertentu mempersoalkan kelayakan Kabir apabila memenangi beberapa anugerah berprestij.

Faham dengan situasi industri seni yang agak kecil dan terbatas, Kabir tidak kisah jika karyanya tidak mendapat sebarang anugerah. Cuma dia mahu karyanya diangkat oleh mata penonton.

"Saya tak kisah tentang hal itu. Saya faham kerana isu ini juga berlaku di mana-mana sahaja termasuklah di negara saya sendiri, India.

"Apa-apa pun saya gembira kerana karya saya diterima sehingga menjadi satu fenomena baru dalam industri drama di Malaysia," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: