Friday, December 18, 2009
Johan tidak sabar bergelar ayah
Sebut sahaja nama Johan, ramai yang mula mengukir senyuman. Mana tidaknya, Johan yang lahir daripada program realiti Raja Lawak musim pertama ini boleh membuatkan sesiapa sahaja tertawa dengan gelagat spontannya. Ditambah pula menjadi hos program Raja Lawak pada musim kedua.
Ternyata gandingan Johan dan Zizan memberi kelainan kepada program itu dan mereka terus diberi kepercayaan untuk mengacarakan program Raja Lawak musim ketiga dan seterusnya musim baru yang bakal bersiaran tidak lama lagi.
Walaupun sibuk dengan bidang pengacaraan, Johan juga aktif sebagai pelakon. Drama Rabunnya Cinta memperlihatkan bakat Johan sebagai pelakon. Tidak setakat pengacaraan digandingkan bersama Zizan, malah Johan dan Zizan diberikan peranan utama untuk drama bersiri iaitu Capal Rela yang akan disiarkan di saluran Astro tidak lama lagi.
“Saya rasa bertuah dan berterima kasih kepada pihak yang nampak bakat lakonan saya. Saya juga akan muncul di layar perak menerusi filem arahan Mamat Khalid iaitu Hantu Kak Limah Pulang Balik Ke Rumah.
“Dalam filem ini saya bergandingan dengan Awie. Seronok dapat bekerja dengan pelakon berpengalaman dan secara tidak langsung dapat menimba ilmu daripada ‘otai’ ini,” katanya yang ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran Raja Lawak musim keempat.
Walaupun aktif dengan karier sebagai hos dan pelakon, Johan telah mengikat kasihnya bersama dramatis Ozlyn Wati. Semaraknya cinta mereka, Johan melamar Ozlyn untuk dijadikan suri dalam hidupnya pada Julai lalu.
Kebahagiaan Johan dan isterinya kini semakin erat kerana Ozlyn disahkan hamil. Usia kandungan yang mencecah enam bulan membuatkan Johan semakin gigih mencari pendapatan bagi menyara kehidupannya sekeluarga.
“Tanggungjawab semakin bertambah. Dulu seorang, kemudian berdua dan tak lama lagi bertiga. Alhamdulillah di atas segala-galanya. Saya rasa kehidupan saya semakin lengkap.
“Sekarang ni, saya kena cari duit lebih lagi. Dulu duit tabung banyak habis untuk majlis perkahwinan, jadi sekarang duit tabung kenalah dipenuhkan semula,” katanya.
Johan mengakui walaupun akan bergelar bapa pada usia yang muda, namun itu semua bukan penghalang. Jejaka berusia 25 tahun ini sedar tanggungjawab yang akan dipikul apabila bergelar suami dan bapa.
“Saya sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal. Saya mahu keluarga saya hidup dalam keadaan yang serba ada. Tidaklah kaya tapi orang cakap biarlah cukup makan dan saya akan terus berusaha menambah pendapatan keluarga saya,” tambahnya.
Ditanya adakah dia akan mengizinkan isterinya meneruskan karier sebagai pelakon selepas melahirkan anak, Johan berkata mahu Ozlyn berehat di rumah sahaja.
“Sejujurnya kalau boleh saya mahu isteri saya hanya menumpukan pada anak dan keluarga sahaja.
“Seperti saya katakan tadi, saya akan bekerja bersungguh-sungguh demi keluarga saya. Tapi kalau itu dah jadi minat isteri saya, saya tidak menghalang. Cuma apa yang saya katakan, kalau boleh biarlah dia tumpukan sepenuh perhatian kepada anak dan rumah tangga saja,” katanya lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: