NAMA Jasmin Hamid bukan lagi asing di dalam dunia seni lakon tanah air. Selepas 20 tahun mendambakan diri sebagai pelakon, Jasmin masih tegak berdiri di persada seni. Biarpun seribu satu muka baru muncul dan menghiasi dunia lakonan, Jasmin terus laris dan masih menjadi buruan penerbit dan pengarah drama TV tempatan. Mungkin Jasmin kurang menyerlah di layar lebar, namun sebagai aktres di kaca TV, namanya cukup gah dan dikenali.
Bercerita tentang rahsianya untuk terus bertahan di dalam dunia lakonan, Jasmin berkata,dia tidak mempunyai sebarang rahsia. Sebaliknya, Jasmin hanya mengamalkan dua formula dalam usaha mengekalkan namanya di dalam industri. Bukan resepi atau formula apa, cuma menurut Jasmin dia percaya kepada dua perkara, iaitu menjaga mutu kerja dan penampilan diri.
Ujar Jasmin, khidmatnya sebagai pelakon masih diperlukan oleh penggiat drama tempatan sehingga kini ekoran berkat usahanya yang memelihara dan menjaga mutu kerja. Walaupun kini boleh dikategorikan sebagai pelakon TV kelas A, namun dia sama sekali tidak pernah menganggap dirinya sudah bagus, apatah lagi untuk berpuas hati dengan pencapaian dan populariti yang membaluti dirinya.
"Pada saya, sejak dulu lagi saya hanya percaya kepada dua perkara ini yang saya anggap sebagai formula untuk terus bertahan. Pertama, menjaga mutu kerja dan kedua menjaga penampilan diri.
"Walaupun saya sudah berlakon lebih 20 tahun, itu tidak bermakna saya sudah berada di kedudukan yang selesa. Jauh sekali untuk berpuas hati atau bangga diri.
"Sebaliknya, saya perlu terus bekerja keras dan menjaga kualiti kerja agar terus disenangi oleh semua pihak termasuklah di kalangan penggiat drama.
"Saya percaya jika kita sentiasa peka dan mengutamakan mutu kerja, tidak ada sebab kita tidak mampu untuk bertahan biar selama mana pun kita berada di dalam industri," ungkap Jasmin yang mengkagumi bakat dan komitmen Ogy Ahmad Daud dan Fauziah Nawi.
Selain menjaga mutu kerja, aktres tinggi lampai ini juga menekankan, penampilan dan kecantikan diri sangat dititikberatkannya. Menyedari usianya yang semakin bertambah, Jasmin berkata, sebagai pelakon atau artis, kecantikan diri adalah aset utama untuk mencari sumber rezeki. Seorang pelakon itu perlu tampil cantik dan menarik kerana secara asasnya, kecantikan dan bidang seni adalah dua elemen yang berkait rapat.
Menurutnya lagi, jika seseorang pelakon itu gagal untuk tampil menarik, sudah tentu kelemahan itu dapat dicantas oleh pelakon-pelakon yang lain. Memandangkan profesion ini menuntut pekerjanya untuk kelihatan cantik dan menarik agar terus mendapat ruang dan peluang rezeki, maka sebagai pekerja di dalam bidang ini, dia harus memenuhi tuntutan itu.
"Sebagai pelakon wanita, kecantikan adalah aset yang sangat penting agar terus mendapat tawaran lakonan daripada penerbit dan pengarah.
"Ditambah pula dengan kemunculan lebih ramai pelakon-pelakon baru, jadi saya perlu menjaga penampilan agar terus diberi peluang berlakon.
"Pada saya, pelakon adalah untuk tatapan umum. Sudah menjadi lumrah manusia suka akan benda yang cantik dan indah.
"Atas sebab itulah saya begitu menitikberatkan soal penampilan dan kecantikan. Bukanlah sampai ke tahap taksub dan sanggup berhabis ribuan ringgit, tapi memadai dengan menjaga kecantikan mengikut kemampuan diri," jelasnya yang enggan mendedahkan jumlah kos yang dibelanjakan setiap bulan untuk kekal cantik.
Beralih perbualan kepada pandangan aktres jelita ini terhadap perkembangan pendatang baru yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Jasmin berkata, senario ini adalah perkembangan yang sihat dan baik untuk perkembangan industri seni lakon.
Namun, Jasmin turut meluahkan kekecewaannya dengan sikap sombong dan angkuh sesetengah pelakon baru. Jelasnya, walaupun bukan semua pelakon baru mempunyai sikap yang kurang molek, tapi segilintirnya seakan berasa diri mereka sudah terlalu hebat dan bagus.
Kesannya, kumpulan ini tidak teragak-agak untuk mempamerkan sikap biadap dan tidak menghormati artis lebih senior.
"Bukannya kami (artis senior) hendak mereka sembah kami. Namun, apa salahnya tunjukkan sedikit rasa hormat dan saling bertegur sapa apabila bertembung atau bekerjasama di dalam sesebuah produksi.
"Ada di kalangan mereka yang berasa diri mereka sudah bagus. Bayangkan, pernah terjadi di depan mata saya sendiri di sebuah lokasi penggambaran, artis baru ini buat selamba dan langsung tidak menegur saya. Apa salahnya, jika mereka berbuat baik dan bertegur sapa. Bukannya rugi pun.
"Mungkin golongan ini bersikap begitu kerana sudah merasakan diri mereka popular kerana wajah mereka muncul di dada akhbar dan majalah. Sebab itulah mereka sombong dan memandang kami dengan sebelah mata.
"Tapi mungkin mereka lupa, mereka tidak selama-lamanya muda. Satu hari nanti, mereka juga akan tua. Ketika itu, jika mereka tidak pandai menjaga mutu kerja dan nama baik, maka takkan ke manalah kerjaya mereka," katanya lagi.
Menyentuh perkembangan karier, Jasmin berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama rantaian 26 episod arahan Rashid Sibir, 'Aliff Firdaus' untuk tayangan slot Zehra di TV3.
Menerusi projek terbarunya ini, Jasmin memegang peranan sebagai Angah, iaitu anak kedua daripada adik beradik Aliff lakonan Beego. Drama 'Aliff Firdaus' yang disiarkan bermula 11 Disember ini bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh 'Nur Kasih' yang telah memukau lebih 5 juta penonton pada episod terakhir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: