KISAH tentang kehidupan peribadinya memang jarang dibicarakan oleh empunya badan. Bagi Tengku Sariza Tengku Muzani atau lebih dikenali dengan panggilan Kuza ini, dia sendiri sedar sikap 'low-profile' yang ada dalam dirinya itu adakalanya membuatkan orang gemar untuk terus bercakap dan dan meletakkan pelbagai andaian tentang hidupnya.
Malah, akui Kuza, sehingga kini juga masih ramai yang 'meragui' status sebenar dirinya sama ada masih merupakan seorang janda atau sudah pun berkahwin.
"Sampai sekarang memang ada yang berkata saya ni ibu tunggal, sedangkan sudah dua tahun saya mendirikan rumahtangga dengan suami saya, Ramyus Sidique. Pernah saya terbaca tidak lama dulu di dalam sebuah akhbar yang mengatakan saya intim dengan seorang VIP.
"Sebenarnya orang yang dimaksudkan itu ialah suami saya sendiri. Dia adalah ahli perniagaan. Ada juga yang tahu saya sudah berkahwin, tetapi timbul pula cerita lain kononnya saya hidup bermadulah...macam-macam.
"Memang saya tidak nafikan, ini adalah perkahwinan ketiga buat saya dan juga yang ketiga untuknya. Saya tidak menyalahkan sesiapa pun kerana memang saya tidak bercerita sangat tentang perkahwinan kami.
"Tapi apapun, saya adalah satu-satunya isteri dia," kata Kuza ketika ditemui pada majlis ramah-mesra bersama pelakon drama bersiri arahan Rashid Sibir iaitu Aliff Firdaus, semalam.
Menurut pelakon berusia 36 tahun ini, dia sememangnya bahagia melayari kehidupan bersama suami dan anak-anaknya.
"Menerusi perkahwinan terdahulu, saya memiliki tiga orang anak manakala suami pula mempunyai lima orang anak. Nampaknya menerusi perkahwinan kali ini, saya masih belum dikurniakan rezeki untuk mempunyai cahaya mata.
"Apapun, kehidupan saya sama seperti wanita lain yang sudah berkeluarga. Malah saya tidak langsung memberikan layanan yang berbeza antara anak kandung dan anak tiri.
"Suami juga amat memahami dan tidak menghalang saya meneruskan karier seni. Cuma buat masa ini, saya tidak terlalu fokus pada bidang lakonan kerana ingin memberikan tumpuan terhadap bisnes produk pelansingan badan yang sedang saya lakukan.
"Perniagaan ini pun saya berani untuk mencuba atas galakan suami," ujar Kuza yang masih mengimpikan untuk memiliki anak belum dikurniakan anak hasil perkahwinannya yang sebelum ini merupakan duta bagi produk keluaran Dunia Herbs yang berasaskan pati halia.
Mengulas lanjut tentang perniagaan yang sedang diusahakannya itu di bawah syarikat miliknya sendiri, Universal Herbs Sdn Bhd, kata Kuza, produk yang turut menggunakan formula pati halia itu bakal berada di pasaran pada pertengahan Januari depan.
"Sejak saya menjadi duta Dunia Herbs dulu, banyak yang saya pelajari tentang manfaat menggunakan pati halia. Selama dua tahun saya menggunakan produk itu, saya memang berpuas hati.
"Disebabkan itu, saya berminat untuk menghasilkan produk yang berasaskan herba termasuklah pati halia dalam bentuk kapsul dan losyen. Apa yang pasti, kesan penggunaan produk itu bukan dapat dilihat secara mendadak.
"Ia memang mengambil masa, tetapi jika kita mengamalkannya setiap masa, dalam masa beberapa bulan boleh nampak perubahannya," kata Kuza.
Dalam pada itu, ditanya tentang pembabitannya di dalam drama bersiri Aliff Firdaus, Kuza membawakan watak Andak bergandingan bersama pelakon-pelakon seperti Beego, Irma Hasmie, Nasir Bilal Khan, Jasmin Hamid, Zed Zaidi dan Maria Farida.
"Saya memang sangat selektif dari segi watak dan skrip, tetapi bila melihat watak saya dalam cerita ini, memang saya amat tertarik. Konflik dalam cerita ini agak berlainan daripada apa yang pernah saya bawakan sebelum ini.
"Dalam drama ini, Andak adalah seorang pensyarah di kolej. Walaupun ramai lelaki yang berminat dengan dirinya, tapi Andak sebenarnya adalah seorang yang takut dengan perkahwinan kerana melihat pengalaman yang dilalui oleh kakaknya," cerita Kuza tentang wataknya itu.
Drama bersiri Aliff bakal menggantikan drama Nur Kasih bermula 11 Disember ini di slot baru berjudul Zehra di TV3.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: