DARI kiri; Rusli, Ahmad, Matthew, Khir dan Ahmad Puad melihat perakam Panasonic P2HD Varicam sempena kursus Master Varicam di Finas, baru-baru ini. |
Profima anjur bengkel Master Varicam dedah penggunaan peralatan teknologi canggih
PENGGUNAAN teknologi terkini dan moden membabitkan peralatan perakam kamera bagi industri perfileman sangat mustahak dan dititikberatkan selama ini. Ia bertujuan memperoleh hasil yang berkualiti bagi mencapai standard perfileman antarabangsa.
Setiap masa pelbagai teknologi terkini dicipta oleh negara luar yang bertujuan menjimatkan masa, tenaga dan memperoleh hasil yang berkualiti di dalam menghasilkan produk filem.
Dengan inisiatif Persatuan pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dengan kerjasama Panasonic Sistem Asia Pasifik, satu kursus bagi kelas Master Varicam pertama di negara ini diadakan sebagai langkah permulaan membangunkan industri perfileman negara.
Presiden Profima, Khir Mohd Nor berkata, kursus selama tiga hari yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, (Finas) bermula 18 hingga 20 November lalu membabitkan sesi latihan industri bagi penggiat filem untuk menyelaraskan standard penggunaan peralatan produksi secara digital yang menggunakan teknologi tinggi.
"Kursus ini amat bertepatan bagi membantu membina generasi yang lebih kuat dari segi isi kandungan filem dalam usaha memenuhi selera tinggi dunia hiburan digital masa kini.
"Peserta bukan saja didedahkan dengan penggunaan kamera terkini yang memfokuskan teknologi terbaru dalam rakaman HD Cinema menggunakan sistem rekod P2HD, malah penataan cahaya, teknikal, color grading dan banyak lagi," katanya yang amat berterima kasih kepada Panasonic dengan membawakan pelbagai peralatan filem untuk didedahkan kepada peserta.
Turut hadir, Pengurus Besar Panasonic System Engineering (M) Sdn. Bhd, Rusli Baba, Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Ahmad Puad Onah dan Presiden Persatuan Sutradara Malaysia, Ahmad Ibrahim.
Menurut Khir, peralatan utama yang dibawakan khas oleh Panasonic iaitu berupa perakam Varicam Panasonic yang sememangnya terkenal dengan imej berkualiti tinggi tanpa perlu menggunakan pita dan didatangkan dengan format perakam video bermutu, AVC-Intra yang merakam lebih masa.
"Apa yang membanggakan kami adalah peserta ini diberi kursus oleh tenaga profesional yang didatangkan khas dari Hollywood iaitu Matthew J Siegel. Dia pernah menjadi pengarah fotografi untuk filem seperti Mr and Mrs Smith, The Matrix II, Master and Commander dan banyak lagi.
"Tanpa bantuan dan sokongan Panasonic serta Finas, kursus ini tidak akan dapat direalisasikan dengan jayanya memandangkan kos untuk merealisasikan kursus ini boleh mencapai RM250,000.
"Kami berbangga apabila kursus ini juga menjadi antara kursus yang paling ramai pernah dihadiri peserta membabitkan industri perfileman dan kami juga merancang untuk meneruskan membabitkan peralatan filem lain pada masa akan datang," katanya.
Kursus yang dihadiri lebih 80 peserta yang terdiri daripada penerbit, pengarah dan kru perfileman menjadi antara kursus yang paling ramai pernah dihadiri peserta anjuran Finas. Peserta dapat melihat dan menguji sendiri peralatan canggih Panasonic P2HD Varicam (AJ-HPX2700) sambil berinteraksi dengan Siegel.
Kursus juga diberikan dengan kelas yang lebih kecil terdiri dari ahli filem dari Malaysia yang akan bekerjasama dengan Siegel menghasilkan video menggunakan P2HD Varicam dalam format AVC- Intra.
Sepanjang sesi intensif ini, peserta diberi kemahiran mendapatkan gambaran terbaik sinema menggunakan lensa dan perakam tajaan Panasonic. Mereka juga diberi tunjuk ajar bagaimana memanipulasi kemahiran digital selepas sesi menyunting dan pembetulan warna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: