Carmen Soo (kiri) dan Hannah Tan. |
Carmen Soo, Hannah Tan anggap tawaran KRU Studios berlakon dalam My Spy sebagai peluang keemasan
SELEPAS penggemar filem komedi berhibur dengan Senario The Movie Episode II: Beach Boys, kini tiba masanya mereka bergelak ketawa pula dengan sebuah lagi judul lawak, My Spy, terbitan KRU Studios. Diarahkan Afdlin Shauki, filem yang ditayangkan mulai 3 Disember itu menampilkan pelakon komedi popular, AC Mizal dan Harun Salim Bachik sebagai teraju.
Bagi menghangatkan lagi filem berkenaan, beberapa pelakon wanita jelita tidak ketinggalan diketengahkan seperti Maria Farida, Daphne Iking, Hannah Tan dan Carmen Soo. Kemunculan mereka bukan sekadar menyerikan lagi filem terbabit, sebaliknya masing-masing diberikan tanggungjawab mengembangkan lagi jalan cerita.
Carmen dan Hannah sendiri mengaku, peluang diberikan KRU Studios untuk mereka membintangi filem aksi komedi itu cukup berharga. Ia umpama pembuka ruang untuk kedua-duanya terbabit dengan lebih aktif dalam dunia perfileman tempatan. Lebih daripada itu, pengalaman menjayakan My Spy cukup menyeronokkan bagi wanita cantik ini.
"Saya dan Daphne kononnya menjadi kembar tak seiras dari Hong Kong. Agak kelakar apabila watak saya perlu bertutur dengan lenggok bahasa Inggeris yang betul, manakala Daphne pula dengan bahasa Inggeris yang tunggang langgang. Watak kami ala Lara Croft yang jahat, tetapi tidaklah kejam sangat," cerita Carmen.
Carmen Soo |
My Spy bagaimanapun bukanlah filem pertama pelakon yang turut bergelar model ini. Dia pernah bekerjasama dengan Afdlin dalam Baik Punya Cilok beberapa tahun lalu. Carmen juga menjayakan filem Sayang You Can Dance, selain meninggalkan impak tersendiri dalam filem Third Generation.
Kata pelakon yang mula terjebak dalam lakonan menerusi filem Visits: Hungry Ghost Anthology (2004) ini, dia bukanlah pelakon yang boleh bertutur dengan cemerlang dalam filem Melayu, namun untungnya dalam My Spy dia diberikan watak yang berdialog dalam beberapa bahasa.
"Selain dapat melakukan sendiri beberapa babak lasak (selebihnya dilakukan pasukan lagak ngeri dari Thailand), saya cukup seronok dapat beraksi di samping AC dan Harun. Mereka memang pelakon yang sangat kelakar. Suasana di lokasi menjadi kecoh kerana adanya mereka berdua," dedah Carmen.
Selepas bergiat cergas hampir sedekad dalam dunia peragaan, Carmen mula berjinak-jinak dalam lakonan kira-kira lima tahun lalu. Kini, lakonan mula diberikan keutamaan oleh wanita ini, apabila bukan saja di filem, bahkan siri televisyen turut menjadi medan buatnya beraksi. Siri terbitan bersama ABS-CBN dari Filipina dan Double Vision dari Malaysia, A Time For Us (Kahit Isang Saglit), contohnya, berjaya menyerlahkan nama Carmen di kedua-dua negara.
Hannah Tan |
Ketika ini, Carmen sentiasa berulang-alik antara Manila dan Kuala Lumpur bagi menjayakan beberapa undangan ibu kota Filipina itu. Semuanya gara-gara populariti siri berkenaan, yang membolehkannya mengumpul peminat sendiri di negara terbabit. Malah, Carmen turut dijadikan jurucakap jenama pakaian Petit Monde dan produk kecantikan Clinelle di negara itu.
Lebih membanggakan dirinya apabila siri itu dicalonkan sama dalam kategori telenovela terbaik pada Anugerah Emmy Antarabangsa di New York, baru-baru ini. Carmen sendiri terbang ke kota berkenaan untuk menghadiri acara gilang-gemilang berkenaan.
"Saya kini turut bernaung di bawah syarikat pengurusan di Filipina dan jika tiada aral, pada Februari nanti saya akan membintangi sebuah filem di negara terbabit. Ketika ini, saya sedang memperbaiki penguasaan bahasa Tagalog untuk tujuan itu," ujarnya.
Mengaku terlalu banyak bekerja pada tahun lalu, Carmen tiba-tiba mendedahkan betapa pengalaman berdepan dengan ketumbuhan dalam payudara Jun lalu membuka matanya untuk menghargai kehidupan dengan lebih baik lagi.
"Ketumbuhan itu sudah ada dalam diri saya sejak 10 tahun lalu. Namun, pertengahan tahun ini ia seakan membesar dan jelas kelihatan. Sebelum ia menjadi lebih teruk, saya memutuskan untuk mengeluarkannya. Memang ia bukan barah, tetapi siapa tahu jika dibiarkan, ia boleh membahayakan nyawa. Selama dua bulan selepas pembedahan, saya tidak mampu melakukan apa-apa. Ia pengalaman yang menyakitkan dan membuatkan saya cukup tertekan.
"Apabila pengalaman itu terkena pada diri sendiri, saya dipaksa melihat dan menilai semula kehidupan ini. Selepas bekerja keras pada tahun sebelumnya, saya terpaksa memperlahankan rentak pada tahun ini. Keutamaan kehidupan jelas berubah apabila kejadian seperti itu menimpa kita.
"Ramai wanita yang tidak memberikan perhatian kepada kesihatan mereka. Ramai yang tidak melakukan pemeriksaan awal. Di samping itu, ramai juga yang mencari jalan penyelesaian lain. Lebih menyedihkan, ada kalangan mangsa barah payu dara yang tidak mahu berbuat apa-apa, sebaliknya menunggu waktu untuk mati.
"Saya tidak mahu wanita sengsara kerana barah payu dara. Saya sendiri berkemungkinan besar berdepan risiko itu jika tidak mengawasi keadaan ketumbuhan berkenaan. Justeru, saya menggesa golongan wanita untuk sentiasa peka dengan kesihatan mereka, serta jangan berlengah dalam melakukan pemeriksaan awal terhadap payu dara mereka," kata Carmen kini turut menjalankan kempen kesedaran berhubung barah payu dara di kalangan wanita.
Hannah pandang ke Timur
SEKIRANYA tuah Carmen lebih terserlah di Filipina, Hannah Tan pula nampaknya percaya peluang untuknya menyerlah dalam dunia seni antarabangsa lebih terbuka di negara Jepun. Selepas beberapa ketika mengadakan kajian mengenai pasaran di negara mata hari terbit, impian Hannah mula menjadi nyata apabila dia disambar sebuah syarikat rakaman di Tokyo.
Pada 1 Oktober lalu, Hannah menandatangani kontrak bernilai RM6 juta bersama Fillmore Far East Inc yang bakal menyaksikan dirinya muncul bersama lima album berbahasa Jepun, dalam masa dua tahun.
Sebelum memasuki studio, Hannah terlebih dulu perlu mempertajamkan keupayaan dalam bahasa Jepun. Januari ini, dia kembali ke Tokyo untuk beberapa bulan, bagi meneruskan projek berkenaan. Albumnya nanti akan dipasarkan di Jepun, Malaysia, Taiwan dan Singapura.
Hannah memilih syarikat berkenaan kerana mereka memahami impiannya untuk mempromosikan kandungan Malaysia di negara terbabit, bukan sekadar menyanyikan lagu dan lirik tulisan pengkarya Jepun.
"Saya menganggap diri saya sebagai prototaip dalam usaha memperkenalkan bakat Malaysia ke negara itu. Saya amat berharap, selepas ini lebih ramai bakat dari sini yang mampu mencipta peluang di Jepun. Ia pasaran yang besar dan penuh dengan ruang untuk menempa kejayaan," katanya.
Ketika yang sama, Hannah tidak pernah melupakan hasrat melahirkan album yang turut diminati pendengar Melayu. Lalu, sedikit masa nanti dia mahu muncul bersama single Melayu pertama berjudul Indah. Lagu yang diciptanya sendiri diperindahkan dengan lirik tulisan Pot Amir.
Selepas menghasilkan Crossing Bridges pada 2006, Hannah akan muncul bersama single terlebih dulu pada tahun depan, sebelum album penuh yang dianggapnya sebagai produk 'indie', menyusul.
"Album ini saya hasilkan sendiri. Ia lebih berharga kerana segala proses penerbitan membabitkan diri saya. Ia projek yang cukup dekat di hati serta hadiah yang saya amat teruja untuk berikan semula kepada peminat. Sehingga kini, sudah lima lagi siap dirakam dan kami menunggu lima lagi lagu untuk disiapkan," kata gadis peramah berusia 28 tahun ini.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam My Spy, wanita kelahiran Pulau Pinang ini memberitahu, pada hari pertama penggambaran, tangannya menjadi merah dan bengkak-bengkak seperti digigit pijat. Nasib baik, 'kecacatan' itu dapat disembunyikan apabila dia mula beraksi di depan kamera.
Selain pengalaman mendebarkan itu, Hannah mengaku cukup seronok dapat berlakon dalam filem pertamanya, apatah lagi ia menampilkan ramai pelakon hebat di dalamnya.
Kata Hannah, pada mulanya dia tidak berapa yakin apabila langsung tidak mempunyai pengalaman beraksi di filem. Sedikit pengalaman yang dimiliki, hanyalah ketika di menjayakan telefilem Bezanya Cinta untuk siaran Astro Ria.
"Namun, pengalaman kedua-duanya cukup berbeza. Berlakon dalam projek televisyen lebih singkat masanya dan lebih mudah. Sedangkan untuk filem, semuanya adalah untuk skala lebih besar.
"Saya sendiri berasakan, saya masih boleh melakukannya dengan lebih baik pada projek akan datang. Jika ada tawaran yang sesuai, sudah pasti saya akan terus berlakon dalam filem Melayu," katanya yang merancang sebuah persembahan amal pada 20 Disember ini, di sebuah tempat yang akan diumumkannya kemudian.
Pada projek kebajikan itu, Hannah turut mengundang beberapa rakan artis untuk sama-sama menyumbangkan suara mereka pada acara sempena Krismas.
"Kepada mereka yang berminat untuk menghadiri persembahan itu nanti, mereka hanya perlu membawa hadiah yang boleh digunakan kanak-kanak tidak bernasib baik seperti pensil warna, alat tulis, beg sekolah dan sebagainya. Daripada membeli tiket, kami berasakan cara itu lebih baik dalam usaha membantu golongan kurang bernasib baik berkenaan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: