
IPOH - Industri buluh negara dijangka berkembang pesat dan mampu menjana pendapatan sehingga RM53 bilion setahun pada 2020 berbanding RM22.8 bilion sekarang.
Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr. Jalaluddin Harun berkata, produk berasaskan buluh tempatan kini mendapat permintaan tinggi daripada luar negara khususnya Eropah.
"Walaupun industri buluh tempatan masih baru, ia berkembang dengan begitu pesat sekali. Jika dulu, buluh hanya digunakan untuk menghasilkan pencungkil gigi, lidi sate, layang-layang dan kayu penyepit, kini sudah banyak pembaharuan memberangsangkan berlaku.
"Pemain industri tempatan juga semakin kreatif menghasilkan pelbagai produk berasaskan buluh seperti perabot yang setanding dengan produk kayu," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Pembangunan Industri Buluh yang disempurnakan oleh Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: