Sunday, December 6, 2009

Mampukah Pulau Asmara pecah panggung?




Judul filemnya iaitu Pulau Asmara agak menarik tetapi sejauh manakah filem ini mampu menarik perhatian ramai belum dapat dijawab lagi. Bukan mahu mempertikaikannya tetapi itulah perkara pertama yang akan diperkatakan apabila membicarakan soal pelakon yang membintangi filem ini.

Pulau Asmara mengisahkan tiga sahabat baik yang berlainan karakter lakonan Faizal (AF4), Sheikh Bolkiah dan Abby Aziz.

Mereka bercuti ke Pulau Langkawi untuk mencari ketenangan. Di pulau itu mereka bertemu dengan tiga orang gadis lakonan Leez (AF4), Nadia Kesumawati dan Sasha Arsheela.

Ketiga-tiga gadis tersebut mempunyai kisah berbeza yang akhirnya menjerumuskan mereka di alam percintaan. Jika dilihat kepada nama-nama tadi, membuatkan kita tertanya-tanya mampukah filem ini untuk mencapai box-office atau pecah panggung apabila ia ditayangkan pada 17 Disember ini?

Sebabnya sudah menjadi kebiasaan kepada penerbit filem untuk mencuri tumpuan penonton dengan mengumpan nama-nama popular.

Malangnya Alakazam Production Sdn. Bhd. melakukan tindakan berbeza apabila membariskan nama-nama baru yang masih belum teruji bakat mereka untuk diangkat di layar perak.

Bagaimanapun penerbitnya, Datuk Aziz Singah menganggap peluang yang diberi adalah lebih penting daripada memikirkan soal nama-nama besar.

Sebaliknya beliau turut memuji keupayaan pelakon-pelakon tersebut membintangi filem berkenaan yang memakan masa selama tiga minggu penggambaran di Langkawi.

Kata Aziz, jika syarikat produksi menafikan hak dan kemampuan pelakon-pelakon baru, selama itulah bakat-bakat baru tidak boleh menonjol.

"Kami menyedari pelakon-pelakon filem ini tidak sekuat mana tetapi keyakinan kami lebih kepada jalan cerita yang ditampilkan untuk mencapai kepuasan kepada penonton," katanya.

Jelas Aziz lagi agak sukar untuk menilai kehendak penonton tetapi pihaknya percaya sokongan media adalah perlu untuk membolehkan filem yang menelan belanja lebih RM1 juta ini mendapat sambutan.

Katanya, kekuatan jalan cerita adalah elemen penting untuk Pulau Asmara kerana filem genre romantik drama ini dilakonkan oleh artis baru yang sebenarnya mempunyai bakat hebat.

"Semua pelakon memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang penggambaran. Malah teknik sinematografi dengan kamera digital yang digunakan menambahkan lagi kehebatan Pulau Asmara," katanya.

Antara strategi filem arahan Uttam Kumar Thangiah ini untuk menarik perhatian penonton dengan mengadakan peraduan yang menyediakan sebuah kereta Proton Saga 1.3 SE sebagai hadiah utama.

Selain kereta, hadiah yang mesti dimenangi ialah motosikal, telefon bimbit dan percutian mewah.

Peraduan ini akan bermula dari 14 Disember akan datang menerusi sisipan Mega, Utusan Malaysia dan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

Pembaca boleh meneka gambar artis dengan menampalkan keratan gambar yang disiarkan melalui akhbar berkenaan beserta tiket wayang filem tersebut.

1 comment:

  1. :( Terkejut & sedih baca berita pasal my friend sheikh bolkiah terlibat dalam kemalangan in 2009!!! Lost contact with him from that time and only found out today on 27th May 2012
    :( :( hope you are well, wishing you a speedy recovery! - Michelle Gomez from (Law school).

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: