Tuesday, December 1, 2009

Impak kelajuan jadi keutamaan

Pasukan Malaysia berjaya memecahkan rekod dunia dengan ciptaan model kereta F1 terpantas pada Cabaran Teknologi F1 di Birmingham, England pada 2006. Adakah pasukan Raluca F1 yang menjadi juara kebangsaan tahun ini akan mencatat kejayaan yang sama di Singapura?




DERUMAN enjin kereta F1 yang kedengaran begitu mengujakan penonton. Teknologi yang rumit menjadikan setiap kenderaan mempunyai keistimewaan sendiri dalam menentukan daya pecutan masing-masing.

Keterujaan itu dikongsi para pelajar sekolah di seluruh dunia melalui Cabaran Teknologi Formula One (F1). Di Malaysia, program itu dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama F1 In Schools Sdn. Bhd., manakala Petronas bertindak sebagai penaja utama.

Program F1 In Schools diadakan untuk memperkenalkan kaedah pembelajaran yang pintar dan ceria dalam bidang teknologi kejuruteraan. Dalam program itu, para pelajar didedahkan dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang melibatkan kemahiran komputer, kejuruteraan dan kaedah pemasaran.

Ia mula diperkenalkan di England pada 2001 dan diilhamkan untuk mempertingkatkan profil kejuruteraan di peringkat sekolah dan kolej.

Di Malaysia, pertandingan itu bermula dengan penyertaan 14 buah sekolah pada tahun 2005 dan setahun kemudian, negara kita mula menghantar pasukan ke pertandingan peringkat antarabangsa. Pasukan Malaysia berjaya memecahkan rekod dunia dengan ciptaan model kereta F1 terpantas pada kejohanan 2006 di Birmingham, England sekali gus membuktikan pelajar Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa.


KEMENANGAN pertama SDAR dalam Cabaran Teknologi Formula One (F1) peringkat kebangsaan.


Bilangan penyertaan semakin meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 2006, sebanyak 32 buah sekolah telah menyertainya, tahun 2007 sebanyak 152 sekolah, tahun 2008 sebanyak 179 sekolah dan pada tahun ini, sebanyak 211 sekolah masuk bertanding.

Menerusi cabaran itu, para pelajar didedahkan dengan perisian Reka Bentuk Berkomputer (Computer Aided Design) atau CAD. Melalui penggunaan perisian itu, mereka diajar untuk membentuk kereta lumba F1 sendiri.

Mereka juga perlu menganalisis reka bentuk kenderaan ciptaan pasukan masing-masing dan seterusnya menguji kemampuan kereta tersebut melalui proses simulasi Virtual Reality Wind Tunnel.

Tinjauan Kosmo! mendapati proses itu menguji ciri-ciri aerodinamik kereta tersebut melalui simulasi rintangan udara. Langkah seterusnya adalah memanipulasi proses pembuatan melalui perisian Computer Aided Manufacturing (CAM) untuk memastikan kereta yang dihasilkan menepati spesifikasi reka bentuk yang dihasilkan.

Pelajar juga didedahkan dengan teknologi pembuatan Computer Nemeric Control (CNC) dan Microrouter Miling Machine yang membolehkan mereka membentuk kereta lumba dari sebuah bongkah kayu biasa.

Kereta lumba itu kemudiannya diuji dalam mesin rintangan udara untuk mengenal pasti tahap rintangan udara ke atas reka bentuknya. Sekiranya tahap rintangan dipastikan minimum, kereta itu akan diuji dalam satu trek perlumbaan sepanjang 20 meter pula. Trek itu dilengkapi dengan pelbagai sistem dan kawalan perlumbaan termasuk perisian kawalan masa, suis-suis, lampu, sensor infra-merah serta pintasan litar.


GURU penasihat, Mohd. Hazman (dua dari kiri) melihat program F1 in School memberi kematangan kepada anak muridnya.


Di peringkat itu, para pelajar dapat mengalami pembelajaran dalam suasana yang riang dan ceria.

Bukan sahaja kelajuan kereta dan pembuatan diambil kira, penilaian markah juga merangkumi strategi pemasaran, dokumentasi dan hak cipta. Dalam strategi pemasaran, pelajar-pelajar didedahkan kepada penjenamaan. Mereka perlu mendapatkan penaja-penaja (untuk menghias kereta lumba) serta merumuskan pelan promosi masing-masing. Markah juga diberikan kepada cara peragaan dan penjenamaan.

Selain itu, para pelajar dikehendaki membuat pembentangan di hadapan panel hakim di mana mereka akan menjelaskan mengenai konsep serta apa yang telah mereka hasilkan dalam projek tersebut.

Dalam pembentangan itu, para pelajar digalakkan untuk menggunakan kemahiran komputer bagi membantu mereka menerangkan kepada panel hakim mengenai hasil ciptaan pasukan masing-masing.

Mereka juga akan diberikan tunjuk ajar dalam soal dokumentasi serta memberi hak cipta, paten dan tanda niaga untuk memelihara reka bentuk industri melalui hak cipta intelek. Langkah terakhir dalam proses itu adalah perlumbaan kereta model F1 mereka dengan menggunakan kuasa katrij karbon dioksida di litar lumba sepanjang 20 meter di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur.


KETUA Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom beramah mesra dengan anggota kumpulan Raluca F1.


Setiap pasukan terdiri daripada seorang guru pembimbing dan empat hingga enam pelajar yang berperanan sebagai jurutera rekaan, jurutera pembuatan, pereka grafik dan pengurus sumber.

Menurut ketua kumpulan Raluca F1 dari Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan yang muncul sebagai juara keseluruhan tahun ini, Danial Iman Che Khalid, 16, ia adalah kemenangan pertama sekolah mereka sejak menyertai pertandingan itu pada tahun 2005.

"Pada pertandingan peringkat negeri, kami hanya muncul sebagai naib juara dan kalah kepada pasukan Annihilation dari Sekolah Pertukangan Perantis Tentera Darat, Port Dickson.

"Alhamdulillah, pada peringkat kebangsaan ini, kami berjaya mengalahkan mereka," katanya sambil memberitahu pasukannya berjaya mengumpul 283 mata.

Pasukan Annihilation muncul sebagai naib juara dengan mata keseluruhan 275 manakala tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Chronos Breaker dari Sekolah Menengah Batu Lintang, Sarawak dengan 272 mata.

Menurut Danial, setelah bejaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan, ahli kumpulannya yang terdiri daripada Mohd. Hussein Haron, 16, Wan Faiq Amsiar Wan Ariffin, 16 dan Haziq Asyraf Marzuki, 16, telah melakukan pelbagai kajian bagi memantapkan lagi kereta lumba ciptaan mereka.


TINGGAL di asrama memberi kelebihan kepada ahli pasukan Raluca F1 untuk mengadakan perbincangan tanpa batasan waktu.


Mereka mencari maklumat di Internet dan melihat prestasi pasukan-pasukan yang berjaya pada tahun-tahun sebelumnya. Raluca F1 juga mendapat tunjuk ajar daripada pensyarah Kolej Kejuruteraan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Mikhail Fong Abdullah bagi memantapkan pengetahuan mengenai kejuruteraan kereta lumba.

"Perkara yang paling penting dalam mereka kereta lumba bagi pertandingan ini adalah bentuk aerodinamik kerana ia memberi impak kepada kelajuan sesebuah kereta lumba.

"Bentuk aerodinamik mengurangkan rintangan angin kepada kereta tersebut, seterusnya mengurangkan halangan apabila kereta tersebut bergerak," kata Mikhail.

Sementara itu, Danial menambah, pasukannya memerlukan RM20,000 bagi keseluruhan projek itu dan mereka mempunyai masa setahun untuk menyiapkan rekaan kereta tersebut serta mencari penaja.

"Akhirnya, sebuah miniatur kereta lumba F1 bernilai RM2,000 berjaya dicipta daripada kayu balsa yang diimport, hiasan air brush, tayar dan lain-lain. Kos lain melibatkan promosi dan proses penyelidikan," ujarnya.




Pemenang keseluruhan peringkat kebangsaan 2009 itu berpeluang mewakili Malaysia ke kejuaraan dunia F1 In Schools di Singapura pada tahun depan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif F1 In Schools Sdn. Bhd., Datuk Abdul Halim Abdul Samad, berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah dalam bidang kejuruteraan dan teknologi terkini pemotoran. Melalui minat mereka dalam sukan F1, kami harap pertandingan ini dapat mengasah kemahiran lain seperti dalam bidang penyelidikan dan pemasaran," katanya kepada Kosmo!.

Beliau menambah: "Ramai pelajar yang pernah terlibat dalam pertandingan ini menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang dan berjaya melanjutkan pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi terkemuka dunia termasuk Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat."

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: