Tuesday, December 1, 2009

Bila saya bawa rombongan keluarga?

Saya rindukan Ayu dan mahu dia kembali semula untuk meneruskan kerjaya nyanyian yang diperjuangkannya dahulu. Saya tahu, betapa susahnya mahu berada ke peringkat akhir di OIAM, jadi janganlah sia-siakan peluang itu




PEJAM celik, pejam celik, sudah hampir 10 tahun Nur Shahila Amir Hamzah, atau Shila, berkecimpung dalam bidang nyanyian. Namun, bakatnya lebih menjadi perhatian setelah menjadi naib juara pertandingan realiti One In A Million musim kedua tahun lalu.

Maka bermulalah episod baru dalam kariernya dengan melangkah setapak lagi apabila gadis genit itu semakin sibuk menghadiri undangan nyanyian.

Namun, dalam kesibukannya membina tapak nyanyian menjadi lebih kukuh, nama Shila sedikit terjejas gara-gara khabar angin yang kurang menyenangkan hadir tanpa dipinta.

Belum pun reda kritikan pedas oleh ramai pihak baru-baru ini gara-gara dia dikatakan gagal menyampaikan lagu Bencinta dalam separuh akhir Muzik-Muzik ke-24 dengan baik, Shila perlu menjawab satu lagi persoalan yang agak menyinggung perasaannya.

Lewat kebelakangan ini Shila dikatakan sering membawa rombongan keluarga untuk mengikut ke pelbagai majlis dan acara hiburan sehingga menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan ramai pihak.

"Saya rasa orang tidak patut menilai saya dan keluarga sebegitu. Saya sebenarnya jarang membawa seluruh keluarga saya ketika bekerja melainkan ibu saya.

"Jangan ingat saya nak melenting, cuma saya nak tegaskan di sini jangan nak babitkan mereka yang tidak tahu apa-apa.

"Macam ayah saya, dia selalu buat kerja dia. Mungkin kerana mereka yang bercakap-cakap itu melihat saya membawa seluruh keluarga saya pada pelancaran album baru, Bebaskanlah membuatkan mereka membuat spekulasi yang bukan-bukan.

"Pada pelancaran album itu, memang seluruh keluarga saya datang mahu berkongsi kegembiraan, sampaikan adik saya sanggup ponteng sekolah.

"Ada beberapa kali, adik saya tiada siapa yang jaga, jadi dia ada ikut sekali dengan saya untuk menghadiri undangan nyanyian. Selebihnya, tak ada pun selalu saya bawa keluarga. Saya rasa, memang tak patut sesiapa yang cakap begitu," jelas gadis berusia 19 tahun itu panjang lebar mengenai tohmahan ke atas dirinya.

Apatah lagi, Shila yang memang rapat dengan keluarganya menjadikan ibunya, Fauziah Sarman sebagai pengurus karier seninya.

Beritahu anak gadis penyanyi ND Lala itu, biarpun ada yang tidak suka dirinya diuruskan oleh ibu, dia berasa lebih selamat berbanding orang lain yang menguruskannya.

Tambah Shila, dia perlukan bimbingan daripada seorang ibu mahupun ayah biarpun ketika bekerja agar tidak terpesong ke arah keburukan.

"Saya masih muda dan remaja. Jadi lebih elok jika ibu atau ayah menjaga dan mengikut saya. Jadi jika nak buat benda yang tak elok pun, saya akan berfikir semula. Sebab itu saya memerlukan bimbingan daripada mereka," katanya.

Mahu kurus lagi

Transformasi ketara yang dilalui gadis manis ini begitu sesuai dengan usianya. Pengalaman 10 tahun dalam bidang seni muzik membuatkan personaliti, tingkah laku serta skil nyanyiannya jauh berubah berbanding dahulu.

Muncul dengan album terbarunya, Bebaskanlah, Shila menyifatkan album yang menampilkan karya-karya komposer seperti Aubrey Suwito, Audi Mok, Kieran Kuek, Mode dan Jamie Huber adalah bayi terbarunya walaupun pernah merakamkan dua buah album sebelum ini.

Satu percubaan baru, Shila memuatkan dua buah lagu Inggeris. Salah satu daripadanya berentak balada ciptaan Aubrey yang berjudul Whisper My Name.

Respons yang diberikan terhadap lagu-lagunya kali ini juga cukup memberangsangkan membuatkan Shila semakin yakin dengan transformasi yang dilakukannya.


SHILA tersinggung apabila ada pihak mempertikaikan keakraban dia dan keluarganya.


"Bebaskanlah adalah masa depan saya dan ternyata setahun perbincangan dalam mencari material membuahkan hasil yang baik.

"Pada awalnya takut juga lagu-lagu saya tidak boleh diterima kerana takut lagu-lagu saya lebih matang daripada usia. Tapi alhamdulillah, sejak beberapa bulan album ini dipasarkan ramai yang sudah tahu dengan lagu baru saya seperti single pertama, Ada Saja.

"Cuma saya harap lagu-lagu yang dimuatkan dalam album telah memenuhi permintaan peminat." katanya yang mengambil inspirasi lagu-lagunya daripada penyanyi-penyanyi Hollywood seperti Britney Spears, Katy Perry dan Lady Gaga.

Tambahnya, inspirasi itu bukanlah mahu meniru penyanyi-penyanyi idolanya itu cuma gadis berusia 20 tahun itu mahu membuat eksperimen mengenai kemampuan dirinya dalam muzik.

Selain mahu memantapkan dirinya dalam muzik, gadis itu juga kini sedang bertungkus lumus mahu mengurangkan berat badannya agar nampak ideal di kaca TV.

"Sebenarnya, saya tak pernah kurus dan berat badan saya sentiasa macam ini. Saya tak kisah pun kalau berat naik sikit, janji sihat dan masih langsing.

"Cuma bila di TV badan saya nampak berisi dan tembam. Sekarang ini berat saya 51 kilogram (kg), saya kena turunkan sehingga 47 kg. Walaupun hanya empat kg yang perlu diturunkan, ia bukannya mudah. Dah lama saya tak makan nasi.

"Macam dulu bolehlah nak bersenam. Tapi sekarang ini, dengan jadual kerja yang ketat, nak bersenam pun tak sempat," selorohnya.

Rindukan Ayu

Tatkala Shila sibuk mengembangkan kerjayanya, teman seperjuangan Shila ketika berada di OIAM2, Norayu Damit pula hilang tanpa sebarang berita. Malah pihak pengurusannya, Monkeybone, juga tidak dapat menjejaki gadis kelahiran Sabah itu.

Ada khabar angin mengatakan Ayu telah berkahwin dengan seorang jejaka berasal Negeri Sembilan dan telah pun melahirkan anak, ada juga khabar angin yang mengatakan Ayu membawa diri kerana berkecil hati dengan industri muzik yang seolah-olah meminggirkannya.

Sebagai seorang rakan yang rapat dengannya, Shila terkejut dengan tindakan Ayu menghilangkan diri itu. Namun, bagi Shila jika rakannya berasa gembira dengan cara hidupnya kini dia juga turut tumpang gembira.


BEBASKANLAH menjadi album terbaru yang dipertaruhkan Shila untuk terus kekal dalam industri.


"Asalkan dia gembira, saya pun gembira. Saya pun dah berbulan tak berhubung dengannya. Walaupun kami akrab, kami tak pernah menceritakan hal peribadi masing-masing.

"Cuma dia perlu menyelesaikan masalahnya dengan lebih matang. Mungkin dia sedang berada dalam tekanan, kita pun tak tahu.

"Mendengar khabar angin yang tersebar tentangnya, bunyi seperti dia sedang bahagia, tapi harap-harap benarlah.

"Apa-apa pun, saya rindukan Ayu dan mahu dia kembali semula untuk meneruskan kerjaya nyanyian yang diperjuangkannya dahulu. Saya tahu, betapa susahnya mahu berada ke peringkat akhir di OIAM,. jadi janganlah sia-siakan peluang itu.

"Tetapi, Ayu lebih berhak membuat keputusan untuk dirinya. Jika dia rasa kehidupannya kini lebih bahagia dan gembira, teruskan sahaja begitu," ujar Shila.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: