| SUATU yang lumrah, artis wanita sering dikaitkan dengan imej seksi. Sama ada membabitkan personaliti sebenar atau melakonkan adegan mengghairahkan menerusi filem dan drama, pelakuan artis wanita mudah menarik perhatian khalayak. |
Kemunculan pelakon seksi, Tamara Bleszynski yang sebelum ini membintangi pelbagai sinetron dan filem di Indonesia semakin mendapat publisiti meluas daripada media. Melihat pengalaman lakon, Tamara pernah mencuba nasib di negara ini apabila diberi peluang membintangi filem sekuel Cicak-Man 2: Planet Hitam yang ditayangkan penghujung tahun lalu.
Dalam filem arahan Yusry Abdul Halim itu, Tamara membawakan watak antagonis sebagai pembunuh iaitu Rrama, yang juga orang suruhan Profesor Klon (Aznil Nawawi).
Menyingkap perjalanan karier seninya, Tamara, 35, berminat berlakon sejak pada zaman persekolahan. Impiannya untuk menjadi pelakon tercapai apabila diberi peluang membintangi drama Asmara pada 1996.
Setahun sebelum itu, pelakon jelita ini terlebih dulu menceburi bidang peragaan dan terbabit dengan pelbagai iklan komersial.
Perkembangan terbaru, pelakon berdarah kacukan Poland dan Sunda ini pegang watak utama dalam filem Air Terjun Pengantin (ATP) arahan Rizal Mantovani. Dalam filem ini, Tamara dikritik hebat kerana berani melakonkan aksi memakai bikini.
Biarpun pelbagai pandangan negatif dilemparkan kepadanya, Tamara sebaliknya berkata dia tidak terlalu memikirkan perkara itu sebagai masalah. Apa yang penting kepadanya, dia mahu memberikan mutu lakonan ke tahap maksimum dalam setiap filem atau drama yang dijayakan.
"Setiap orang mempunyai hak untuk bercakap dan memberikan pandangan sendiri. Atas alasan itu, saya tidak mahu mengambil hak orang lain.
"Dalam berdepan situasi ini, saya juga tidak mahu menyatakan saya tidak boleh terima pandangan mereka. Pada saya terserah kepada setiap individu untuk membuat penilaian terhadap diri saya.
"Saya percaya lakonan seperti ini mempunyai pro dan kontra, tetapi hakikatnya saya masih mahu terus berlakon.
"Apa yang saya harapkan setiap daripada kita menghormati hak orang lain dan saya mempunyai hak terhadap diri saya sendiri untuk berbuat apa saja," katanya.Dalam memberikan lakonan berkesan, jelas Tamara dia minta izin dan pandangan anggota keluarga termasuk rakan karib sebelum menyatakan persetujuan untuk melakonkan adegan seksi itu.
Nyata, dia mendapat sokongan sebagai usaha memberi lakonan berkesan pada watak dibawa.
Bagaimanapun, ketika penggambaran filem itu Tamara berpesan kepada kru produksi jangan merakamkan gambarnya dalam kamera biasa atau telefon bimbit kerana tidak mahu dieksploitasi.
Untuk melakonkan adegan itu saja, Tamara dikatakan menerima bayaran mahal sehingga mencecah ratusan ribu ringgit. Namun, perkara itu tidak didedahkan produksi filem itu. Produsernya, Ody Mulya Hidayat, sekadar menyatakan berdasarkan kemampuan dan daya penarik yang ada pada Tamara, pelakon itu layak menerima bayaran tinggi.
Nyata, lakonan Tamara memberi impak besar pada sambutan filem itu yang mencatatkan 500,000 penonton selepas 10 hari tayangan. Tamara yang turut bersyukur atas kejayaan awal filem itu menyatakan ia adalah usaha semua pelakon termasuk kru produksi yang bekerja keras menyiapkan filem itu.
"Saya percaya kita pasti mendapat kejayaan jika bekerja keras. Namun, kejayaan ini tidak bermakna tanpa sokongan penonton yang hadir menyaksikan filem ini di pawagam.
"Pencapaian ini cukup menggembirakan saya apatah lagi kehadiran filem Hollywood seperti The Twilight Saga New Moon yang memberi saingan sengit kepada Air Terjun Pengantin. Apapun, saya berharap filem ini dapat memeriahkan persada perfileman Indonesia," katanya yang bersedia membawakan apa saja watak.
Selain itu kata Tamara, persiapan sendiri sebelum penggambaran bermula menjadi aspek penting yang perlu dititikberatkan. Bukan saja persediaan berlakon, tetapi apa saja tugas yang diberikan kepadanya mesti dilaksanakan dengan baik termasuk baru-baru ini dia dijemput menjayakan pementasan puisi. Tamara mengambil masa hingga empat bulan untuk berlatih.
"Latihan dari aspek emosi dan fizikal menjadi faktor utama dalam menyerlah lakonan berkesan.
"Saya berusaha gigih untuk menjadi pelakon berjaya. Oleh itu saya perlu bersedia menyesuaikan penampilan diri dengan setiap watak ditawarkan pada saya," katanya.
Menyentuh kehidupan peribadi, Tamara masih solo selepas bercerai dengan suaminya, Teuku Rafli Pasha, sejak dua tahun lalu selepas 10 tahun hidup bersama.
Pasangan ini bercerai kerana kononnya Rafli tidak dapat memberikan nafkah, tetapi ada cerita lain mengatakan Tamara mohon cerai kerana tidak tahan didera secara seksual.
Atas perceraian itu, hak penjagaan anak mereka, Rassya Islamay Passya, 10, diputuskan mahkamah diberikan kepada Rafli.
Namun, dalam kesibukan Tamara di lokasi penggambaran, dia kini dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Mike Lewis. Pasangan ini kelihatan mesra berdua walaupun depan ramai.
"Saya tidak tahu bila akan berkahwin semula, tetapi apa yang boleh saya katakan, hubungan kami rapat.
"Buat masa ini, kami senang meneruskan hubungan sebegini dan tidak mahu menjangkakan apa akan berlaku pada masa akan datang. Untuk tahun depan, saya masih mahu fokus pada kerjaya. Mungkin saya masih sibuk dengan aktiviti promosi filem ini.
"Saya cuma berharap 2010 menjadikan kehidupan saya bertambah baik dan diberi banyak peluang membawakan pelbagai watak," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: