| SEPI tanpa publisiti menerusi media cetak atau elektronik bukan bermakna Vincent Chong Yin Cern, 30, atau Vince sudah melupakan dunia hiburan tanah air. Bakat seni yang dicungkil dari program realiti Akademi Fantasia musim pertama, Vince sebenarnya memerap di studio dan bakal muncul dengan album solo tidak lama lagi. |
Menariknya album berjudul Kronologi Cinta menampilkan 10 lagu baru. Lapan daripada lagu itu Vince sebagai komposer utama. Album penuh berbahasa Melayu memulakan rakamannya sejak awal Ogos lalu.
Menurut Vince album itu sangat istimewa baginya. Album yang diterbitkan sendiri itu turut mendapat kerjasama komposer kelahiran Australia, Gred Henderson. Jelas Vince, album ini juga menunjukkan kematangan muzik dan persembahannya.
"Konsep album ini gabungan pelbagai rentak muzik. Ia juga menampilkan kebolehan saya menyampaikan lagu pelbagai rentak seperti jazz, pop dan R&B dan rap. Selain sebagai komposer untuk lapan lagu dalam album ini, saya turut berkerja sama dengan beberapa komposer berpengalaman dan baru dalam dunia seni tanah air seperti Daniel Verapan, M Zulkifli dan Shahshamsiri.
"Saya puas hati dengan album ini. Jika tiada aral album ini dijangka berada di pasaran penghujung tahun ini. Album ini akan diedarkan NSR Records," kata Vince yang akan mempertaruhkan lagu single pertama, Akhirnya.
Selain lapan lagu baru, album itu ada dua lagu bonus versi Inggeris. Satu daripadanya lagu duet bersama Jo-Anna Sue Henley Rampas (Naib Johan Bintang RTM 2009) berjudul Teach Me How To Love manakala Ajarku Cinta pula versi bahasa Melayu. Lagu itu juga pernah dinyanyikan kakaknya, Vanessa Chong.
Album ketiga ini ada kelainan tersendiri bagi penyanyi kacukan Inggeris-Cina, selepas membuat penampilan menerusi album sulung, Vince, Janji Vince dan single, Percayalah Sayang (2007). Walaupun tempoh menghasilkan album agak panjang namun Vince berharap ia dapat diterima peminat.
Tambahnya, proses merakamkan album itu mengambil masa kerana dia menetap di Taiwan setahun lebih untuk mendalami bahasa Mandarin.
"Sebenarnya, saya sudah mempunyai koleksi lagu yang sudah ditulis sejak beberapa tahun lalu. Cuma belum berkesempatan untuk menyusunnya. Ketika itu saya mahu tumpukan kepada pengajian dulu.
"Memang impian saya untuk melanjutkan pelajaran dan menguasai bahasa Mandarin dengan lebih baik. Sebelum ini penguasaan bahasa Mandarin saya tidak begitu bagus. Kini penguasaan bahasa Mandarin semakin baik.
Dalam pada itu, Vince juga menaruh impian menerbitkan program animasi 3D berkisar kehidupan seekor katak dalam mengejar impian menjadi penyanyi. Projek itu akan dihasilkan dengan kerjasama beberapa produksi animasi dan rakannya yang juga peserta One In A Million, Ash Nair.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: