![]() |
| LIYANA Jasmay antara delegasi Malaysia yang akan menjayakan FFAP 53 di Kaohsiung, Taiwan bermula 17 hingga 20 Disember ini. |
SETELAH dua tahun tertangguh akibat kemelesetan ekonomi dan Jakarta yang sepatutnya menjadi tuan rumah menarik diri, akhirnya edisi ke-53 direalisasikan pada 17 Disember hingga 20 Disember ini apabila Taiwan bersetuju menjadi tuan rumah.
Bertempat di bandar kedua terbesarnya, Kaohsiung, selama empat hari itu akan berkumpul para pengkarya dan penggiat seni daripada negara-negara anggota rantau Asia Pasifik.
Tujuannya sama - untuk mengetengahkan dan memperkenalkan karya, mengintai peluang dan bertukar fikiran.
Wanda berpeluang untuk turut sama pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) kali ini yang diketuai Presiden PFM, Ahmad Puad Onah serta disertai artis antaranya Liyana Jasmay, Afdlin Shauki dan Hans Isaac.
Namun berbanding tahun-tahun sebelumnya yang memberikan penghormatan kepada setiap anggota persatuan pengeluar-pengeluar filem Asia Pasifik untuk mempertandingkan filem terbaik masing-masing, penyertaan kali ini adalah atas jemputan penganjur, Federation of Motion Pictures in Asia Pacific (FPA).
Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) yang menjadi sebahagian anggota FPA merupakan antara yang dijemput untuk memeriahkan majlis penganugerahan kali ini.
Dianggotai 21 negara lain seperti Thailand, Filipina, Bangladesh, Rusia, Georgia, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Hong Kong, Korea, India, Singapura, Iran, Autralia, Indonesia, Taiwan, Uzbekistan, Kuwait, Jepun, Macau dan New Zealand, FFAP sudah menjangkau usia enam dekad sejak diperkenalkan buat julung kalinya di Tokyo, Jepun pada 1954.
Dan kita juga sudah beberapa kali memenangi meraih kemenangan. Antaranya filem Nujum Pak Belalang yang diangkat sebagai Filem Komedi Terbaik FFAP7 selain dua kali menggondol kategori Aktres Terbaik.
Kedua-duanya menerusi lakonan Datin Seri Tiara Jacquelina untuk filem Puteri Gunung Ledang dan Maya Karin (Puntianak Harum Sundal Malam).
Bagaimanapun, sejak ditubuhkan 55 tahun lalu kita masih belum berpeluang menggenggam anugerah Filem Terbaik.
Apakah nasib menyebelahi kita pada tahun ini? Edisi kali ini menyaksikan tiga buah filem dihantar bagi mewakili negara untuk dipertandingkan bersama filem-filem terpilih yang lain.
Wayang, Papadom dan Talentime - ketiga-tiganya mempunyai pengaruh tersendiri. Masing-masing pernah menggondol kategori terbaik, sama ada pengarah mahupun filem di arena penganugerahan tempatan.
Terbaru Wayang meraih Filem Terbaik Anugerah Skrin serta Pengarah Terbaik selain Pelakon Lelaki Filem Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik dan Pelakon Pembantu Filem Terbaik.
Papadom pula meraih lima anugerah utama Festival Filem Malaysia ke-22 yang lalu termasuk Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Afdlin Shauki) dan Pelakon Wanita Terbaik (Liyana Jasmay) selain Cerita Asal Terbaik dan Skor Muzik Terbaik.
Sementara Talentime arahan allahyarham Yasmin Ahmad memang tidak perlu dipertikaikan lagi apabila hasil karya pengarah itu banyak memenangi anugerah dan penghargaan khas festival filem antarabangsa yang berprestij di Berlin, Cannes, Tokyo, San Francisco dan Pusan.
Sudah tentu kita mengharapkan kemenangan. Menjadi yang terbaik di dalam negara, hendaknya biarlah turut diiktiraf di luar negara. Kerana ketiga-tiga filem mempunyai kekuatannya yang tersendiri.
Selain itu, sebuah filem pendek, Making The Cut terbitan Finas turut menyertai festival filem itu.
Biar apa pun keputusan nominasi 16 kategori yang dipertandingkan pada festival itu nanti termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Aktor/Aktres Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik juga Filem Pendek Terbaik, isu penting yang perlu kita fikirkan demi industri filem kita adalah mengenai keinginan dan kesungguhan terhadap meneruskan sebuah kerja seni dan tanpa jemu menghasilkan karya yang bagus serta mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: