![]() |
| PARA karyawan yang akan mengadakan persembahan Gita Akustika selepas majlis pelancaran dan sidang media mereka di Rumah Pena, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
SABAN tahun kumpulan Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) telah melakukan pelbagai aktiviti terutamanya berkaitan pementasan teater yang banyak dipentaskan di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Selain teater, Stefani juga tidak ketinggalan cuba mempelbagaikan lagi persembahan mereka seperti dengan menganjurkan Gita Akustika yang berkonsepkan deklamasi puisi, nyanyian dan lakonan di kalangan para penggiatnya.
Persembahan berkonsepkan unplugged itu akan diadakan pada 29 dan 30 Disember ini di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena) Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur mulai pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam.
Pengasas Stefani, Fauziah Nawi berkata, Gita Akustika merupakan persembahan berkonsepkan gabungan elemen seni seperti puisi, nyanyian dan lakonan pertama yang dianjurkan oleh sanggar itu bagi memperkembangkan lagi aktiviti mereka.
"Sebelum ini Stefani lebih banyak mementaskan teater yang dijayakan oleh ahli-ahli kumpulan ini. Bagaimanapun kali ini kami cuba untuk memperkembangkan lagi aktiviti dan persembahan Stefani dalam bidang seni lain.
"Contohnya untuk persembahan Gita Akustika ini kami telah menjemput ramai penyajak dan pemuzik jalanan bagi menjayakannya. Selain membaca puisi dan menyanyi, ada di kalangan peserta persembahan ini juga akan berlakon.
"Gabungan tiga cabang seni itu bukan sahaja akan memberi kelainan tetapi ia juga sebagai salah satu aktiviti pengisian warga kota sempena ketibaan tahun baru 2010 nanti," katanya ketika ditemui selepas sidang media Gita Akustika di Rumah Pena, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Gita yang bermaksud nyanyian dan lagu, manakala akustika pula bermakna bunyi itu merupakan persembahan yang menampilkan strategi serampang tiga mata buat Stefani dalam usaha menyahut seruan DBP dalam Kempen Cintai Bahasa Melayu.
Katanya, antara objektif persembahan yang dianjurkan dengan kerjasama Pena itu adalah bagi mewujudkan kesedaran terhadap keindahan dan kehalusan kesusasteraan bahasa Melayu di kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.
"Selain itu, persembahan ini akan dapat menghimpunkan para karyawan dan seniman yang berminat dengan kesusasteraan Melayu untuk sama-sama menghayati serta bertukar-tukar pendapat bagi mengembangkan lagi Bahasa Kebangsaan kita itu. Semua lagu dan puisi yang akan dipersembahkan adalah dalam bahasa Melayu.
"Ia juga sebagai salah satu aktiviti yang Stefani anjurkan untuk warga kota sempena menyambut tahun baru 2010 dalam cara yang lebih bermanfaat. Ini kerana, selain menikmati persembahan, terdapat juga gerai-gerai menjual makan di situ untuk hidangan para penonton," ujarnya.
Tiket bagi menyaksikan satu malam persembahan itu ialah RM15, sementara bagi menyaksikan kedua-dua malam persembahan itu pula harga yang dikenakan sebanyak RM25.
Antara penyair, penyanyi, pemuzik serta pelakon yang akan menjayakan Gita Akustika ialah Dr. Wan Zawawi, Roslan Madun, Meor Yusof, Nik Jidan, Zubira, Penglipur Lara, Syed Amran, Adnan Omar, Peejoy, Suluk serta Fauziah Nawi sendiri.
Menurut Fauziah, kebanyakkan peserta yang akan terbabit dalam persembahan itu merupakan penyair terkenal selain kalangan pemuzik jalanan yang biasa menghiburkan orang ramai misalnya di kaki lima Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Stefani juga katanya tidak ketinggalan akan memperkenalkan kumpulan Tinaju di bawah bimbingan sanggar itu yang mengetengahkan persembahan hasil kombinasi lagu-lagu dan puisi.
"Tinaju dalam bahasa Boyan yang bermaksud 'buah hati' juga akan mengadakan persembahan di bawah bimbingan komposer Iryanda Mulia iaitu salah seorang anak didik dalam Stefani yang banyak mencipta lagu untuk kumpulan tersebut.
"Di samping Tinaju, setiap kumpulan yang lain pada malam itu kelak akan diberi masa selama kira-kira 15 minit untuk mengadakan persembahan. Mereka juga akan menggunakan peluang itu bagi mempromosikan lagu-lagu dan album-album yang diterbitkan oleh kumpulan masing-masing," katanya.
Sebarang pertanyaan berhubung persembahan Gita Akustika sila hubungi Farah di talian 012-6170697, Anna (017-3167995) dan Chie (012-2429621) atau layari laman sesawang akulahrawana.blogspot.com.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: