|
|
KUALA LUMPUR - Remaja Malaysia, Essasa Sue, 19, yang mencetuskan fenomena di Iceland ekoran namanya yang hampir sama dengan maksud slogan iklan syarikat gergasi telekomunikasi Eropah, Vodafone belum hilang demam populariti mengejut yang melanda dirinya.
Essasa atau nama sebenarnya Essasa Sie Sue Wei yang berkhidmat sebagai penyelaras di sebuah syarikat di Pelabuhan Klang dekat sini ketika dihubungi Kosmo! semalam berkata:
"Hanya kerana nama saya seakan-akan serupa dengan slogan syarikat itu, saya kini telah dikenali ramai bukan saja di Iceland tapi juga di Malaysia, lebih-lebih setelah Kosmo! melaporkan berita itu.''
Ekoran daripada peristiwa itu, remaja tersebut kini dilanda perasaan gembira bercampur takut.
"Kadangkala saya rasa tertekan kerana saya orang biasa, bukan artis,'' katanya yang kini menjadi bahan bualan di kalangan pengguna Internet seluruh dunia selepas kisahnya itu turut dilaporkan oleh media antarabangsa.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan kisah gadis itu yang menjadi popular sekelip mata di laman sembang Facebook terutama kepada penduduk Iceland gara-gara namanya menyamai slogan Vodafone yang diiklankan di negara berkenaan.
Iklan itu dibintangi aktor tempatan Iceland yang menyumbang suara menerusi watak utama seekor katak dengan menyebut 'Essassu' yang membawa maksud, 'Andakah itu?'
Essasa Sue bukan nama sebenar gadis tersebut sebaliknya nama pena selepas cadangan perkataan 'Sie' yang bermaksud 'mati' digugurkan di dalam Facebook.
Sehingga semalam, populariti Essasa melonjak dengan mempunyai hampir 4,000 kenalan di Facebook yang rata-ratanya adalah rakyat Iceland.
Gadis itu juga menafikan dakwaan mengatakan dia keturunan Iceland kerana ibu bapanya adalah warganegara Malaysia yang berasal dari Klang.
Berhubung dengan cadangan penduduk Iceland dalam Facebook supaya dia berkunjung ke negara itu, Essasa menyatakan dia belum bersedia berbuat demikian walaupun menyukai dirinya diminati ramai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: