Sunday, December 6, 2009

Erma sudah jangka menang di ASK ‘09



Suatu ketika dahulu, beliau cukup dikenali sebagai salah seorang pelakon yang begitu versatil hingga mampu menggalas apa sahaja watak yang telah diberikan oleh pengarah tidak kiralah dalam drama mahupun filem.

Tidak hairanlah sekiranya beliau mampu untuk menggondol pelbagai anugerah yang seterusnya melonjakkan namanya sebagai primadona filem Melayu.

Kini, setelah berjaya sebagai pelakon, beliau aktif pula bekerja di belakang tabir selaku penerbit dan pengarah. Ternyata, darah seni yang mengalir dalam tubuh Erma Fatima cukup membuktikan beliau seorang anak seni yang berkebolehan.

Pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2009 (ASK09) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra kelmarin, Erma berjaya membawa pulang sebanyak enam trofi menerusi drama sosialnya, Tersasar Di Jalanmu.

“Niat saya datang pada majlis malam ini memang untuk menang. Dan memang terdetik di hati saya yang mengatakan saya akan menang sekurang-kurangnya satu anugerah.

“Alhamdulillah, saya bukan hanya menang satu tetapi enam anugerah pada malam ini. Rindu saya selama ini untuk naik ke pentas menerima trofi terubat dengan kemenangan besar drama ini,” jelas Erma yang berjaya dinobatkan sebagai Pengarah Drama Terbaik dan juga Lakon TV Terbaik.

Selain itu, Erma yang juga merupakan penerbit drama tersebut turut membawa pulang trofi utama yang menobatkan Tersasar Di Jalanmu sebagai Drama Terbaik ASK09.

Sementara itu, dua pelakon utama wanita drama tersebut, Rosnah Mat Aris dan Nurish Ismail dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Drama dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama. Manakala trofi keenam dimenangi menerusi kategori Videografi Terbaik.

Di sebalik kejayaan ini, Erma memberitahu, drama hebat ini pernah ditolak oleh sebuah stesen televisyen swasta kerana ketiadaan nilai komersial. Akan tetapi, selepas dicadangkan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), mereka bersetuju untuk menyiarkan drama tersebut atas tanggungjawab sosial.

Secara ringkasnya, drama ini mengisahkan perjalanan hidup masyarakat yang tinggal di sekitar Lorong Haji Taib. Ianya mengenai sebuah keluarga yang mencari rezeki dengan membuka gerai makanan di kawasan yang cukup terkenal dengan pelbagai aktiviti tidak sihat itu.

Erma yang ditemui sejurus selepas menerima trofi pada malam ASK09 kelmarin, memberitahu media niat untuk menerbitkan drama sedemikian rupa adalah disebabkan simpati terhadap penduduk yang tinggal di sekitar kawasan terbabit. Persepsi masyarakat yang diberikan terhadap mereka yang tinggal di kawasan ‘samseng’ itu memberi impak kepada kehidupan mereka seharian.

“Tidak semua yang tinggal di situ terdiri daripada mereka yang bermasalah. Ada juga di antara anak-anak penduduk di situ berjaya dalam hidup mereka,” tambah Erma lagi.

Sementara itu, pelakon comel yang baru-baru ini berjaya menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 22 (FFM 22), Liyana Jasmay, sekali lagi berjaya menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi filem Kami The Movie. Manakala bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem berjaya dimiliki oleh aktor senior, Eman Manan aksi lakonan dalam filem Wayang.

Wayang juga turut diiktiraf sebagai Filem Terbaik sementara drama seram bersiri, Kekasihku Seru, ditabalkan sebagai Drama Rantaian Terbaik.

Bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik Filem, ianya berjaya dimenangi oleh Zulhuzaimy (Wayang) dan Ida Nerina (Susuk) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama dimiliki oleh Ahmad Tamimi Siregar menerusi drama Tak Serupa Tapi Sama.

Juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor bertuah kerana merupakan artis pertama yang berjaya membawa pulang trofi kategori yang julung kali diperkenalkan, Anugerah Yasmin Ahmad. Kategori ini diwujudkan bagi mengiktiraf bakat baru yang dibawa ke dunia lakonan tanah air. Sebelum ini, Jaclyn pernah memenangi Pelakon Harapan Wanita Terbaik menerusi filem Talentime di FFM 22.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: