Monday, December 7, 2009

Nada matang Watie




KALAU melihat perjalanan hidup artis wanita berusia 33 tahun ini, tidak dinafikan bahawa dirinya sering kali dipalit, dihujani serta diuji dengan pelbagai kisah pahit.

Berhadapan dengan masalah peribadi, kehilangan insan tersayang dan kegagalan dalam berumahtangga, semuanya itu dilaluinya dengan cukup tabah.

Malah, ketabahan yang menyelimuti diri serta jiwanya itu amat berbaloi apabila episod hitam yang membelenggu dahulu sudah jauh berlalu.

Sungguhpun begitu, meski kini mengecap kebahagiaan di samping sibuk dengan karier sebagai anak seni, Norwati Sadali atau Watie tidak lupa untuk berhati-hati tatkala melangkah.

Segalanya adalah bagi memastikan dirinya tidak lagi memijak lumpur hitam yang bisa mengotori derap langkahnya.

Begitulah Watie yang satu ketika dahulu namanya pernah berada di kemuncak tatkala bersama kumpulan Elite.

Kini, dunia nyanyian seakan tidak memihak kepada Watie sementelah dirinya semakin rancak beraksi di pentas lakonan.

Dilabel sebagai pelakon pilihan Rosyam Nor melalui syarikatnya Suhan Movies Sdn. Bhd., Watie disifatkan Rosyam sebagai pelakon yang memperlihatkan peningkatan membanggakan.

Sebagai artis yang berdisiplin, Rosyam turut mensasarkan Watie bakal bergelar heroin pilihan di kalangan produser untuk tempoh dua tahun lagi.

Enggan bernada riak mahupun membangga diri, Watie berpendapat kata-kata Rosyam sebagai satu cabaran buatnya untuk lebih berusaha meningkatkan mutu lakonan.

"Cabaran Rosyam adalah satu tanggungjawab yang besar untuk saya. Setiap kali ke set lakonan, saya sering menganggapnya seperti pergi ke sekolah. Masih banyak yang perlu dipelajari.

"Rosyam sering kata lakonan saya sudah okey tetapi bagi saya, semuanya masih belum mencukupi,'' kata Watie ketika ditemui pada majlis pratonton drama terbaru Suhan Movies iaitu Sanggar Cinta Raudhah dan R&R di Pawagam P. Ramlee, Finas, Hulu Kelang, baru-baru ini.

Untuk drama terbaru itu, Watie melakonkan watak sebagai Suzi dalam Sanggar Cinta Raudhah yang bakal ditayangkan di TV2 bermula 3 Disember ini.

Drama 20 episod arahan Zulkiflee R'Shad itu mengisahkan dilema perkahwinan seorang lelaki muda dengan wanita berusia lewat 40-an.

Selain Watie, ia turut dibintangi Aida Radzwill selaku Raudhah, Zizan Nin (Izwan), Azhan Rani (Mazli), Farah Alya (Dahlia), Kapten (B) Mohd. Nor (Datuk Kadir) dan Liza Othman (Datin Maznah).

Sanggar Cinta Raudhah merupakan drama keenam lakonan Watie bersama Suhan Movies selain Irish, Rahsia Hati, Gelora Di Hati Sara, Gelora Di Hati Sara 2 dan Rozanna.

Menyambung bicara, Watie berkata, tawaran lakonan yang diterimanya bukan sahaja membabitkan Suhan Movies tetapi ada lagi beberapa produksi lain.

Namun, menurut Watie, Rosyam dilihatnya sebagai seorang pelakon senior dan produser yang telah banyak mencorakkan mutu lakonannya.

"Dia (Rosyam) telah banyak ajar saya tentang segala-galanya. Dia ajar saya mengenali tentang kamera, pergerakan dalam lakonan, disiplin serta bagaimana hendak menjadi yang terbaik.

"Kalau hendak dikata tentang kena marah, bukan sahaja Rosyam, saya juga pernah dimarahi oleh lain-lain produser dan pengarah.

"Saya bersyukur kerana dapat bekerja dengan mereka yang garang kerana kegarangan itu membuatkan saya belajar serta membentuk karakter,'' ujarnya yang masih tidak dapat lupakan insiden dimarahi Erma Fatima ketika berlakon dalam drama Haryati lima tahun lalu.

Kata Watie, sepanjang bergelar pelakon, dia juga berasa puas kerana sering mendapat peluang berlakon dalam drama serta watak yang agak berat.

"Alhamdulillah, ramai produser bagi saya kepercayaan untuk membawakan watak-watak berat.

"Oleh sebab itu, saya tidak berani ambil lebih daripada satu tawaran dalam satu-satu masa,'' jelasnya.

Belum masa berkahwin lagi

Sementara itu, Watie yang diajak berbicara soal kehidupannya sekarang mengakui agak merasa kekosongan.

Semua kerana kisah cintanya dengan seorang jejaka menemui kegagalan.

"Hati saya masih terbuka untuk berkahwin lagi. Cuma, saya tidak tahu bilakah saat itu akan datang. Kalau ada rezeki, pasti ada nanti,'' katanya ringkas.

Biarpun begitu, ujar Watie, ekoran kegagalan dalam soal cinta, dia kini mengambil keputusan untuk memfokus sepenuhnya terlebih dahulu kepada bidang lakonan.

"Saya mahu fikir hal kerja sahaja dan anak, Ahmad Afif Danial Azhari yang kini berusia lima tahun. Masa terluang pun, saya akan habiskan dengan Afif,'' jelas Watie.

Ditanya mengenai Afif dan hubungannya dengan bapa kandungnya, Watie menjawab, anaknya itu ada bertanyakan tentang bapanya.

"Saya pernah bawa Afif berjumpa dengan bapanya. Itu tanggungjawab saya sebagai ibu. Pertalian anak dan bapa sudah pasti tidak akan putus,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: