
SEORANG anak seni yang tidak pernah surut daripada mewarnai dunia hiburan, nama Diana Rafar bukan asing lagi. Sejak terjebak dengan dunia lakonan seawal usia lima tahun, tidak sedikit drama dan filem yang pernah mendapatkan khidmatnya sebagai seorang pelakon.
Wanita berusia 27 tahun ini juga pernah mencipta nama sebagai anggota kumpulan wanita, G.I.M sebelum lahir dengan duet bersama kakaknya, Linda dan menjadi hit menerusi lagu mereka, Hak Milik Kekal.
Selain itu, dunia seni sempat mengheret penyanyi, model, duta produk, pengacara, pelakon dan ahli perniagaan ini ke dalam kancah kontroversi apabila dikaitkan dengan penyanyi Mawi dan akhirnya sensasi tersebut terpadam di sebalik lambakan drama lakonannya.
Cukup menghantui peminatnya kini melalui siri Nenek Kebaya yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, pada pukul 4.30 petang di TV3 dan 8.35 malam di TV9, Diana ternyata sekali lagi berjaya menghayati wataknya dengan baik.
Membawa karakter Shamsiah, gadis naif yang berkahwin dengan lelaki tua bernama Tuan Adam dan kemudian dipergunakan neneknya demi membalas dendam lama, dia mula dibenci kerana bertukar menjadi seorang isteri dan wanita yang kejam.
Mengaku watak Shamsiah begitu mencabar kredibilitinya apatah lagi dia harus berkemban demi menghidupkan jalan cerita, namun Diana tidak melihat hal tersebut sebagai satu isu.
Sebaliknya sebagai pelakon berpengalaman, setiap karakter yang diberikan kepadanya adalah satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan baik.
“Saya cuba menjalankan tanggungjawab saya dengan sebaik mungkin,” katanya yang menggemari transformasi watak baik Shamsiah kepada kejam secara perlahan-lahan.
Biar masih memberi ruang untuk berlakon, hakikatnya, kata Diana, selepas berkahwin dengan kekasihnya, Zamarul Hisham, dia kini lebih selesa menguruskan spa miliknya, D’Lugano Spa yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam.
Sembilan bulan berehat daripada dunia lakonan untuk melihat spa miliknya stabil, anak bongsu daripada enam beradik kini tanpa jemu gigih meluaskan perniagaannya tersebut.
Jika sebelum ini dia dan kakaknya, Linda cukup terkenal dengan Herba Dara Semula, terbaru, Diana kini menjaja krim susu seks yang dijual di spa miliknya.
“Krim wangi ini disapukan selepas mandi ke seluruh badan sebelum melakukan hubungan suami isteri. Hasilnya menakjubkan,” ujar Diana yang turut menegaskan, sebagai usahawan seseorang itu tidak perlu malu untuk mempromosikan produknya.
Tambah Diana lagi, biar ada yang skeptikal atau berasa malu dengan penjualan produk bersifat seks, realitinya kata Diana, dia cuba membantu memberi alternatif merapatkan hubungan mesra pasangan suami isteri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: