
PADA detik mencecah usia 18 tahun Disember ini, tidak sedikit bakat yang tertanam dalam diri gadis manis ini. Bermain alat muzik termasuk gitar dan piano, mula menulis lirik sejak usia 11 tahun dan bakat semula jadi menyanyi, Amanda Imani mengharapkan industri memberi ruang kepada anak muda sepertinya menghirup udara dan bernafas dalam dunia seni tempatan.
Beritahu gadis yang memiliki tali pinggang hitam taekwondo pada usia 15 tahun ini, pada fasa awal, nyanyian hanya menjadi minat yang dilakukan pada waktu senggang.
Namun, sebaik sahaja dilamar Ajai yang menyedari bakat semula jadinya semasa dia membuat persembahan pada majlis Monsoon Cup di Terengganu dua tahun lalu, Amanda mula memberi tumpuan kepada bidang muzik.
Sejak itu, bersama komposer tersebut dia merealisasikan impiannya. Demi citanya itu, dia muncul dengan debut yang diisi tujuh buah lagu ciptaan Ajai dan terdapat beberapa lagu yang ditulis sendiri dengan judul Amanda Imani di bawah payung Amanda Imani Productions.
Tiga daripada tujuh buah lagu termasuk Kita Sama Sahaja dan Terima Kasih mendapat sentuhan imaginasi yang ditumpahkannya dalam sebuah lirik.
"Mula-mula menulis lirik dulu, saya hanya simpan untuk diri sendiri sebab malu nak tunjuk pada orang. Tetapi bila berkolaborasi dengan Ajai, dia mahu saya berani mempamerkan bakat menulis saya.
"Maka itulah terbit tiga buah lagu yang menggunakan lirik saya sendiri," katanya yang juga banyak menulis lirik dalam bahasa Inggeris.
Menghimpunkan lagu-lagu berunsur cinta, Amanda saat ditanya relevan frasa cinta dalam setiap lagunya, berkata cinta adalah sebuah perasaan yang wujud dalam jiwa setiap insan.
Cinta yang disampaikan melalui senandung-senandungnya bercerita tentang perasaan kasihnya kepada keluarga juga makna cinta pada gadis remaja seusianya. Begitu penjelasan Amanda yang sudah mengembara ke beberapa negara termasuk Mesir, Jepun dan Sepanyol.
Sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Komunikasi dan Psikologi, kata Amanda, dia mahu pelajaran dan karier seninya berjalan seiring.
Sementelah jadual kerja tidak pernah melanggar waktu pengajiannya, Amanda memberi alasan tiada salah buat dirinya menggunakan kesempatan yang ada untuk menjalani dua perkara yang dicintainya itu.
"Jurusan Komunikasi dan Psikologi yang saya ambil sekarang banyak membantu dan membentuk peribadi saya. Saya suka bidang komunikasi. Saya juga suka mengkaji pemikiran orang.
"Dalam masa yang sama, saya seronok menyanyi. Saya suka bereksperimen dalam muzik. Melalui melodi, saya berevolusi dan melalui lirik pula saya mengekspresi diri.
"Apabila ada dua peluang dalam satu masa dan saya mampu melakukannya, saya ingin lakukan," kata penggemar muzik soul ini.
Mengakui sebelum memasuki dunia hiburan keyakinannya tidak begitu tebal, pengalaman berhadapan dan menghiburkan khalayak kini banyak membina keperibadiannya.
Malah sejak terkenal dengan single pertamanya, Selamilah Cinta dan kini mula menggamit perhatian menerusi single keduanya, Cinta Seluas Angkasa, sudah ada yang memancingnya untuk menjadi model dan pelakon.
"Tapi saya mahu dikenali sebagai penyanyi sahaja buat masa ini. Saya tidak mahu terlalu mengejar sesuatu perkara sehingga fokus yang saya ada sekarang tercicir. Lagi pula, saya tidak mahu orang keliru.
"Saya mahu dikenali sebagai Amanda Imani, seorang penyanyi. Saya harap saya diberi ruang," katanya penuh harapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: