Thursday, December 17, 2009

Dedah syarikat bas gagal beri diskaun


KERATAN muka depan Kosmo! semalam.





KUALA LUMPUR - Nama kira-kira 70 peratus syarikat bas ekspres yang melanggar peraturan dengan sengaja tidak memberi diskaun sebanyak 25 peratus kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan warga emas perlu didedahkan kepada umum.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman (gambar) berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan tiada pengguna menjadi mangsa kerakusan pengusaha bas ekspres selain mendidik mereka supaya bersifat amanah.

"Saya harap nama-nama syarikat terlibat didedahkan oleh kerajaan kerana mereka dengan sengaja melanggar peraturan dan pengusaha bas tidak boleh beri alasan harga tambang berdasarkan tempat duduk kerana itu tanggungjawab sosial mereka.

"Lagi pun alasan seperti itu menunjukkan kedangkalan mereka," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Kosmo! semalam mengenai rungutan orang ramai bahawa banyak pengusaha bas ekspres tidak mematuhi arahan kerajaan yang ditetapkan sejak 1 Ogos lalu.

Maamor seterusnya berkata, orang ramai yang menjadi mangsa dalam kes berkenaan juga diminta menyimpan resit pembayaran masing-masing kerana boleh dijadikan bukti apabila isu berkenaan dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: