| PERASAN atau tidak, sepanjang bergelar anak seni sejak lebih 10 tahun lalu, nama Dayang Nurfaizah Awang Dowty terlalu jarang diwarnakan dengan gosip cinta. |
Selama bergelumang dalam industri, kisah dan publisiti gadis kelahiran Kuching, Sarawak ini banyak berkisar soal kerjaya. Jauh sekali untuk mendengar kisah cinta atau insan bergelar kekasih.
Meskipun kini usianya mencecah 28 tahun, Dayang tidak kekok mengheret statusnya sebagai gadis 'tanpa lelaki bernama kekasih'. Sebaliknya istilah lelaki atau kekasih tidak langsung difikirkannya, apatah lagi menjadi kemestian buatnya.
Memetik kata-kata nakal pemenang Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2002 ini, cinta kepada seorang lelaki tidak langsung menjadi arah tuju dalam hidupnya. Yang lebih utama adalah album terbaru serta perancangannya untuk mengadakan konsert solo satu hari nanti.
"Syukur dan gembira apabila melihat semula laluan saya selama ini kerana berjaya menjauhkan diri dengan gosip atau kisah negatif. Malah saya berbangga kerana tidak pernah timbul dengan apa jua kontroversi meskipun beberapa kali saya ditolak ke arah itu oleh beberapa pihak, termasuk media.
"Kononnya saya dikatakan akrab dengan Anuar Zain tidak lama dulu, tapi alhamdulillah strategi saya untuk mendiamkan diri membuatkan kisah itu hanyut begitu saja. Realitinya, antara saya dan Anuar hanya selesa sebagai kawan.
"Bukan saya tidak mahu berbicara soal lelaki atau kekasih. Jauh sekali saya ingin merahsiakan soal itu, sebaliknya saya seorang yang berpendirian dan sangat komited dalam sesuatu perkara yang saya lakukan.
"Sejak awal pembabitan dalam seni, hala tuju saya adalah untuk mencipta nama sebagai penyanyi terkenal dan berdisiplin," katanya yang bermula sebaik dinobatkan juara menerusi Bintang Remaja Asli Sarawak 1996 dan Golden Teen Search 1997.
Misinya untuk memperkenalkan muzik dan gaya persembahan tersendiri sebagai penghibur. Malah dia banyak melaburkan pelbagai aspek kehidupan, termasuk mengorbankan kebebasan usia remaja demi cita-cita ini.
Justeru kata Dayang, mustahil untuknya mempersiakan segala yang diusahakan selama ini bagi meletakkan nama Dayang Nurfaizah di persada seni Malaysia.
Lebih memeranjatkan apabila penyanyi yang juga dilantik sebagai Ketua Biro Karyawan Muda ini membuat pengakuan yang dirinya sangat membosankan. Bukan saja tidak gemar bersosial, malah Selebriti Sokongan Riben Merah ini tidak mempunyai telefon bimbit sejak lebih lima tahun lalu.
Alasannya, sesiapa yang ingin menghubungi atau mendapatkan perkhidmatannya lebih mudah berurusan melalui pengurus peribadi atau keluarganya.
Tidak hanya itu, penyanyi yang mula menggegarkan pentas nyanyian dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta ini bersandar 100 peratus kepada cita rasa pengurusnya untuk membeli-belah barangan peribadi seperti pakaian dan kelengkapan persalinan untuk persembahan.
Mungkin selesa dan percaya selepas lebih lapan tahun bekerja dengan pengurusnya, Liza Kader Sultan, Dayang akur dan gembira dengan segala yang diatur untuknya.
"Saya sangat cuai orangnya dan bayangkan beberapa kali saya kehilangan telefon bimbit serta barang lain. Jadi saya mengambil keputusan untuk tidak menggunakan telefon, sebaliknya pengurus saya memegang segala dokumen peribadi dan beg tangan.
"Mungkin orang lain ibarat hilang arah dan terlalu bosan jika tiada telefon bimbit, tapi senario itu tidak pernah menghantui saya. Saya lebih selesa begini tanpa gangguan baik SMS atau panggilan telefon.
"Jika ada persembahan di luar Kuala Lumpur sekalipun, saya tidak pernah cuba mencuri masa dan peluang untuk berjalan-jalan walaupun belum pernah ke satu-satu tempat itu.
"Sebaliknya saya lebih suka berehat di bilik hotel. Saya hanya ke kelab untuk persembahan seperti konsert mini saya di Planet Hollywood sebelum ini. Namun untuk saya pergi berhibur ke kelab adalah mustahil.
"Alhamdulillah saya ada pengurus yang cukup memahami. Malah dia faham karektor saya yang tidak gemar keluar atau bersosial tanpa sebab. Jadi segala urusan memang Kak Liza yang lakukan. Saya lebih gemar bersantai dan meluangkan masa bersama keluarga dan anak saudara di rumah jika tiada kerja.
"Orang kata kalau nak cari jodoh, kita perlu banyak bergaul dan bersosial dengan teman. Jadi dengan perangai dan rutin harian begini, sampai bila-bila pun saya tidak akan bertemu lelaki idaman," jelasnya berseloroh.
Tidak pernah meletakkan syarat tertentu kepada mana-mana lelaki untuk mendampinginya, penyanyi yang baru dilantik sebagai Ahli Lantikan Menteri Majlis Perundingan Belia Negara serta Duta Perlindungan & Pengekalan Alam Semula Jadi ini bersikap optimistik dan reda terhadap soal jodohnya.
Malah dia akur dengan sikapnya yang seakan-akan menutup ruang kepada mana-mana lelaki untuk menghampirinya. Bagaimanapun, Dayang enggan melihat sisi itu sebagai bebanan. Kerana baginya, jodoh itu akan hadir sendiri pada masa yang tersurat buatnya nanti.
Sejurus disogok persoalan mengenai kerjaya seninya, penyanyi yang kini mempunyai lapan album itu gembira mengatur bicara. Selain bersemangat menjelaskan perancangannya, penyanyi berkulit hitam manis ini tidak sabar berkongsi perkembangan terbarunya.
Kejutan menerusi lagu duetnya, Sayang bersama idolanya, Marcell boleh dianggap pengubat rindu peminatnya. Lebih membuatkan penyanyi ini senyum meleret apabila lagu nukilan Omar K dengan lirik Nuur Iman itu berjaya menembusi semua stesen radio.
"Sambutan dan sokongan peminat serta pihak stesen radio terhadap lagu ini sangat menggalakkan. Jadi sebelum saya melancarkan album studio terbaru awal tahun depan, saya akan memperdengarkan sekurang-kurangnya dua lagu. Sebuah lagi ciptaan Yassin berjudul Ku Temu Cahaya.
"Saya juga terharu dengan kerjasama Marcell yang sudi berduet untuk lagu ini kerana perancangan ini dipersetujui sejak dua tahun lalu. Pemilihan Marcell disebabkan kualiti vokalnya yang hebat dan serasi dengan kombinasi suara saya.
"Album ini diterbitkan oleh syarikat saya iaitu DN&AD Entertainment Sdn Bhd dan saya yakin serta percaya akan kelainan yang bakal saya tampilkan menerusi karya kesembilan saya nanti.
"Ini pengalaman baru dengan mencuba satu lagi genre muzik yang berbeza. Malah saya seronok bekerja dengan warga kerja baru dan kreatif untuk album ini.
"Selain itu saya dan pihak pengurusan sibuk mencari penaja konsert solo saya yang dijadualkan pada Julai 2010. Setakat ini saya masih kekurangan RM200,000 untuk merealisasikan impian itu. Lokasi yang kami rancangkan ialah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur atau Istana Budaya," katanya.
Meskipun dihujani pelbagai kejayaan, Dayang mengakui masih banyak perlu ditempuh dan dipelajari. Malah, penyanyi yang pernah digelar 'Beyonce Malaysia' ini berjanji akan terus tampil dengan pesona tersendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: