![]() |
Cinta monyet Mohd Razlan Mohamed dan Nur Sheila Hassim berakhir di jenjang pelamin, Sabtu lalu
MERAH inai di jari, merah dan hangat membara lagi cinta vokalis kumpulan Kristal, Mohd Razlan Mohamed Yusof terhadap isterinya, Nur Sheila Hassim. Cinta monyet yang pernah terjalin pasangan sebaya berusia 24 tahun ini sejak di tingkatan dua, akhirnya mekar hingga ke jenjang pelamin.
Perkenalan sepanjang 10 tahun lalu bersaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat berakhir dalam sebuah ikatan perkahwinan apabila pasangan sama padan ini sepakat menjadi suami isteri pada 5 Disember lalu. Memilih bulan terakhir dalam kelendar, jodoh ternyata begitu kuat menyatukan mereka.
Razlan atau lebih mesra dipanggil Lan berkata, dia sendiri tidak menyangka hubungan yang terjalin antaranya dengan isteri sejak di tingkatan dua mampu bertahan hingga sekarang. Malah sebagai menghargai simbolik angka itu, pasangan sama padan ini banyak mengabadikan nilai itu termasuk jumlah mas kahwin dan wang hantaran.
“Jadi tak bererti cinta monyet tidak boleh bertahan ke peringkat yang serius dan lebih baik (berkahwin). Semuanya berbalik kepada soal jodoh. Angka dua itu pula memang sinonim dengan diri kami kerana banyak kenangan dan perkara tertentu dikongsi bersama.
| PASANGAN ini memilih tema Arab gipsi pada hari pernikahan mereka. |
“Kami bertunang dalam tempoh dua tahun. Kami menguruskan syarikat Razeila Entertainment bersama-sama sejak dua tahun lalu. Malah, simpanan kewangan kami juga diletakkan atas nama bersama. Maka dengan itu, kami sepakat memilih jumlah RM222.22 bagi mas kahwin dan wang hantaran pula, RM 22,222.22,” kata Lan ketika ditemui Hip sejurus selepas selesai majlis akad nikah.
Nazar potong rambut
MEMILIH konsep Arab Gipsi, majlis pernikahan ini seperti tema yang dipilih Anugerah Skrin 2009 baru-baru ini, yakni Hikayat 1001 Malam atau Arabian Nights. Mereka selamat diijabkabulkan di kediaman pengantin perempuan di Lot 144 B, Lorong Berkat 5, Kampung Sri Aman, Batu 13, Puchong Selangor tepat jam 10.15 pagi.
Majlis ijab kabul disempurnakan wali iaitu bapa pengantin perempuan sendiri, Hassim Bunran secara sederhana tapi cukup meriah dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan rakan taulan.
| ACARA memotong kek. |
Dinikahkan Imam Masjid Jamek Batu 14, Puchong, Idris Ahmad, Lan dan pasangannya bersanding pada keesokan hari di tempat yang sama. Acara bertandang pula akan diadakan pada 20 Disember di Kuala Lumpur. Malam sebelum hari pernikahan, Lan turut bernazar memotong rambutnya ke paras bahu.
“Alhamdulillah, akhirnya jodoh kami kuat bersama. Sebagai simbolik pada hari pernikahan kami, saya memotong rambut sebagai membayar nazar apabila berjaya mendapat sesuatu yang saya betul-betul perlukan di dalam hidup ini iaitu sebuah ikatan perkahwinan yang sah.
“Terima kasih kepada pihak penaja dan orang perseorangan yang terbabit secara langsung mahupun tidak dalam merealisasikan majlis ini. Terima kasih juga kepada rakan media yang hadir membuat liputan. Saya juga harus berterima kasih kepada isteri saya kerana tanpa sokongannya, saya rasa seperti kosong.
“Dia (isteri) sangat memahami dan sentiasa berada di sisi saya tidak kira sama ada dalam waktu susah atau senang. Malah, kalau buat kerja seorang diri pun, saya rasa hidup ini tak lengkap. Sebab itu dia jugalah yang merangkap menjadi pengurus kumpulan Kristal dan dialah juga kerani dan telefonis di pejabat kami,” kata Lan yang ternyata sudah bersedia untuk memikul tanggung jawab sebagai suami.
Lan lelaki jujur, berterus terang
BERALIH bicara kepada isterinya, Shiela memberitahu terlalu banyak kenangan indah dan pahit yang dikecapi bersama. Seperti pasangan lain, tugu cinta mereka juga pernah diuji, apabila ada saja dugaan yang bukan datang daripada mereka menerjah. Namun, ia tidak sesekali melunturkan rona bahagia mereka.
Kata Sheila, mungkin juga benar cakap orang tua supaya tidak bertunang lama-lama kerana hidup pastinya akan terus diuji. Tapi bersyukurlah, sekalipun ribut taufan melanda, selepas ini, ia tidak akan mengganggu gugat cinta mereka. Insya-Allah, apa yang penting, ialah terus menjaga keberkatan rumah tangga yang sudah dibina.
“Apa yang saya amati, Lan ini seorang yang sangat jujur dan suka berterus terang. Kalau nak tahu sewaktu kami bercinta di bangku sekolah lagi, kami sebenarnya tidak terlalu terikat di antara satu sama lain. Malah, kami terbuka dalam soal berkawan dan boleh menjalinkan hubungan dengan orang lain pada masa yang sama.
“Hubungan kami tidak terlalu formal dan sebab itu kami boleh seiring. Lan sendiri pernah cakap yang dia cukup minat dekat Fasha Sandha. Saya pula beritahu dia, saya amat memuja Farid Kamil. Lan ini nampak saja macam brutal, tapi suara dia lebih perlahan daripada saya.
“Dia tak pernah cakap bahasa ‘lu’ atau ‘gua’ dengan saya. Kami lebih senang membahasakan awak atau ‘you’. Saya ini mungkin cepat mesra dengan orang, manakala Lan pula bukanlah pemalu, tetapi dia jenis manusia yang perlu mengambil masa untuk mengenali orang lain,” kata Shiela yang mengimpikan 10 orang anak.
Pada majlis pernikahan, sebanyak 11 dulang dibawa oleh keluarga pengantin lelaki dibalas dengan jumlah dulang yang sama daripada pihak pengantin perempuan. Menurut Sheila, pada majlis persandingan (6 Disember), mereka memilih warna kuning Di Raja dengan sentuhan kotemporari moden, manakala majlis bertandang (20 Disember), gaya Inggeris dipilih.
Beg, kasut, kain persalinan, al-Quran, sejadah, bunga rampai, sirih junjung, cincin, haruman, alat solekan, tali pinggang, manisan dan buah-buahan antara seleksi dulang hantaran yang dipilih pasangan ini. Pasangan ini juga tidak merancang untuk berbulan madu dalam masa terdekat, sebaliknya hanya akan memikirkannya pada 2010.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: