PEMBABITANNYA dalam pementasan teater Lorong Blues arahan Fauziah Nawi, dua tahun lalu bagi menggantikan watak, yang sepatutnya dijayakan pemenang Akademi Fantasia musim ke-4 (AF4), Mohammad Faizal Ramly (Faizal), menjadi suatu hikmah buat pelakon muda, Mohamad Asri Azizan, 23. |
Di situlah pertama kali pelakon meningkat naik menerusi siri Kapten Kit ini bertemu, Lydia Iryani Mohamed Khairul (Liya) juga bekas peserta AF4 yang kini sah menjadi isterinya pada tanggal 10 Oktober lalu.
Petang Isnin lalu, pasangan pengantin baru ini sempat mengunjungi Harian Metro untuk mengedarkan kad sempena majlis persandingan mereka yang akan diadakan di Dewan Seri Endon, Putrajaya pada Sabtu 5 Disember ini.
Kesempatan itu juga digunakan untuk membongkar rahsia perkenalan mereka selain bertanyakan pandangan mereka terhadap pasangan masing-masing hingga membuatkan mereka jatuh cinta.
Liya yang semakin aktif berlakon berkata, dia sukakan Asry kerana jejaka itu membuatkannya tenang.
"Saya sukakan Asry kerana dia pandai mengawal saya. Maklumlah saya seorang yang keras kepala dalam masa sama manja serta senang menangis.
"Katakanlah saya merasakan kurang mendapat perhatiannya, saya akan menangis sampaikan emak pun menegur saya terlalu manja. Mungkin sejak kecil, sebagai anak tunggal segala permintaan saya tidak pernah ditolak.
"Namun, Asri pandai mengambil hati dan tahu bagaimana caranya untuk mengawal perasaan saya daripada terus marah dan dia juga pandai mengambil hati," katanya.
Sementara Asri pula berkata, Liya bukan saja memiliki rupa yang menawan, tetapi mempunyai ciri-ciri lengkap untuk dijadikan isteri.
"Dia memiliki raut wajah yang indah dan sukar ditemui pada gadis tempatan lain. Ia mungkin kerana dia berdarah campuran. Satu hal yang sangat istimewa mengenai Liya, dia sangat cekap di dapur serta pandai memasak.
"Saya masih ingat lagi sebelum kami bercinta lagi, Liya pernah bertanya pada saya ada tak apa-apa yang saya teringin hendak makan. "Kebetulan masa latihan Lorong Blues, masa itu dekat-dekat hendak Aidilfitri. Jadi saya maklumkan padanya saya teringin nak makan nasi impit, ketupat dan rendang tok.
"Keesokan harinya Liya bawakan bekal makanan berisi segala menu yang saya sebutkan. Tetapi, dia bukanlah bawa untuk saya seorang sebaliknya pada semua yang terbabit dalam pementasan teater itu.
"Sewaktu mencuba rendang tok saya tanya berulang kali kepada Liya sama ada dia membeli atau memasak menu itu sendiri. Memang lazat dan mungkin sebab penangan air tangan itu salah satu sebab saya terpikat pada Liya. Kami juga perasan yang kami berkongsi minat yang sama iaitu suka makan," katanya.
Menyingkap majlis penyatuan mereka, pasangan ini bernikah di kediaman keluarga Liya di Bandar Baru Bangi. Dengan hanya sekali lafaz, Liya sah menjadi isteri kepada Asri.
Pihak lelaki menyerahkan wang hantaran sebanyak RM22,777.22 dan mas kahwin RM777. Uniknya, majlis pernikahan mereka pasangan mempelai tidak bertukar dulang hantaran dan ia menjadi simbolik kepada ketulusan hati mereka untuk melayari bahtera rumah tangga bersama.
Bercerita lanjut mengenai persiapan persandingan, pasangan ini memilih konsep Nusantara dan Inggeris.
Sementara, busana pengantin yang ditempah khas dari Indonesia pula bertemakan warna merah jambu serta putih gading.
Manakala, untuk gaun pengantin yang biasanya dipakai ketika upacara memotong kek, Liya dan Asry memilih rekaan Dios Astana Bridal.
Sementara, dekorasi pelamin dan pelamin dari Yonramzie Collections serta solekan, Ferri Karisma.
Kata Liya, dia menekankan penggunaan bunga-bunga segar untuk majlis persandingan yang dirancangkan hampir dua bulan lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: