Wednesday, December 2, 2009

Black dan MUH akhirnya bersatu



Selepas memenangi Anugerah Juara Lagu ke 23, Meet Uncle Hussein (MUH) dilanda pelbagai masalah. Pengunduran vokalisnya, Lan daripada terus terbabit dengan MUH dan memilih haluannya sendiri antara isu hangat yang diperkatakan.

Setelah Lan mengundurkan diri, MUH mengambil keputusan untuk berehat daripada sebarang aktiviti seni sehinggalah kemunculan mereka di majlis sidang media Muzik-Muzik peringkat separuh akhir yang diadakan di Sri Pentas baru-baru ini.

Di majlis tersebut, MUH tampil membuat persembahan bagi memeriahkan lagi acara tersebut. Tetapi muncul beberapa persoalan dalam kalangan media apabila MUH tampil berkolaborasi dengan seorang penyanyi solo yang sebelum ini menolak untuk menyertai band indie tersebut.

Penyanyi yang dimaksudkan tersebut ialah juara Mentor musim ketiga, Black. Namun ketika itu, Taja selaku ketua MUH menjelaskan itu adalah atas permintaan pihak penganjur untuk kami sama-sama menjayakan persembahan pada hari tersebut.

Tidak lama selepas itu, tiba-tiba Black dan MUH bergabung mendendangkan sebuah 'single' baru yang berjudul Drama King. Wujud semula persoalan sama ada Black telah bersetuju untuk menyertai MUH sebagai vokalis mereka atau sekadar ingin bermain teka-teki dengan pihak media.

Kunjungan MUH dan Black ke studio Karangkraf baru-baru merungkai jawapan kepada segala persoalan yang timbul selama ini.

“Kolaborasi antara MUH dan Black menerusi lagu ini bukan bermakna Black telah menyertai band kami. Tetapi ianya hanyalah sebuah projek khas yang dilakukan oleh MUH dengan artis-artis tanah air.

“Black adalah artis kedua yang terlibat dalam projek ini. Sebelum Black, L. Danielle mula-mula bergandingan dengan MUH untuk mempersembahkan sebuah lagu raya,” kata Taja menjawab persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya kepada para wartawan dan juga peminat.

Menurut Taja lagi, pemilihan Black kali ini juga adalah sebagai salah satu cara menunaikan permintaan ramai pihak yang sebelum ini inginkan Black dan MUH bersatu. Tambahnya, spekulasi sebelum ini yang mengatakan Black akan mengganti tempat Lan memberi idea kepada MUH untuk mengundang juara Mentor tersebut sebagai penyanyi undangan untuk projek mereka itu.

“Walaupun gabungan ini bukan secara kekal, sekurang-kurangnya hasrat peminat di luar sana tercapai untuk melihat MUH dan Black bersatu dan hasilnya, kami persembahkan Drama King,” katanya.

Dalam pada itu, projek khas yang dilakukan MUH ini bertujuan untuk meneruskan aktiviti seni MUH yang masih lagi belum menjumpai vokalis yang sesuai. Menurut MUH, kerjasama dengan artis-artis lain bakal menyusul sehinggalah mereka bertemu dengan vokalis yang benar-benar sesuai untuk meneruskan agenda MUH.

“Selepas Black, kami telah pun menyatakan hasrat kami untuk bekerjasama dengan dua orang penyanyi otai. Buat masa ini, kami belum boleh beritahu sipakah artis tersebut. Ianya adalah satu kejutan untuk peminat MUH dan juga peminat mereka,” jelas Taja yang cukup teruja dengan projek MUH itu.

Katanya, artis-artis yang bakal terlibat dalam projek mereka itu tidak semestinya artis lelaki. MUH juga ada perancangan untuk mengundang penyanyi wanita untuk berkolaborasi tetapi belum memutuskan gerangannya.

“Lagu-lagu kolaborasi tersebut akan dihasilkan secara single. Kemudian, setelah dikumpul dan sekiranya berkesempatan, ianya akan dimuatkan dalam sebuah album,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: