![]() IDHAM (kiri) bersama pelakon dan penerbit Aku Masih Dara, David Teo (dua dari kanan). |
Judul Aku Masih Dara mungkin tidak disenangi
MENGUKUHKAN kedudukan sebagai sebuah daripada syarikat pengeluar filem paling aktif di negara ini, baru-baru ini MIG Productions Sdn Bhd melancarkan pula filem ke-40 terbitannya, Aku Masih Dara. Masih menggunakan khidmat pengarah Ahmad Idham, filem terbabit dibintangi Ashraf Muslim, Norliana Shamsudin, Raja Farah, Diana Amir, Riezman Khuzaimi, Safura, Hafidzuddin Fadzil dan ramai lagi.
Menjalani penggambaran selama kira-kira 20 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Cameron Highlands bermula 15 Disember lalu. Ia berkisar kepada kehidupan remaja perempuan hari ini yang kian lupa pada pegangan agama serta kesucian diri.
Menerusi garapan terbarunya itu, Idham sekali lagi mengajak penonton, terutama remaja perempuan, menilai semula kehidupan mereka. Katanya, menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik golongan muda ini sebelum mereka lebih jauh terpesong daripada ajaran sebenar.
"Kita cuba melihat di mana kesedaran mereka terhadap kesucian agama Islam, kepentingan menjaga maruah, serta kepentingan ibu bapa memberikan didikan yang baik kepada anak-anak," katanya di majlis doa selamat pelancaran filem itu di pejabat MIG, Subang Jaya.
![]() |
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah penerbitnya, David Teo dan penolong pengarah, Ismail Bob Hashim.
Mengenai judulnya yang bersifat provokatif, pengarah itu tidak menafikan ia dilihat berupaya sebagai daya tarikan.
"Kita filem ini muncul sebagai filem yang biasa saja. Ia filem dengan jiwa yang garang, lalu sesuatu judul yang garang juga perlu disediakan.
"Aku Masih Dara ialah filem yang berani. Saya tidak mahu mendedahkan bentuk keberaniannya, apakah ia dari segi seksual, visual, penceritaan, skrip atau dialognya? Semua itu akan terdedah apabila peminat memasuki panggung nanti," katanya.
Idham mengaku, dia sememangnya mahu ‘mencetuskan kemarahan’ golongan remaja dan ibu bapa menerusi penghasilan filem berkenaan.
"Biar mereka tertanya-tanya, mengapa saya bermain dengan isu kegadisan remaja dalam filem ini? Saya berbuat demikian kerana itulah permasalahan yang dihadapi sebahagian daripada mereka, ketika ini. Namun, saya tidak akan membiarkan pengisiannya berbaur seksual sebagaimana judulnya. Sebaliknya penonton akan mendapat cerita kemanusiaan di sebalik judul sedemikian," jelas Idham.
David sendiri berkata dia agak terperanjat apabila dimaklumkan filem terbarunya menggunakan judul sebegitu. Namun, selepas dijelaskan pengisiannya, barulah dia memahami maksud sebenar yang ingin disampaikan menerusi judul berkenaan.
"Ia sebuah lagi filem dengan unsur keagamaan selepas Syurga Cinta. Penghasilan filem ini lebih kepada melunaskan tanggungjawab sosial kami dalam memberikan kesedaran kepada golongan muda kita, serta kepada ibu bapa dalam mengharungi kehidupan penuh dugaan.
"MIG melihat penghasilan filem ini lebih kepada cabaran yang dihadapi pihak produksi, bagi menyeimbangkan antara mesej yang baik dengan nilai komersial,” kata David.
Sinopsis
Aku Masih Dara:
FILEM ini mengisahkan Aleesya, Sofea dan Hani yang datang daripada latar keluarga berbeza serta mempunyai pandangan berlainan terhadap Islam, mengikut acuan didikan ibu bapa serta pengaruh persekitaran masing-masing.
Aleesya mempunyai didikan asas dalam agama membesar dalam persekitaran serba moden dan bebas, membuatkan dia lupa pada tuntutan Islam. Sofea dibesarkan tanpa didikan Islam, hidup tanpa ketenangan walaupun mempunyai segala-galanya. Hani berasal daripada keluarga susah, menjerumuskan diri dalam dunia noda serta dosa bagi mencari kehidupan senang.
Firdaus datang ke Kuala Lumpur untuk mengikuti kursus keusahawanan. Di ibu kota, dia menumpang di rumah bapa Aleesya. Mereka tidak menyukai Firdaus kecuali Sofea yang mula berubah dan berasa lebih tenang sejak bersahabat dengan lelaki berkenaan.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: