Wednesday, December 16, 2009

Bertapa di dalam gua

Dario Escobar meninggalkan tanah kelahirannya di Colombia, kehidupan mewah dan hobi bermain bola sepak untuk bertapa di sebuah gua di Lebanon.


DARIO tidak pulang ke rumah atau menjenguk keluarganya yang menetap di Colombia sejak 20 tahun lalu.


CINTA Dario Escobar pernah bersemi dalam sukan bola sepak. Dia dilahirkan dalam sebuah keluarga berada di Colombia dan menjalani kehidupan yang senang-lenang. Namun semua itu berakhir kira-kira sembilan tahun lalu apabila dia berhijrah ke biara Hawka yang terletak di dalam gua beberapa kilometer di bahagian utara Lembah Qadisha, Lebanon.

"Saya pernah tinggal di sebuah rumah yang selesa berdekatan dengan kawasan kejiranan yang membangun. Saya berasa sungguh bertuah," akui Dario yang kini hanya memiliki satu harta iaitu jubah pendeta yang usang.

Keluarganya yang terdiri daripada ibu bapa dan enam orang adik-beradik sekarang tinggal di Medellin iaitu di bahagian barat laut Colombia. Bagaimanapun, dia menyangkal mempunyai sebarang pertalian dengan pengedar dadah terkenal, Pablo Escobar yang berasal dari kampung yang sama.

"Duit tidak pernah memberi kesejahteraan kepada diri saya. Ia cuma membawa masalah yang memeningkan kepala. Sebab itulah, saya meninggalkan segala-galanya dan menyahut seruan Tuhan," katanya yang berwajah kedut dengan janggut beruban.

"Sesiapa sahaja yang pernah melalui hidup sebegini (bertapa), pasti tidak mahu berundur," ujarnya lagi.

Lembah Qadisha digelar Lembah Nabi kerana di situ terdapat banyak biara dan tempat bertapa. "Ia adalah sebuah kawasan yang sesuai untuk berdoa dengan tenang dan damai," kata Dario.

Dia tiba di Lebanon pada awal tahun 1990-an selepas bertemu dengan seorang paderi Lebanon di Amerika Syarikat. Daripadanya, Dario mengetahui tentang keindahan alam semula jadi untuk menunaikan tanggungjawab kerohanian. Sebelum bertapak di sini, dia telah merantau ke beberapa buah biara dan lokasi pertapaan di seluruh Lebanon.

"Saya tidak sanggup melepaskan ketenangan yang dikecapi walaupun diganti dengan apa juga kekayaan," ujar Dario dengan sepasang mata yang 'tersenyum'.

Bantal Dario terdiri daripada beberapa ketul batu manakala katilnya dilapik dengan papan yang dihampar dengan tilam nipis. Biliknya ringkas dengan hiasan beberapa batang lilin dan jam loceng.


DARIO ESCOBAR


"Saya makan apa yang ditanam sendiri. Apa yang tidak dapat dihasilkan di sini akan diperoleh daripada sebuah biara berdekatan," ujarnya.

Diet menu pemakan sayur ini terdiri daripada kacang, bawang dan kentang yang ditanam di sebelah rumah.

Dahulu, Dario adalah seorang pensyarah dalam bidang ilmu ketuhanan, psikologi dan kitab injil Greek. Sebagai seorang yang bertapa, dia hidup dalam kekurangan tetapi berasa sungguh gembira. Tiada surat khabar, telefon, televisyen, radio dan sudah tentu Internet termasuk Facebook.

Dalam pada itu, dia tidak pulang ke rumah atau menjenguk keluarganya sejak 20 tahun lalu. "Saya tidak mahu mereka datang ke sini. Saya cuma berdoa untuk Colombia," katanya.

Selain beberapa rahib yang tinggal di kawasan pedalaman itu, golongan pengembara atau pendaki gunung adalah segelintir pihak yang mengingatkan dirinya dengan kehidupan dunia luar.

"Biasanya, saya tidak bercakap dengan sesiapa tetapi ramai yang kerap menyalah tafsir bahawa seorang yang bertapa boleh meramalkan masa depan," katanya.

"Ada juga yang bertanya siapakah yang akan menang dalam pilihan raya? Apa akan terjadi kepada Samir Geagea? Michel Aoun? Macam mana saya tahu semua perkara ini," katanya sambil ketawa.

Hobi bermain bola sepak kini tidak tersenarai dalam aktiviti harian yang padat dengan rutin sembahyang selama 14 jam, tiga jam berkebun, dua jam membaca buku keagamaan dan lima jam tidur.

"Saya tidak dibenarkan tidur lebih lama dan tidak boleh memotong janggut. Ini kerana saya mengikut ajaran Vatican," ujarntya.


KEINDAHAN alam semula jadi memberi idea kepada Dario untuk menjadi paderi yang bertapa di sebuah gua di Lebanon.


Di pejabat kecilnya, terdapat sebuah tengkorak yang diletakkan bersebelahan dengan barisan buku yang disusun kemas.

"Kesemua ini adalah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi kematian," katanya.

Walaupun hidup di sebuah kawasan yang jauh daripada pembangunan dan sunyi, Dario tidak berasa bosan apatah lagi dahagakan kekayaan duniawi.

"Ada seorang yang bertapa di lembah ini tidak pernah bercakap dengan sesiapa selama bertahun-tahun," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: