Monday, December 28, 2009

Belum ada bukti ada kaitan Al-Qaeda


GAMBAR menunjukkan pesawat yang dinaiki Umar mendarat di sebuah lapangan terbang di Detroit pada Jumaat lalu.

WASHINGTON - Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Janet Napolitano memberi amaran bahawa tidak wajar untuk membuat spekulasi bahawa serangan dalam sebuah pesawat AS oleh seorang pengganas warga Nigeria mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.

"Buat masa sekarang, insiden itu sedang disiasat.

"Justeru tidak wajar untuk membuat spekulasi sama ada suspek mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda atau sebaliknya," kata Napolitano dalam wawancara dengan rangkaian berita CNN semalam.

Beliau merujuk kepada Umar Farouk Abdulmutallab yang didakwa cuba meletupkan pesawat milik syarikat Northwest Airlines pada Jumaat lalu semasa ia menghampiri Detroit.

Saudara mara warga Nigeria berumur 23 tahun itu yang terkejut dengan perbuatannya, menyatakan bahawa dia seorang pemuda yang taat pada ajaran Islam dan sudah beberapa minggu tidak menghubungi keluarganya.

"Umar seorang yang bijak dan tiada sesiapa pun dalam keluarga ini pernah terfikir bahawa dia akan melakukan kerja gila seperti itu," kata seorang saudaranya di bandar Kaduna, utara Nigeria.

Pada Julai lepas, Umar menyatakan bahawa dia mahu mengikuti kursus Bahasa Arab di Yemen dan bapanya, Umaru Mutallab yang merupakan seorang jutawan industri perbankan memberi kebenarannya berbuat demikian.

Namun, keluarganya mula bimbang apabila pemuda itu mengumumkan bahawa dia mahu terus tinggal di Yemen dan melupakan pelajarannya dalam program sarjana pentadbiran perniagaan di Universiti Dubai.

Kebimbangan mereka meningkat apabila dia menghantar satu pesanan ringkas (SMS) kepada keluarganya beberapa hari kemudian untuk memaklumkan bahawa dia memutuskan semua bentuk perhubungan dengan mereka.

Sejak itu keluarga Umar gagal menghubunginya.

Bapa pemuda itu kemudian memutuskan untuk memberitahu Kedutaan AS di Nigeria dan Agensi Perisikan Nigeria tentang kebimbangannya mengenai perbuatan Umar.

Keluarganya kemudian dikejutkan dengan berita percubaan Umar untuk meletupkan penerbangan Northwest Airlines yang membawa 270 penumpang ke Detroit. Dia menaiki pesawat itu di Amsterdam setelah berlepas dari Lagos, Nigeria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: