SEBAGAI seorang pelakon, nama Liyana Jasmay sering kali diangkat dan dipuji dengan penampilan lakonan yang hebat.
Gadis lincah ini juga telah membuktikan bahawa dirinya berada di landasan yang betul apabila berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Papadom di Festival Filem Malaysia ke-22 di Kota Kinabalu, Sabah, Ogos lalu.
Membuka landasan baru dalam bidang nyanyian juga memberikan tuah kepadanya setelah single pertama, Aku Tak Percaya Cinta berjaya menambat hati peminat- peminatnya.
Biarpun single itu menarik minat ramai, Liyana tetap dikritik kononnya dia tidak layak menjadi seorang penyanyi kerana suaranya agak sumbang setiap kali menyanyi secara live.
Langsung tidak patah semangat, segala kritikan diambil sebagai pengajaran dan Liyana atau panggilan manjanya, Nana, berusaha dan bekerja keras untuk membuktikan vokalnya mampu berubah.
Terus, empat buah lagu iaitu Aku Jatuh Cinta, Kejam, Penyelamat Cinta dan Pelik, dipertaruhkan dalam album barunya berjudul Liyana Jasmay, yang juga memuatkan lagu Aku Tak Percaya Cinta di bawah penerbitan syarikat milik kakaknya sendiri, Adriana Jasmay. Melalui Regal Way Marketing Sdn. Bhd. dengan kerjasama Metadome Sdn. Bhd. sebagai jentera promosi, Liyana memulakan perjalanan dalam bidang senisuara.
Ketika pelancaran albumnya berlangsung di Hard Rock Cafe baru-baru ini, ternyata, vokal Nana semakin baik berbanding sebelumnya. Manakan tidak, kritikan yang diterima mengajarnya untuk menjadi seorang yang lebih kuat dan belajar daripada kesilapan.
Sebelum hari pelancaran albumnya, Nana memberi fokus 100 peratus dalam latihan nyanyiannya dalam jangka masa lebih daripada dua bulan.
Nana juga turut mempelajari teknik vokal bersama guru vokal popular, Syafizawati Shariff selama lapan sesi.
Walaupun sekadar lapan sesi, Nana telah menghabiskan wang lebih daripada RM1,500 agar memantapkan lagi vokalnya.
"Setiap sesi pembelajaran vokal akan diambil masa dua jam, jadi saya manfaatkan pembelajaran itu sebaik yang mungkin.
"Melalui pembelajaran teknik vokal juga, saya tahu apa kekurangan dan kelebihan saya dan rasa seronok sangat mempunyai cikgu vokal yang memahami dan banyak memberi sokongan.
"Apa-apa pun, saya tidak berpuas hati sepenuhnya dengan vokal saya, banyak yang perlu dipelajari. Lagipun saya masih baru dan ini adalah permulaan untuk saya dalam bidang nyanyian pada tahun ini.
"Sebenarnya, tanpa kritikan, kita tak mungkin akan belajar daripada kesilapan sendiri. Saya sedar ramai yang mempertikaikan nilai-nilai estetika dalam muzik saya tetapi semua itu akan berkembang sedikit demi sedikit seiring dengan usia," tutur Nana yang mengenakan gaun rekaan Rizman Ruzaini di acara tersebut.
Tiada kaitan dengan kekayaan
Bercerita mengenai albumnya, Nana berpuas hati apabila Ajai bertindak sebagai penerbit serta menyumbangkan tiga buah lagu iaitu Aku Tak Percaya Cinta, Kejam dan Aku Jatuh Cinta.
Kata Nana, komposer dan penerbit itu sentiasa menggerakkan muziknya mengikut peredaran zaman walaupun usianya semakin meningkat.
"Lagu-lagunya sentiasa segar dan mempunyai elemen-elemen muzik terkini tetapi tetap mengekalkan sentuhan muziknya. Tambah pula, walaupun Ajai lebih berpengalaman, dia tidak kisah jika saya memberikan sedikit pandangan tentang lagu yang bagaimana saya inginkan. Sebab itu saya senang bekerja dengannya.
"Menerusi penghasilan album ini juga, saya banyak belajar dan bereksperimen untuk menimba pengalaman agar saya boleh lakukan yang lebih baik di masa depan.
"Saya juga mahu kanak-kanak serta remaja meminati lagu-lagu saya seperti mana penyanyi Hollywood, Miley Cyrus lakukan," katanya yang turut berduet bersama 'teman tapi mesranya' Aizat, menerusi lagu Penyelamat Cinta.
Menariknya, lirik lagu Penyelamat Cinta ditulis sendiri oleh Nana dan ini merupakan percubaan barunya dalam usaha mengembangkan bakatnya.
Dalam pada itu, ada juga mempersoalkan kemampuan Nana dalam penghasilan merakam album, memandangkan statusnya yang dikatakan seorang 'anak orang kaya'.
Tidak melatah, Nana sambil tersenyum menolak dakwaan tersebut dan menjelaskan apa yang diterima adalah satu rezeki yang tidak mungkin akan disia-siakannya.
"Saya tak kayalah. Saya harap perkara ini tak perlulah dijadikan sebagai isu, apa yang saya ada hari ini, saya manfaatkan untuk mengembangkan kerjaya saya.
"Cakaplah dengan sesiapa sahaja, jika mereka diberikan wang untuk melakukan sesuatu, mestilah suka. Bagi saya, ini satu peluang untuk mengembangkan bakat dan kerjaya seni saya," tegas duta produk Maybelline itu.
Tatkala perjalanan lakonan dan muzik sedang berjalan dengan lancar, Nana masih belum puas lagi dengan pencapaian yang dimilikinya,
|
|
Sejak menceburkan diri dalam bidang lakonan pada usia 16 tahun, dan baru setahun jagung di bidang muzik, banyak lagi perkara yang mahu Nana lakukan.
"Sekarang ini saya sedang belajar main piano, tapi masih di peringkat awal. Bila dah pakar bermain piano, saya akan cuba pula alatan muzik lain.
"Dalam pada itu, saya dah mula rindu nak berlakon. Buat masa ini saya sedang meneliti beberapa buah skrip drama dan filem," kata pelakon yang akan muncul dengan filem barunya, Duhai Si Pari-Pari, terbitan Tayangan Unggul yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
liyana ni mmg fotogenik..
ReplyDeletex puas tgk gambar dia yg pelbagai aksi tu..