Wednesday, December 9, 2009

Alise Ismail Seksa Menunggu 10 Tahun

Bukan mudah menunggu peluang yang datang bergolek di depan mata. Apatah lagi ianya pernah menyapa hidup gadis ini ketika mula menjejakkan kaki dalam industri hiburan tanah air.

Bermula dengan bidang peragaan, dan finalis Gadis Jelita 2001, Norlida Ismail atau lebih dikenali sebagai Alise Ismail kini mengorak setapak ke hadapan dengan muncul bersama single pertama Adakah Sama.

"Memang perit sangat tunggu peluang yang datang. Memang sudah lama terlibat dalam industri ini tapi bukan secara serius. Selepas menjadi Top 5 Gadis Jelita, saya banyak dapat tawaran modeling dan berlakon iklan.

"Saya juga pernah berlakon dalam drama Sumaiyah arahan Erma Fatima. Tapi memang terdetik penyesalan kerana tidak serius dengan karier dulu. Sekarang saya terpaksa bermula daripada bawah untuk mempromosikan single terbaru.

"Tawaran untuk merakamkan album memang ada sewaktu aktif dulu namun saya hanya buat tak endah sebab ingin melanjutkan pelajaran. Bila saya bersedia, company tu pula tak cukup bajet untuk buat album.

"Bila dah ada peluang sekarang, memang saya tak fikir panjang," ujarnya yang banyak dibantu Zul 2 By 2 untuk single terbarunya.

Pengalaman Ditipu

Memang tidak dinafikan, industri hiburan penuh dengan pelbagai ragam. Bagi Alise sendiri, adalah lumrah bagi pendatang baru sepertinya ditipu.

"Dulu saya memang mudah percaya cakap orang. Tapi banyak yang ambil kesempatan. Duit saya memang dah banyak kena tipu.

"Sebab tu saya buat album secara indie. Cuba untuk promosikan diri sendiri dan tengok penerimaan semua. Kalau ada rezeki adalah," luahnya yang pernah menghiasi kulit beberapa majalah hiburan.

Pernah kecewa dalam bercinta, bagi wanita berusia 30 tahun ini, pengalaman yang lalu mematangkannnya.

"Memanglah pernah bercinta tapi itu dulu. Sekarang saya nak tumpu kat album dan kemungkinan ada juga lagu yang akan dicipta sendiri khas untuk arwah ayah," katanya mengakhiri perbualan.

Penantian 10 tahun akhirnya berbaloi dengan dua single terbaru iaitu Adakah Sama dan Bila Ada Kamu yang kini sedang rancak diputarkan di corong-corong radio.

Bagi peminat yang ingin mengetahui perkembangan Alise dengan lebih dekat, boleh mengikutinya di laman Facebook ( aliseismail@yahoo.com Alamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya ).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: