Monday, December 7, 2009

Rafflesia tidak pinggir artis bertudung



Muzik dan fesyen memang tidak boleh dipisahkan. Bahkan, tanpa kita sedari, terdapat juga lagu-lagu yang dicipta membincangkan isu fesyen secara langsung mahupun tidak langsung.

Atas alasan itu, pereka unggul dan jenama barang kemas eksklusif bermotifkan mutiara, Rafflesia memberi kerjasama untuk berkolaborasi dengan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dalam menjayakan konsert Irama Warisan Kita yang bakal diadakan di Dewan Filharmonik Petronas pada 11 dan 12 Disember 2009 bermula jam 8.30 malam manakala pada 13 Disember akan bermula pada jam 3 petang.

Kolaborasi ini dilihat sangat relevan dengan konsep ‘warisan’ yang dijulang melalui konsert ini memandangkan MPO akan mempersembahkan lagu-lagu Melayu klasik dan tradisional yang bakal didendangkan oleh penyanyi senior popular negara, Aishah dan juga artis berbakat besar, Lah Ahmad.

Pada konsert tersebut, Aishah cukup bertuah apabila Rafflesia bermurah hati untuk menaja set barang kemas yang bakal menyerlahkan lagi penampilan beliau. Antara barang kemas yang ditaja Rafflesia terdiri daripada kerongsang, rantai dan juga dua bentuk cincin yang kesemuanya bertatahkan mutiara.

Menurut Pengarah Rafflesia, Winnie Sin Chean Loong, pihak Rafflesia tidak mengamalkan pilih kasih terhadap artis tempatan sama ada mereka bertudung atau pun tidak.

“Walau pun Aishah memakai tudung, Rafflesia masih lagi mempunyai aksesori lain yang sesuai untuk digayakan oleh artis yang bertudung. Contohnya mereka boleh memadankan tudung mereka dengan kerongsang. Aksesori yang dipakai oleh Aishah ditempah khas untuk beliau.

“Mereka juga masih boleh lagi menggayakan rantai labuh, gelang dan juga cincin daripada Rafflesia. Jadi, tidak ada halangan bagi artis bertudung untuk menggayakan produk kami,” jelas Winnie Sin yang ditemui ketika sesi temu bual bersama media di butik Rafflesia, Hotel Park Royal baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aishah amat berterima kasih kepada pihak Rafflesia kerana sudi menaja barangan kemas bernilai RM650,000 untuk disesuaikan dengan busana yang akan digayakannya nanti pada hari konsert itu nanti.

“Syukur dan terima kasih sangat dengan tajaan ini. Cantik sangat walaupun ianya besar. Aksesori ini nanti saya akan suai padankan dengan pakaian yang saya akan pakai pada konsert itu nanti. Saya tidak menggunakan mana-mana pereka fesyen untuk menghasilkan pakaian saya. Semuanya adalah rekaan saya sendiri,” jelas Aishah yang turut hadir pada majlis tersebut.

Tambah Aishah lagi, ini adalah kali pertama beliau menerima tajaan daripada Rafflesia.

“Diharap dengan kerjasama sebegini dengan artis-artis tempatan, ianya mampu menyuntik semangat kepada artis tersebut agar lebih yakin untuk tampil dengan sebuah persembahan yang hebat dan menarik,” jelas Aishah lagi yang akan mempersembahkan dua buah lagu iaitu Bahtera Merdeka dan juga Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Konsert Irama Warisan Kita menggandingkan artis lelaki popular, Awal Shaari dan Ratu Cantik Dunia Malaysia 2007, Deborah Henry sebagai pasangan pengacara.

Kepada yang berminat, tiket untuk menyaksikan konsert tersebut boleh didapati di kaunter Box-Office Dewan Filharmonik Petronas mulai jam 10 pagi hingga 6 petang pada hari persembahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: