ENGGAN diri sewenang-wenangnya dicop ‘buat hal’ dan tidak hadir ke proses memasukkan suara (dubbing) untuk filem ‘Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami’, semalam pelakon Abby Abadi membidas dakwaan produser dan pelakon filem itu, Haliza Misbun.
Beberapa hari lalu, Haliza menyuarakan rasa kecewanya dengan sikap Abby yang tidak hadir lantas membuatkan pengarah filem itu, Din CJ terpaksa menggunakan suara pelakon lain iaitu Nik Sayyidah untuk semua babak lakonan Abby di dalam filem yang menjalani penggambaran pada 1 Ogos lalu itu.
Namun, dalam pada itu, Abby menafikan dirinya langsung tidak memberikan kerjasama sebaliknya mengatakan dia sedang sibuk dengan komitmen lain.
Abby berkata dia sudah sehabis baik menjaga reputasi dan kerjanya disebabkan amat menyayangi kariernya itu.
Justeru, Abby mendakwa gosip yang keluar ini sedikit sebanyak akan merosakkan periuk nasinya.
“Tentang ‘dubbing’ tu, saya sudah memberi kerjasama. Saya sudah beri dua tarikh untuk datang tetapi selepas itu pihak pengurusan menjelaskan mereka tidak dapat melaksanakan proses 'dubbing' pada kedua-dua tarikh itu.
“Untuk kali ketiga, saya beri tarikh lain. Tiba-tiba mereka memaklumkan menerusi SMS, sudah masukkan suara orang lain. Jadi, salah saya ke?
“Saya memang sibuk, bukan sengaja buat-buat sibuk. Takkanlah saya nak tunjuk ‘organiser’ saya kepada semua orang,” kata Abby.
Atas faktor itu, Abby menganggap Haliza tidak patut membanding-bandingkan dirinya dengan pelakon lain.
“Janganlah sebab pandang saya sebelah mata, mereka boleh buat main-main pula dengan tarikh-tarikh yang saya sudah tetapkan itu.
“Tak perlulah nak banding-bandingkan saya dengan sesiapa sebab saya lebih suka dikenali sebagai pelakon yang mampu membawa berbagai jenis watak dan tidak statik,” ujar ibu tunggal kepada tiga orang anak ini dalam nada sinis.
Setelah perkara ini berlaku Abby tidak kisah seandainya produser itu tidak mahu menjelaskan bayaran terakhir kepadanya.
"Saya tak kisah kalau dia nak berikan 'last payment' saya kepada orang lain..," luah Abby yang turut kesal dengan isu yang ditimbulkan itu.
Difahamkan, hanya Abby seorang yang gagal hadir dalam proses memasukkan suara itu. Sementara pelakon seperti Ari Wibowo, Awie, Erra Fazira dan Fahrin Ahmad telah memberikan kerjasama yang baik untuk proses tersebut.
Abby juga mengaku tidak berdendam dengan Haliza mahupun serik untuk bekerjasama dengan wanita berusia 36 tahun itu lagi.
Terdahulu, Haliza berkata dia bagaimanapun tidak mahu perkara ini menjadi satu isu besar. Cuma apa yang disuarakannya itu hanyalah teguran ikhlas berhubung perkara tersebut.
"Saya dan dia pun tidaklah mengenali rapat, hanya berurusan secara profesional. Tetapi saya menganggap dia seperti adik saya sendiri. Sudah tentu jika adik melakukan sesuatu yang tidak kena, sebagai kakak saya akan kecewa.
"Saya pun tidak ada menghubunginya sendiri tentang perkara ini kerana semuanya saya serahkan kepada pengurus produksi dan pengarah. Selalunya, saya hanya memantau saja perjalanan produksi.
"Apapun, saya tidak mahu perkara ini menjejaskan pula hubungan profesional kami. Saya tidak terfikir pun sama ada sudah serik bekerja dengannya atau tidak," kata Haliza yang memegang watak utama sebagai Nikki di dalam filem yang berkemungkinan akan mula ditayangkan pada Mac tahun depan.
Secara ringkasnya, filem yang menelan belanja kira-kira RM1.1 juta ini mengisahkan tentang Nik Melati Sukma atau Nikki berusia lewat 30an yang tertekan gara-gara masih belum berkahwin.
Pelbagai usaha dilakukan oleh kedua-dua orang tuanya iaitu Fatimah dan Nik Mat bagi membolehkannya bersetuju untuk berkahwin termasuklah mencarikannya jodoh yang dirasakan sesuai.
Namun, Nikki nekad untuk mencari jodohnya sendiri. Pelbagai peristiwa lucu melingkari perjalanan Nikki dalam usahanya mencari calon suami apatah lagi ibunya, Fatimah, telah memberi kata dua agar membawa pulang calon suami dalam masa 21 hari.
Jika tidak, Nikki tiada pilihan lain dan terpaksa berkahwin dengan lelaki pilihan ibubapanya.
Antara pelakon-pelakon lain yang turut membintangi filem sulung terbitan produksi Haliza ini ialah Azhar Sulaiman, Fizo Omar, Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan, Fara Fauzana dan Maimon Talib.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: