![]() |
| Ogy telah memberitahu saya yang dia tidak dapat memberikan kerjasama kerana mempunyai banyak tanggungjawab lain. Ketiadaan Ogy membuatkan saya terpaksa mengambil tugasnya selaku pengarah persembahan |
TINGGAL kurang dua minggu sahaja lagi konsert Jamal...Kembara Seniman bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB).
Menampilkan Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, pastinya peminat Jamal tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan lontaran vokal emas penghibur terkenal tanah air itu.
Masakan tidak, konsert berkenaan bukanlah sekadar konsert biasa kerana terkandung segmen-segmen menarik yang mampu membawa penonton menghayati erti sebenar perjuangan seni Jamal sepanjang 30 tahun bergelar anak seni.
Bermula sejak mengecap kejuaraan Bintang RTM 1979, Jamal sememangnya telah melalui pelbagai onak duri yang secara terus menjadikan dirinya kekal mempertahankan populariti sehingga ke detik ini.
Justeru, konsert Jamal...Kembara Seniman merupakan perlambangan bahawa nama Jamal masih berada di kemuncaknya biar artis baru muncul saban masa.
Bagaimanapun, dalam persiapan memastikan konsert berkenaan berjalan dengan lancar, Jamal bakal berhadapan dengan tugas mencabar apabila Fauziah Ahmad Daud atau Ogy yang berperanan sebagai pengarah persembahan untuk konsert tersebut menarik diri.
Berikutan penarikan diri pelakon serta pengarah itu, tugas Ogy akan digalas oleh Jamal sendiri.
Namun, tekanan yang dipikul Jamal sedikit sebanyak berkurangan apabila dia mendapat khidmat Zainal Abiddin Bujang yang juga pengarah tari bagi konsert berkenaan.
"Untuk mengarahkan segmen teater muzikal, ia sememangnya memakan masa yang agak lama.
"Oleh yang demikian, Ogy telah memberitahu saya yang dia tidak dapat memberikan kerjasama kerana mempunyai banyak tanggungjawab lain.
"Ketiadaan Ogy membuatkan saya terpaksa mengambil tugasnya selaku pengarah persembahan,'' kata Jamal ketika ditemui Hits pada sesi latihanKonsert Jamal...Kembara Seniman di IB, baru-baru ini.
Konsert Jamal... Kembara Seniman bakal diadakan di Panggung Sari, IB bermula 5 hingga 9 Ogos ini.
Diterbitkan syarikat produksi milik Jamal, Bintang Channel Sdn. Bhd., konsert itu dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-30 beliau sebagai penghibur sebaik bergelar juara Bintang RTM 1979.
Kumpulan Utusan adalah rakan media yang akan menyokong penganjuran konsert tersebut.
Menyambung bicara, Jamal berkata, untuk Konsert Jamal...Kembara Seniman, ia bukanlah sekadar nyanyian semata-mata tetapi terkandung segmen teater muzikal dan paparan sesi temu bual eksklusif bersama tokoh-tokoh negara.
Untuk segmen pertama, katanya, ia akan dibahagikan kepada enam bahagian iaitu kelahiran insan bernama Jamal, kenangan zaman menyanyi di bawah pokok, peristiwa di pasar minggu, konflik bersama komposer veteran, Datuk Ahmad Nawab, suasana mengecap populariti dan realiti kehidupan Jamal ketika ini.
Bagi segmen temu bual eksklusif pula, ia akan memaparkan pandangan tokoh-tokoh negara mengenai konsert dan diri Jamal sendiri.
Tokoh-tokoh itu antara lain adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Dollah Salleh.
Segmen konsert pula bakal menampilkan Jamal menyanyikan lagu-lagu popularnya yang sudah tentu menggamit memori semua penonton.
Bagi Jamal, dalam mengembalikan nostalgianya kepada Bintang RTM, dia sendiri akan berduet bersama juara, naib juara dan peserta di tempat ketiga Bintang RTM 2009 untuk lagu Sandarkan Pada Kenangan, Kehebatan Cinta serta Seri Langkat.
Mereka adalah Nur Ernie Shahirah Zakri atau Ernie, Jo-Anna Sue Henly Rampas (Jo-Anna) dan Nur Fatin Nabila Noor Sazley (Fatin).
Ditanya mengenai sesi latihan yang dijalankan, Jamal dengan penuh bangga menyatakan semuanya berjalan baik dan mendapat khidmat profesional daripada pihak IB.
"Artis mereka (IB) pun cukup arif dengan persembahan muzikal,'' katanya.
Terkenang peristiwa pasar minggu
Sementara itu, diajak berbual tentang salah satu bahagian di dalam segmen teater muzikal konsert terbabit iaitu peristiwa di pasar minggu, Jamal berkata, ia merupakan titik permulaannya melangkah ke dunia hiburan.
"Peristiwa di pasar minggu adalah kenangan saya di sebuah pasar minggu di Teluk Intan (dahulunya Teluk Anson).
"Waktu itu, saya baru memasuki Bintang RTM 1979. Untuk melihat kebolehan, saya menyanyi di sebuah pentas di pasar minggu berkenaan.
"Tetapi, untuk menyanyi di pentas, saya terpaksa membayar 30 sen,'' katanya yang juga tidak dapat melupakan peristiwa konflik bersama Ahmad Nawab.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: