Friday, July 24, 2009

Bila sudah terkena...


Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Terengganu runtuh pada 2 Jun lalu.


BILA sudah 'terkena' baru nak berjaga-jaga. Mungkin itu ungkapan paling sesuai bagi menggambarkan langkah yang bakal diambil oleh Pesuruhjaya Sukan untuk mewajibkan setiap penganjuran acara sukan mendapatkan satu surat jaminan bagi mengesahkan tapak, bangunan atau lokasi sukan yang digunakan selamat.

Pesuruhjaya Sukan, Datuk Nik Mahmud Nik Yusof (gambar) berkata, peraturan baru itu bakal diperkenalkan penghujung tahun ini ekoran insiden bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Terengganu runtuh pada 2 Jun lalu.

"Surat jaminan daripada pemilik tapak itu kemudian- nya mesti diserahkan kepada kami untuk diteliti.

"Sekiranya surat jaminan ini tiada, kami tidak akan membenarkan mana-mana penganjuran sukan diteruskan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada 2 Jun lalu, akhbar tempatan melaporkan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang bernilai RM292 juta dan menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Nik Mahmud berkata, peraturan itu sedang diteliti dan dijangka berkuat kuasa pada bulan September atau Oktober depan sekiranya mendapat kelulusan Menteri Belia dan Sukan.

Beliau menambah, peraturan tersebut bertujuan memastikan keselamatan peserta dan penonton yang menyertai atau menghadiri mana-mana kejohanan sukan adalah terjamin.

Menurutnya, ia juga bertujuan meningkatkan rasa tanggungjawab pemilik tapak atau bangunan sukan mengenai aspek keselamatan dan keselesaan yang disediakan.

"Orang ramai, penganjur dan atlet akan bertambah yakin dengan keselamatan mereka, sekali gus menaikkan imej penganjuran sukan di Malaysia," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: