Friday, July 24, 2009

Tragedi yang berulang


JW Marriot yang menjadi penginapan pilihan warga AS terus menjadi sasaran pengebom berani mati.


TEPAT pukul 9.30 pagi, pengumuman penerbangan QZ 7691 dari Kuala Lumpur ke Jakarta yang bersedia untuk berlepas bergema di ruang menunggu Balai Berlepas Antarabangsa Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang, Selangor.

Di pintu berlepas D4, delegasi sebanyak sepuluh orang iaitu wakil media dan pegawai penganjur Anugerah Planet Muzik 2009 (APM 09), antara yang terakhir beratur dalam satu barisan panjang menuju ke pintu berlepas.

Tidak sampai 20 langkah di muka pintu berlepas, seorang rakan tiba-tiba bersuara tinggi: "Jakarta dibom, JW Marriot di bom!" Dia baru saja menerima satu berita daripada khidmat pesanan ringkas (SMS).

Walaupun pada mulanya kebanyakan kami menganggap wartawan Astro Awani, Syazwan Zakariah sekadar bergurau, saya melayari Internet melalui telefon bimbit untuk membuat pengesahan.

"Lapan orang mati dalam kejadian letupan pengeboman berani mati di JW Marriot dan Ritz-Carlton Jakarta. Bom pertama meletup pada pukul 7.45 pagi (waktu tempatan) di Hotel JW Marriot diikuti dua minit kemudian di Hotel Ritz-Carlton."

Letupan

Hanya itu berita pendek yang disiarkan The Associated Press kerana letupan berlaku tidak sampai satu jam dan mengikut waktu Malaysia, pengeboman terjadi sekitar pukul 8.45 pagi.

"Ada 10 tapak lagi ni dari pintu berlepas, kalau nak patah balik, masih sempat," ujar salah seorang rakan media.

Memandangkan kunjungan ke Jakarta demi tugas, kami terus melangkah masuk ke dalam perut pesawat AirAsia tersebut dengan sedikit perasaan bimbang.


RAKAMAN video mangsa luka parah, Timothy Mackay yang menyayat hati. Mackay meninggal dunia di hospital.


Kami tiba di Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta pada pukul 12 tengah hari. Cakap-cakap mengenai tragedi pengeboman semakin bertiup kencang. Kebanyakan telefon bimbit kami tidak berhenti menerima SMS bertanyakan khabar.

Bahkan, satu lagi delegasi media Malaysia yang akan berlepas pada hari Sabtu sudah pun membatalkan kehadiran mereka gara-gara letupan bom itu.

Namun, sebaik sahaja kami menaiki bas menuju ke Hotel Sultan di Jalan Gatot Subroto, suasana Jakarta kelihatan aman.

Hati ketika itu masih lagi biasa, cuma sedikit gundah. Kesesakan atau (macet) dalam bahasa Indonesia di jalan raya bagaikan petunjuk bahawa penduduk Jakarta menjalani kehidupan seperti biasa.

Cuma, sebaik saja mendaftar masuk ke bilik Hotel Sultan, perasaan dan hati tiba-tiba dihambat resah. Menonton Breaking News di saluran Metro TV, berita pengeboman Hotel JW Marriot dan Hotel Ritz-Carlton disiarkan tanpa henti.

Debar

Malah, rakaman demi rakaman daripada video amatur yang eksklusif kerana berada di tempat tragedi sewaktu letupan, mula meruntun perasaan debar.

Paparan tangisan, raungan dan jeritan mangsa-mangsa dimainkan dan diselang-seli jumlah korban dan mangsa yang cedera. Antara rakaman yang paling menyentuh hati adalah melihat bagaimana seorang mangsa dikenali sebagai Timothy Mackay berlari keluar dari Hotel Ritz-Carlton dalam keadaan berlumuran darah.

Kesan ledakan menyebabkan separuh bahagian seluarnya terlerai. Ringkasan berita pendek seperti, 'Dua mayat hancur', 'Polis temui mayat tanpa kepala', 'Kaki dan tangan bertaburan di restoran', kedengaran sangat menakutkan sekali gus mula mempengaruhi emosi kami.

Apatah lagi, penganjur APM 09 sudah awal-awal lagi menasihatkan agar semua tetamu tidak keluar dari kawasan hotel.

Khusyuk menonton siaran berita TV, nama Mega Kuningan tiba-tiba menangkap pandangan mata. Mega Kuningan merupakan lingkaran lokasi yang menempatkan pusat komersial dan hotel mewah termasuk JW Marriot dan Ritz-Carlton.

Lokasinya yang berprestij itu menyebabkan ia dipanggil Segitiga Emas Jakarta.

Yang pasti, Mega Kuningan berdarah lagi selepas lima tahun bebas daripada siri pengeboman. Kali terakhir hotel lima bintang JW Marriot dibom adalah pada tahun 2003.


MEGA KUNINGAN yang menempatkan hotel dan pusat komersial mewah dianggap Segi Tiga Emas Jakarta.


Dalam kesibukan mengikuti beberapa acara yang disediakan oleh pihak penganjur APM sebelum acara sebenar berlangsung pada 18 Julai, hati penulis beberapa kali terdetik untuk menjengah Mega Kuningan.

Bak pesta

Penulis ingin melihat dan menyaksikan sendiri bagaimanakah keadaan dua buah hotel itu dan apakah kisah di sebalik ledakan di lingkaran mewah tersebut?

Hanya pada petang hari kedua, hajat itu tertunai. Walaupun terpaksa berseorangan, penulis nekad menaiki sebuah teksi dengan bayaran 30,000 rupiah (RM10.30) sehala.

Namun, perbualan bersama pemandu teksi sedikit menggugat hasrat ke Mega Kuningan.

"Kenapa perlu ke sana Pak? Ada gosip di kaca TV menyatakan ada lapan lagi butir bom mungkin akan diletupkan di Mega Kuningan," beritahunya.

Ketika itu, penulis membayangkan Mega Kuningan mungkin sunyi kerana khabar angin tersebut. Rupa-rupanya berita itu tidak menakutkan jiwa warga Jakarta.

Bayangkan sebaik saja tiba di sana, Mega Kuningan bagaikan satu daerah yang sedang 'berpesta'. Selain puluhan wakil media, ratusan penduduk Jakarta berhimpun di sekitar JW Marriot dan Ritz-Carlton.

Di sebuah padang berdepan Ritz-Carlton, suasananya lebih hiruk-pikuk. Dengan lebih 10 buah gerabak lori dan van stesen TV, puluhan wartawan setia berkampung di situ, bahkan sudah ada yang mendirikan khemah.

Ratusan warga tempatan dan pelancong singgah untuk melihat dengan lebih dekat kemusnahan di JW Marriot dan Ritz-Carlton. Kebanyakannya sibuk merakamkan gambar sendiri berlatarbelakangkan kedua-dua hotel tersebut.

Peniaga

Mengambil kesempatan itu, para peniaga mula berduyun-duyun datang untuk menjual bakso, es teller (seperti ais kacang) dan minuman ringan kepada orang ramai.


KAWASAN padang berdepan Hotel Ritz-Carlton meriah dengan gerabak van stesen penyiaran dan peniaga makanan.


Keramaian itu menyebabkan sampah-sarap memenuhi kawasan padang.

"Saya mahu melihat sendiri kemusnahan hotel ini akibat ledakan bom," ujar seorang lelaki di situ kepada penulis.

"Tidak perlu takut dengan gosip lapan butir bom itu. Biasanya, ia hanya sekadar kicauan burung," kata lelaki yang hanya mengenalkan dirinya, Rony.

"Lihat di sana, ibu bapa membawa anak-anak manakala peniaga menjual makanan. Ramai yang mahu melihat dengan lebih dekat tragedi terbaru Mega Kuningan," sambungnya lagi sambil memberitahu warga Jakarta semakin membiasakan diri dengan tragedi seperti itu.

Kaca retak

Meninggalkan Rony dengan dua rakannya, penulis mengamati sekitar kawasan Mega Kuningan. Jika pada hari kejadian, kedua-dua hotel dan kawasan Mega Kuningan masih bebas untuk orang ramai, namun pada hari kedua, hotel itu ditutup untuk sementara waktu.

Semua penghuni di JW Marriot dan Ritz-Carlton sudah diarahkan berpindah ke hotel lain. Bahkan, kawasan sekitar hotel sudah dipagar dengan tali pita kuning bagi mengelakkan gangguan awam.

"Polis dan skuad bom sedang menjalankan siasatan terutama selepas gosip ada bom baru," beritahu seorang jurufoto media tempatan.

Kesan letupan bom di Ritz-Carlton paling jelas kelihatan kerana ia berlaku di restoran yang terletak di aras dua hotel itu. Tingkap kaca retak seribu yang masih bergantungan tanpa terusik.

Selain itu, tugu nama Ritz-Carlton sudah pun ditutup dengan kain hitam. Ini dilakukan mungkin kerana pihak pengurusan hotel tidak mahu memburukkan lagi imej hotel tersebut.

Jambangan bunga berserta kad juga memenuhi sekitar Mega Kuningan dengan kebanyakannya melahirkan rasa dukacita terhadap tragedi itu.

Selepas sejam mengamati suasana di Mega Kuningan, penulis meninggalkan lingkaran itu dengan sedekah Al-Fatihah buat mangsa yang beragama Islam dan doa agar Mega Kuningan tidak berdarah lagi pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: