Friday, July 24, 2009

Tip mandi si kecil


SAPU seluruh badan dan tangan si kecil dengan krim tabir mentari supaya mereka tidak terdedah secara langsung pada sinar lembayung (UV).


BERCUTI sekeluarga di pulau atau pantai-pantai indah memang menyeronokkan. Bagi yang lebih gemarkan kedinginan air bukit, destinasi air terjun pasti menjadi tumpuan.

Namun, aktiviti rekreasi bersama kawan-kawan berbeza dengan mandi-manda anak-anak, apatah lagi jika anak-anak masih kecil.

Banyak perkara perlu diberi penekanan kerana bagi mengelak musibah yang tidak diduga. Pesona menyenaraikan beberapa tip rekreasi mandi-manda di pantai, sungai atau air terjun bersama anak-anak anda.

Teknik berenang

Jangan biarkan anak anda melompat ke dalam air dengan aksi kepala ke bawah. Kadangkala mereka akan meniru aksi orang dewasa mahupun perenang di kaca televisyen. Ajar anak berenang dengan betul untuk keselamatannya.

Komunikasi

Komunikasi dengan anak amat penting agar mereka dapat menerima setiap arahan dengan jelas. Berikan nasihat yang singkat dan tidak membosankan agar mereka tahu niat anda bukan hendak melarang atau marah tetapi kerana sayang.

Pastikan kawasan itu selamat

Pilih kawasan yang cetek, tidak ada kaca atau batu-bata tajam dan lebih baik jika anda mandi bersama mereka.

Hindari berenang atau menyelam di kolam atau laut yang airnya tidak jernih. Ini kerana terdapat risiko terpijak objek berbahaya. Dalam masa yang sama, anak-anak mungkin tertelan air kotor yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Pengawasan

Jangan biarkan anak-anak mandi tanpa sebarang pengawasan. Beritahu dengan tegas bahawa batu-batu yang agak licin boleh menyebabkan mereka tergelincir atau ombak yang kuat boleh menarik mereka ke tengah laut.

Penjagaan kulit

Kerap terdedah kepada sinaran matahari akan menyebabkan kerosakan pada kulit. Oleh itu, anda seharusnya menyapu seluruh badan dan tangan si kecil dengan krim tabir mentari supaya mereka tidak terdedah secara langsung pada sinar lembayung (UV).

Peralatan yang lengkap

Sekiranya anak anda belum cukup mahir untuk berenang, anda harus menyediakan pelampung dan elakkan anak memakai pakaian yang boleh menggelembung ketika si kecil berada di dalam air.

Pakaikan baju mandi yang sesuai untuk mereka. Langkah ini harus dipraktikkan bagi mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini. Sekiranya anak anda memiliki rambut yang panjang, sebaik-baiknya rambut itu diikat atau disanggul rapi agar tidak tersangkut dengan objek tertentu di dalam air.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: