
MORELIA - Tentera Mexico kelmarin melancarkan misi memburu sebuah kartel pengedaran dadah di negeri Michoacan setelah sejumlah anggota polis mati ditembak kumpulan penjenayah itu sejak minggu lalu.
Kumpulan La Familia membunuh 16 anggota polis sebelum mencampak 12 mayat anggota polis persekutuan berkenaan di negeri yang diwakili oleh Presiden Felipe Calderon itu.
Seramai 2,500 anggota tentera tambahan dikerah ke barat negeri itu sebagai tambahan terhadap 1,500 anggota polis dan 1,000 anggota tentera sedia ada.
"Kami mempunyai 1,000 anggota yang bertugas sejak 11 Disember 2006," kata seorang ketua tentera, Jeneral Rafael de Jesus Ballesteros di Morelia.
Calderon melancarkan operasi ketenteraan terhadap kumpulan penjenayah terancang di negerinya selepas menjadi presiden pada Disember 2006.
Serangan samseng pengedar dadah merebak ke seluruh negara walaupun lebih 36,000 anggota tentera dikerah ke kawasan berbahaya terutama di sempadan Amerika Syarikat (AS).
Lebih 7,700 kematian dipercayai akibat samseng pengedar dadah sejak awal 2008.
Sementara itu di sempadan AS, tentera Mexico menahan seorang penyeludup dadah yang membawa wang tunai sebanyak AS$3.6 juta (RM12.7 juta) dan 250 barangan kemas.
Jurucakap Kementerian Pertahanan berkata, Luis Gerardo Ibarra Cardona yang dipercayai anggota kumpulan samseng pengedar dadah Arellano Felix ditahan di Tijuana.
Cardona dipercayai pakar dalam menghasilkan dadah sintetik ditangkap bersama tiga pucuk senjata api, 43 jam tangan Rolex, lapan jam tangan Cartier, sejumlah cincin, rantai dan lain-lain barangan kemas, kata satu kenyataan kementerian itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: