Tuesday, July 21, 2009

'Tak manis saya buka mulut'...Irma


Nabil dan Irma

Irma serah keputusan mengenai hubungan cinta kepada buah hatinya, Nabil

TIADA rahsia antara mereka. Segala pertanyaan dihuraikan dengan jawapan padat dan tepat serta penuh ketelusan dan mungkin kerana itu pasangan yang sudah lebih sembilan bulan menganyam cinta ini disenangi ramai.

Biarpun perjalanan cinta mereka pernah terpalit episod kontroversi, namun kedua-duanya menangani kekalutan itu dengan tenang. Langsung tidak melatah.

Baik Nabil mahu pun Irma Hasmie mereka akur akan kekhilafan yang tidak disengajakan, lantas segera memohon maaf untuk menjernihkan semula kekeruhan.

Biarpun episod menguji itu sudah lebih dua bulan berlalu, tatkala Nabil meniti puncak karier apabila dinobatkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, kesannya masih terasa.

Seperti kata Irma, semua pengalaman itu mengajar mereka menjadi lebih berhati-hati dalam setiap tindak tanduk. Sedang meniti episod bahagia di alam percintaan, gadis berusia 27 tahun itu akur, perjalanan hidup mereka masih jauh.

Tidak menafikan perancangan hidup bersama pernah diperdebatkan bersama Nabil, namun Irma memahami, ketentuan jodoh antara mereka menjadi rahsia Allah.

“Saya menyerahkan kepada Nabil kerana segala keputusan berada di tangannya. Tidak manis jika saya yang banyak membuka mulut sedangkan pihak lelaki belum bersedia.

“Andai ditakdirkan jodoh kami tiba awal, saya tidak menolak. Sebolehnya saya tidak mahu mendesak kerana saya tahu Nabil mempunyai impian dan cita-citanya sendiri.

“Biarlah kariernya stabil dulu dan selepas itu, baru kami merancang kehidupan bersama. Saya sendiri pun tidak selesa tergesa-gesa kerana saya percaya pada takdir yang tertulis,” katanya.

Jawapan Irma secara tidak langsung menjuruskan perbualan kepada perjalanan karier Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil yang dilihat sedang meniti ruang selesa.

Barangkali pandangan mata kasar akan menilai lelaki yang membina populariti selepas menjuarai Raja Lawak Astro musim kedua ini hidup mewah dan sudah layak bergelar jutawan.

Bagaimanapun, Nabil pula berpandangan sebaliknya. Tidak menafikan dia merasai sedikit keselesaan atas bakat yang dianugerahkan Tuhan, namun untuk bergelar jutawan katanya, ia masih jauh daripada jangkauan.

“Alhamdulillah pendapatan saya selesa berbanding dulu namun tanggungan dan tanggungjawab yang tergalas di bahu ini hanya saya saja yang tahu.

“Rezeki murah yang diberikan Allah mendorong saya untuk berkongsi dengan keluarga serta memberi keselesaan kepada mereka. Itu tanggungjawab saya,” katanya.

Rezeki sebagai anak seni juga digunakan Nabil untuk membuat kerja pengubahsuaian kediaman keluarganya di Kampung Masjid, Mambau, Negeri Sembilan.

Melihat perjalanan hidup serta segala pencapaiannya, Nabil berkata, semua itu tidak pernah ada dalam angannya. Tidak pernah terlintas di fikirannya dia akan mengecap semua nikmat ini, namun kuasa Tuhan, dia menjadi sebaliknya.

“Tuhan memberikan rezeki supaya saya sentiasa beringat dan menjaga kerja. Pernah terdetik di hati, kerja yang dilakukan tidak mencapai kualiti yang maksimum apabila saya tidak lagi mampu memberikan komitmen 100 peratus seperti ketika berada dalam Raja Lawak dulu.

“Berada dalam industri menyedarkan saya ada ketika saya cuma menjadi penyampai idea orang lain. Jadual kerja yang terlalu ketat membuatkan saya tidak mampu memberi idea baru.

“Mahu atau tidak ini adalah realiti yang perlu saya terima. Itu bukan bermakna saya berasa terkongkong, cuma masa yang terbatas membantutkan usaha untuk mencari idea memperbaiki mutu kerja,” kata Nabil mengakui hakikat kehidupan yang sentiasa diburu waktu.

Pernah sesekali dirinya terikat dalam situasi serba salah, namun kata pemuda berusia 26 tahun ini, dia tidak boleh terlalu ‘demanding’ ketika permintaan untuknya masih ada.

Akur ini adalah waktu untuk mengumpul harta selain mempertahankan apa yang dicapai hasil usaha kerasnya, Nabil berkata, antara mutu kerja dan populariti harus bergerak seiring supaya objektif hidupnya tercapai.

Dalam meniti gelombang dunia seni yang sukar diramalkan, Nabil bertuah kerana Irma sentiasa di sisi untuk memberi bimbingan dan panduan.

“Dia banyak membantu dalam hal berkaitan perhubungan awam serta projek yang diterima, malah menasihatkan saya supaya menjadi lebih selektif dan tidak hanya menerima segala tawaran yang datang.

“Saya tidak mampu mencapai tahap kualiti yang diinginkan jika bekerja sendirian, sebaliknya saya perlu juga bergantung kepada orang lain. Kerjasama itu penting kerana ia memberi peluang kepada saya untuk berfikir dan membuat keputusan,” katanya.

Semakin dalam perbualan mengenai karier seninya yang terus berkembang, Nabil berkata, pendirian penting kerana setiap individu mempunyai pilihan untuk mencorakkan masa depan masing-masing.

Jujur akuinya, dia tidak pernah berniat untuk terus serius sebagai anak seni selepas memenangi Raja Lawak Astro kerana sangkanya, pertandingan itu hanya sebuah peraduan bakat biasa.

“Saya tidak pernah menyangka akan menerima rezeki luar biasa, membuatkan saya menetapkan pendirian supaya tidak tersasar dalam permulaan langkah.

“Alhamdulillah, biarpun bermula dengan Astro tetapi saya menerima pelbagai tawaran daripada rangkaian saluran Media Prima Berhad.

“Dengan program yang ada, saya mempunyai kerjaya yang terjamin selama tiga tahun pertama berada dalam industri,’ katanya.

Bukan kacang lupakan kulit

TINDAKAN Nabil berpaling ke stesen lain membuatkan ramai berpendapat, dia bersikap kacang lupakan kulit. Namun Nabil tidak gusar dengan persepsi itu kerana apa yang diperolehnya hari ini adalah milik Allah.

Tidak pernah sesekali dia melupakan platform yang membuka ruang kepadanya untuk mengintai dunia hiburan, Nabil berkata, haluan serta destinasi seni yang ingin dituju itu adalah atas pilihannya sendiri.

“Setiap apa juga keputusan yang diambil dibuat berdasarkan pertimbangan akal dan perbincangan bersama. Saya tidak tergesa-gesa malah setiap apa juga kontrak, saya rujuk mereka yang pakar dalam bidang perundangan.

“Alhamdulillah, keikhlasan saya dihormati dan saya tidak pernah menghadapi masalah dengan mana-mana stesen televisyen.

“Setiap stesen memikirkan soal bisnes dan keuntungan, justeru saya juga harus meletakkan diri ini dalam perspektif yang sama. Setiap apa juga keputusan, biar kedua-dua belah pihak meraih manfaatnya.

“Dalam hal ini, saya sudah nampak peluang besar menanti jadi mengapa harus saya melepaskannya? Saya yakin pilihan yang dibuat ini tepat dan perlu berani mengharungi segala cabaran kerana ia adalah pendirian saya,” katanya.

Bergelar penghibur kata Nabil, bukan setakat berfikir untuk mempertahankan populariti dan masa depan sebaliknya harus bijak merencana peluang dengan kekuatan nama yang dimiliki.

“Untuk apa kita memiliki semua - kejayaan, populariti tetapi tiada wang. Ia tidak lengkap. Saya tidak terlalu mengejar populariti sebaliknya saya mahu mengumpul wang menerusi bakat serta populariti yang ada,” katanya.

Info Irma:

Nama: Irma Hasmie Ibrahim

Tarikh Lahir: 8 Januari 1982

Usia: 27 Tahun

Asal: Kuala Lumpur

Pencapaian: Gadis Jelita 2004

Iklan Komersial: Tourism Malaysia (Cuti-Cuti Malaysia), Fair & Lovely, Yamaha & Pringle's.

Filem: Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Diva & Dua Hati Satu Jiwa

Drama: Lima, Awan Dania, Bella, Rahsia Gambar, Hantu Raya, Segalanya Ku Terima & Cinta 5 Bintang

Info Nabil:

Nama: Ahmad Nabil Ahmad

Tarikh Lahir: 26 September 1983

Asal: Mambau, Negeri Sembilan

Usia: 26 Tahun

Adik-beradik: Anak ketiga daripada tujuh beradik

Pencapaian: Juara Raja Lawak 2, Artis Baru Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular & Bintang Paling Popular (ABPBH 2008)

Filem: Sifu & Tonga, Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Kecoh Betul, Jin Notti, Eee... Hantu, Momok The Movie, Pisau Cukur, Magika, Uncle Hussein, Bangladesh & Cicak-Man 3

Program: Lu Fikirlah Sendiri Nabil, Apa Cerita Nabil, Hua ... Hua...Hua ..., Pondok-Pondok, Studio Nabil, Ewah Ewah & Hartamania

Telefilem: Sonata Labu Labi

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: