![]() |
Rozita Che Wan bimbang gosip yang keterlaluan undang kebencian peminat
KALAU ada formula atau barangkali strategi untuk menghindari kontroversi yang menjadi mainan dan resam dunia hiburan, mungkin pelakon dan model jelita berstatus ibu tunggal ini yang pertama mengangkat tangan untuk mendapatkan bantuan terbabit.
Bukan tidak biasa dihimpit kontroversi, malah sudah berbakul-bakul gosip kurang enak membabitkan golongan VIP dengan wanita jelita bernama Rozita Che Wan ini. Lepas satu persatu kisah cinta dan kahwin dengan lelaki berpangkat melingkari diari kehidupan yang mula memuncak dalam arena seni.
Pada satu peringkat gosip sedemikian bukan saja mencalar maruah serta nama pelakon kelahiran Alor Setar itu, sebaliknya sudah mula menimbulkan perasaan jelak di hatinya. Kakak kepada pelakon Ayu Raudhah ini sedar ada kalanya gosip yang keterlaluan pasti membuatkan peminat mula membenci dan mengecam hebat.
"Saya sendiri sudah bosan nak menjawab soalan yang berkaitan isu golongan VIP ini. Kalau ada bukti, saya minta sesiapa yang berani tampil ke depan dan tunjukkan bukti jika saya sudah berkahwin ataupun menjalin hubungan dengan mana-mana VIP.
"Tidak perlu bermain tarik tali mereka cerita yang tidak benar. Kalau nak bercakap perkara yang tidak baik, satu hari pun tak cukup. Hakikatnya perkara yang tidak betul sekalipun kalau asyik diperkatakan akan membuatkan masyarakat mula mempercayainya saban hari. Kesan buruk akhirnya terpalit kepada saya hingga dipandang serong dan dicop serta dilabel hanya mencari sasaran lelaki yang kaya dan berpengaruh.
"Hakikatnya saya tiada kena mengena langsung dengan golongan yang disebutkan itu. Selama sebulan bersamaan 30 hari bekerja, kehidupan saya hanya berlegar-legar di lokasi penggambaran dan di rumah. Lalu, bila masa pula saya sempat bercinta dan nak kahwin. Semua kisah itu karut belaka," katanya sewaktu dihubungi Hip baru-baru ini ketika menjalani penggambaran drama 20 episod, Puteri Beradu arahan Fairuz Loy yang bakal mengisi slot Lagenda di TV3 dan TV9.
Walau dijelas dan dinafi sejauh manapun, akhirnya jatuh hukum kebenaran yang masih diragui. Bagai tersepit dalam satu ruang sempit, kenyataan ibu kepada dua orang anak ini terus menjerat diri. Namun, pelakon yang pernah tersenarai dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 ini sedar dia tidak mampu memuaskan hati semua pihak.
Jika alasan berkahwin atau mempunyai kekasih hati mampu menenggelamkan kisah kontroversi yang melanda dirinya, mungkin itu saja jalan terakhir yang mampu dipilih. Tetapi Rozita harus bersikap realistik kerana mencari kekasih atau suami bukan seperti berganti baju mahupun sekadar tangkap muat. Malahan, dia sendiri masih belum bertemu pengganti selepas berpisah dengan bekas suaminya.
"Saya bekerja keras untuk berada di peringkat sekarang dan saya tahu lumrah hidup pasti ada yang tidak menyenangi kita. Jika kita mudah melatah, dengan sekelip mata orang boleh jatuhkan kita pada bila-bila masa. Kalau mahu dikenang, rimas juga dengan kontroversi yang menghimpit ini.
"Berdiam diri pun orang masih terus bercerita, inikan pula kalau saya bangkit membuat penafian demi penafian. Bingung juga saya jadinya dan entah bila kisah ini akan berkesudahan. Saya yakin saya berada di tempat yang benar, lalu saya tidak boleh terus larut dengan manifestasi tak berasas semua kontroversi ini.
"Percayalah kalau tiada bukti, masyarakat di luar sana tidak boleh terus-terusan menghukum saya. Tapi kalau orang masih tidak mempercayai kebenaran yang sebetulnya, apa yang mampu saya lakukan? Saya tidak boleh memaksa orang menyebelahi saya, cukuplah anak-anak dan keluarga tahu situasi sebenar," katanya yang bakal mengerjakan umrah pada bulan Ramadan ini bersama ibu tersayang.
Buang persepsi negatif gelaran janda
SEMPENA sambutan Hari Ibu Mei lalu, jenama pengedar fabrik terkenal, Jakel mengadakan majlis penganugerahan Ibu, Ratu Hatiku 2008 dengan kerjasama Maytower Hotel & Residence. Paling istimewa Rozita turut diiktiraf sebagai pemenang di samping aktres comel, Nora Danish.
Pemberian anugerah itu disampaikan kepadanya berikutan prestasi dan kesungguhan statusnya membesarkan dua anaknya, Ammar Effandy, 13, dan Aniq Essra, 11, hingga berjaya dalam pelajaran. Rozita mampu dianggap sebagai ikon dan perangsang kepada wanita bekerjaya sepertinya yang sibuk tapi tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab yang diberi.
Anak sulungnya kini sedang menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak, Perak. Malahan, Rozita dan bekas suaminya bergilir-gilir melawat anaknya itu. Bagi Rozita, pencapaian sebagai ibu cemerlang itu menjadi kebanggaan buat dirinya sendiri. Selain itu, Rozita turut mengikat kontrak selama setahun bersama produk Avon sejak Januari lalu.
"Kemenangan itu bukan setakat membuktikan betapa saya amat menyayangi anak, sebaliknya sebagai bukti kepada segelintir masyarakat yang sering memandang rendah terhadap golongan yang memegang status J (Janda) seperti saya. Persepsi lapuk itu perlu berubah kerana golongan seperti kami wajar dihormati kerana kami masih boleh membesarkan anak tanpa bantuan insan bernama lelaki.
"Selalunya apabila menyebut gelaran janda, ada pihak yang mula memandang rendah dan remeh. Tapi setakat ini, saya bangga dapat terus hidup berdikari tanpa lelaki bernama suami di sisi. Saya juga bersyukur dikurniakan anak yang bijak, bertanggungjawab, berdikari dan memahami.
"Biarpun selalu membaca artikel di surat khabar atau majalah berkaitan gosip membabitkan saya, mereka tidak bertanya kesahihannya. Secara tidak langsung, tindakan positif mereka mengurangkan tekanan kepada saya. Anaklah yang menjadi kekuatan, semangat dan sumber inspirasi untuk saya terus utuh meneruskan kehidupan," katanya yang pernah diusik rakan media gara-gara gemar mengenakan solekan tebal dan berbulu mata palsu yang lebat.
Dalam perkembangan lain, selepas berlakon drama 3 Janda yang disiarkan di sebuah stesen berbayar, Rozita menerima tawaran untuk berlakon dalam filem arahan Prof A Razak Mohaideen berjudul 4 Madu pula. Tawaran itu singgah kepadanya selepas filem Aman yang diarahkan Profesor Dr Hatta Azad Khan dibatalkan penggambarannya secara tiba-tiba. Untuk filem 4 Madu itu, pelakon Saiful Apek dan Fouziah Gous turut berlakon.
Sambil berseloroh, Rozita memberitahu Hip selepas berlakon watak janda yang dipegangnya pada dunia realiti, kini dia menjadi madu pula. Tapi pintasnya penuh makna, dia minta simpang untuk hidup bermadu. Apa yang dilakukannya tidak lebih daripada sekadar tuntutan watak dan tiada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang sudah meninggal dunia.
Rozita memulakan penggambaran 4 Madu pada 6 Jun lalu dan pada masa yang sama, Rozita harus melunaskan baki penggambaran drama Puteri Beradu memegang watak Aisyah ibu kepada Puteri Aurora lakonan Memey Suhaiza.
Untuk watak ibu itu, Rozita digandingkan dengan Eizlan Yusof yang memegang peranan sebagai bapa. Ini adalah kali kedua, Rozita berlakon di sisi Eizlan Yusof selepas telefilem raya berjudul Berakhir Sebuah Penantian.
INFO
Rozita Che Wan

bajet diva r janda ni..cite sume nak dgn vip je.make up nam inci blh r..bla r ko..
ReplyDelete