Tuesday, July 28, 2009

Sabrina mahu lebih dikenali


Sabrina Hassan

Sudah tiba masa serius dalam dunia lakonan di TV, filem

BUKAN nama baru dalam bidang lakonan kerana Sabrina Hassan, 30, mempunyai pengalaman luas sama ada lakonan untuk televisyen, pentas mahu pun filem sejak memulakan langkah dengan membintangi drama bersiri, Ika, tujuh tahun lalu.

Barangkali populariti serta publisiti untuknya tidak sehebat pelakon lain namun ibu kepada seorang cahaya mata perempuan ini masih laris dan sentiasa menjadi pilihan penerbit.

Kekuatan bakatnya juga memberi Sabrina ruang untuk mencuba pelbagai karektor dan menyifatkan dirinya sebagai bertuah kerana tidak terikat dengan sesuatu watak.

Kepelbagaian peranan yang ditawarkan, kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu, mengusir jauh perasaan bosan malah terus membangkitkan keghairahan untuk mencuba karektor lain yang menguji kemampuannya.

Ditemui ketika menjalani penggambaran drama bersiri 50 episod, Kecuali Cintamu siaran Astro Prima, Sabrina berkata, dia mahu memperbanyakkan lakonan di kaca televisyen dan filem kerana sebelum ini lebih memberi tumpuan kepada lakonan pentas.

“Itu antara tekad saya pada 2009 kerana saya tidak betah melakukan perkara yang sama untuk tempoh terlalu lama. Saya perlu mencari suasana berbeza supaya minda bergerak,” kata pelakon yang sentiasa mengukir senyum ini.

Apa yang mengujakan Sabrina mengenai Kecuali Cintamu kerana dia diberi peluang bekerja dengan barisan pelakon yang komited dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.

“Mungkin kerana produksi ini terbuka kepada perbincangan, membuatkan semuanya menjadi mudah ketika di lokasi.

“Bagi saya, jika karektor lakonan dipegang kuat tiada masalah akan timbul. Saya bertuah kerana watak Suria dalam drama ini agak dinamik dan berwarna-warni,” katanya.

Wanita yang menerima pendidikan teater dan filem dari Universiti Curtin, Australia ini berkata, sekali pun melelahkan kerana perlu berulang alik antara satu lokasi ke satu destinasi lain namun masih tergaris kepuasan di wajahnya.

Apatah lagi hasilnya pantas disiarkan di kaca televisyen, seiring program realiti, Anak Wayang membuatkan mereka bertambah semangat untuk memberikan persembahan.

“Saya teruja menanti kehadiran mereka kerana kami perlu memberikan persembahan yang sama untuk dua pelakon berbeza. Di situ keseronokannya dan walaupun penat, saya tidak pernah merungut kerana ini adalah tanggungjawab yang diletakkan di bahu kami.

“Mungkin pada pandangan umum, mereka orang baru namun agak mengejutkan kerana di lokasi mereka tidak kekok malah yakin mempamerkan kekuatan lakonan,” katanya.

Sudah terbiasa dengan drama bersiri panjang mendesak Sabrina supaya lebih teliti dalam perancangan dan persediaan sebelum ke lokasi.

Bahkan sebaik mendapat skrip, dia akan membuat pembahagian karektor untuk memastikan persembahannya sentiasa hidup dan bermaya di kaca televisyen.

“Selain indeks dan ringkasan skrip, saya bergantung kepada tenaga produksi yang sentiasa membantu terutama berkaitan perincian lakonan.

“Ada kalanya di lokasi banyak perkara bermain di fikiran dan sukar untuk membuatkan kita terus fokus dengan karektor serta penghayatan. Di sini peranan semua pihak penting untuk memastikan kelancarannya,” katanya.

INFO:

  • Nama: Sabrina Hassan
  • Tarikh Lahir: 4 Disember 1978
  • Umur: 30 tahun
  • Asal: Bangsar, Kuala Lumpur
  • Pendidikan: Teater dan Filem dari Universiti Curtin, Australia
  • Profesion: Pelakon dan penari
  • Status: Berkahwin
  • Suami: Feizal Mohamed
  • Filem: Sumolah & Malaikat Maut

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: