![]() |
| ALBUM sulungnya, Lenka sudah pun meraih populariti yang cukup meluas. |
PADA asalnya, wanita bernama Lenka ini hanyalah seorang pelakon yang berguru dengan aktres tersohor, Cate Blanchett di negara kelahirannya, Australia.
Dalam sekelip mata sahaja, namanya menjadi sebutan apabila mendapat peluang berlakon di pentas teater, televisyen serta filem bebas serta meraih perhatian.
Tetapi, jauh di sudut hatinya, dia mahu menjadi seorang penyanyi dan komposer kerana kecintaan yang mendalam terhadap bidang muzik.
Dalam pada sibuk memberi tumpuan pada bidang lakonan, dia turut menganggotai kumpulan aliran muzik bebas, Decoder Ring yang memperjuangkan genre muzik berunsurkan rock elektronik.
Menerusi kumpulan itu, Lenka berada di posisi vokalis dan pemain keyboard.
Bersama kumpulan itu, Lenka dan rakan-rakannya menghasilkan dua buah album Somersault (2004) dan Fractions (2005) serta mendapat sambutan yang menggalakkan.
Namun begitu, dia tidak mendapat kepuasan seperti mana yang diharapkannya. Dia tekad meninggalkan kumpulannya lalu berhijrah ke California, Amerika Syarikat untuk mencari haluan baru.
Siapa sangka, dengan muzik pop yang dipertaruhkan menerusi album perdananya yang juga mengangkat nama komersialnya itu, dia berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan penyanyi popular yang sedia ada.
"Sejak saya berusia lima tahun lagi, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang bintang pop.
"Malah, saya tidak mahu digelar dengan gelaran bintang pop. Tetapi dengan usia saya yang sudah mencecah 30 tahun, saya pasti inilah haluan saya," katanya sambil ketawa dalam satu temuramah baru-baru ini.
Pada masa yang sama, Lenka menjelaskan, muzik pop yang diperjuangkan bukanlah seperti pop biasa kerana muzik dan cara penyampaiannya seiringan dengan muzik pop dan world music dan sedikit elemen rock di mana ia dihasilkan secara berlapis-lapis.
Malah, konsep itu pernah dibawakan oleh beberapa orang pemuzik sebelum ini dan kini menjadi satu fenomena menerusi Internet.
Bukan itu sahaja, kisah gelap menerusi lirik lagu-lagunya di dalam albumnya itu cuba diselindungkan menerusi muziknya meskipun muziknya cukup santai.
Katanya, semua itu dilakukannya semata-mata untuk menggambarkan dirinya yang bagaikan terasing dan bersendirian apabila berhijrah ke California dari Australia semata-mata mahu mencari peluang mengembangkan muziknya.
"Apabila saya mencipta lagu, saya mencuba untuk menceriakan diri saya menerusi komposisi lagu tersebut kerana saya percaya ia mampu membangkitkan semangat dan keyakinan diri saya.
"Tetapi adakalanya saya tidak mampu mengelak untuk memikirkan perkara-perkara sedih dan dengan itu, saya luahkan di dalam muzik saya. Saya memang mahukan muzik saya menceriakan diri saya sendiri serta masyarakat sekeliling.
"Namun begitu, bukanlah sepanjang masa lagu-lagu saya menceritakan tentang kedukaan dan kesedihan. Dalam masa lagu saya menghampiri rangkap ketiga, semua anasir negatif itu dihapuskan dan digantikan dengan yang lebih positif," ujar Lenka atau nama sebenarnya, Lenka Kripac yang dilahirkan di New South Wales, Australia pada tahun 1978 ini.
Album sulungnya, Lenka yang dipasarkan sejak 24 September tahun lalu dengan menampilkan single pertamanya, The Show sudah meraih perhatian meluas di samping mendapat respons yang cukup positif.
Malah, sebaik sahaja dipasarkan, album berkenaan terus melonjak ke tangga 142 dalam carta album Billboard 200 dan terus mengukuhkan kedudukannya di dalam carta dengan cukup selesa sekali.
Rezeki Lenka terus mencurah apabila hampir keseluruhan lagu-lagu di dalam albumnya itu digunakan sebagai lagu promosi serta dimuatkan dalam album runut bunyi siri televisyen popular di Amerika Syarikat.
Lagu The Show misalnya terpilih menjadi lagu iklan untuk rangkaian pakaian Old Navy serta promosi siri komedi, Ugly Betty dan filem, Angus, Thongs and Perfect Snogging.
Tidak cukup dengan itu, lagu-lagu seperti Trouble Is a Friend, Live Like You're Dying, Don't Let Me Fall dan We Will Not Grow Old terpilih menghiasi siri drama televisyen, Grey's Anatomy dan 90210.
Biarpun semakin sibuk dengan kerjayanya sebagai seorang komposer dan penyanyi, Lenka menjelaskan minatnya terhadap dalam bidang lakonan tidak pernah pudar.
Katanya, lakonan adalah permulaan segala-galanya dalam dirinya dan pasti satu hari nanti, dia akan kembali kepada dunia lakonan.
"Apa yang saya mahukan adalah untuk mendapat karakter yang benar-benar mencabar serta memberi dimensi baru kepada lakonan saya. Itu adalah impian saya untuk menjadi seorang aktres yang berkaliber," ujarnya penuh harapan.
Buat peminat Lenka di Malaysia, ini ada satu berita baik untuk anda apabila penyanyi ini akan mengadakan sebuah persembahan istimewa dan sesi autograf bersama peminat pada 2 Ogos ini bertempat di pintu masuk utama, Kompleks Membeli-Belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Kehadirannya ke negara ini yang dibawa secara eksklusif oleh Sony Music Entertainment adalah sebagai rangka promosi album pertamanya itu.
Terlebih dahulu, penyanyi Amy Mastura dan Aliff Aziz akan membuat persembahan yang dijangka bermula pada pukul 3.30 petang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: