![]() |
| PAK Ngah dan Mak Ngah bersama kumpulan Swatari yang dianggotai oleh kanak-kanak yang masih lagi mencintai seni dan budaya bangsa. |
BERBANDING sedekad yang lalu, nama Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah hari ini agak sunyi dan sepi.
Lagu-lagu ciptaannya tidak lagi berkumandang dan jarang sekali dimainkan di radio-radio.
Lantas timbul satu persoalan yang mengatakan adakah kini Pak Ngah sudah tidak berminat menghasilkan lagu-lagu tradisional?
Dulu nama Pak Ngah berada di puncak sehingga berjaya meletakkan namanya sebagai antara komposer terbaik negara yang pernah dilahirkan.
Malah, tidak keterlaluan dikatakan industri muzik tempatan hari ini sudah semakin suram dengan ketiadaan lagu-lagu tradisional yang cukup popular sedekad yang lalu.
Bukan itu sahaja, ada juga kata-kata nakal yang mengatakan Pak Ngah merajuk dengan industri apabila muzik tradisional kini semakin jauh dipinggirkan dan tidak lagi mendapat tempat seperti dahulu.
Bertemu dengannya di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini dan mengajukan pertanyaan itu kepadanya, dengan pantas Pak Ngah meningkah dakwaan itu.
"Tidak lagi aktif mencipta lagu seperti dahulu bukanlah bermakna saya merajuk mahupun berkecil hati," itu jawapan yang terpacul dari mulut pejuang muzik tradisional ini pada pertemuan itu.
Sebaliknya, tumpuan beliau kini ialah mengurus dan mengendalikan acara-acara di bawah syarikatnya, Pak Ngah Productions Sdn. Bhd., yang membuatkan beliau tidak menang tangan.
"Ini bukan bermakna saya melupakan terus bidang penciptaan lagu. Sebaliknya, saya kini hanya mengkhususkan kepada lagu-lagu kempen untuk kerajaan serta lagu patriotik," kata Pak Ngah penuh ramah membuka bicaranya petang itu.
Sebut sahaja nama Pak Ngah, rasanya seantero negara kenal dengan figura tersohor ini dan karya-karya agungnya itu.
Siapa yang dapat melupakan fenomena lagu Cindai, Balqis dan Nirmala yang disenandungkan dengan indah oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.
Bukan itu sahaja, karya Pak Ngah juga cukup sinonim dengan Noraniza Idris apabila Ratu Irama Tradisional itu membuat kemunculan semula pada tahun 1997 dengan album pop tradisional, Ala Dondang.
Lagu-lagu ciptaannya yang mendapat sambutan serta menjadi siulan ramai adalah seperti Dikir Puteri, Dondang Dendang, Tinting, Hati Kama, Samrah Mentari, Yayadan, Nazam Berkasih, Candak dan banyak lagi.
Kejayaan yang membanggakan sehingga tercetusnya satu evolusi apabila album duet Noraniza dan Siti berjudul Seri Balas yang memuatkan lagu keramat, Hati Kama telah diangkat sebagai Album Terbaik AIM 1999.
Sejarah juga telah tercipta apabila ia merupakan julung kalinya album berkonsepkan tradisional dijulang dengan gelaran tertinggi dalam anugerah muzik penuh berprestij itu.
Kecewa
Semua kenangan manis itu akan bersemadi dan terpahat indah dalam lipatan sejarah bagi empunya diri.
Namun, jauh di sudut hatinya, Pak Ngah tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila muzik tradisional kini sudah semakin jauh ditinggalkan.
Apatah lagi lagu-lagu berkenaan juga sudah tidak lagi mendapat tempat di corong-corong radio popular berbanding sedekad yang lalu sewaktu lagu-lagu berkenaan mula menjengah pasaran.
Tegas Pak Ngah, seharusnya radio memainkan peranan yang penting untuk terus mengangkat lagu-lagu warisan bangsa lantaran pengaruh genre muzik itu sangat besar.
Berdasarkan analisis Pak Ngah, stesen radio tidak memberikan sokongan secara menyeluruh untuk memelihara khazanah bangsa.
Justeru beliau berpendapat, apabila radio popular tidak lagi memutarkan lagu-lagu tradisional, ia secara tidak langsung menyebabkan populariti lagu-lagu berkenaan hilang sedikit demi sedikit.
"Memang mustahil untuk lagu-lagu ini akan berkembang kalau hanya mahu bergantung kepada stesen-stesen radio milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) sahaja. Bukan itu sahaja, penerimaan terhadap lagu-lagu tradisional ini yang semakin berkurangan membuatkan saya sedikit ralat.
"Tetapi, saya harus sedar ini adalah realiti yang harus saya terima dan ia bukanlah satu halangan buat saya untuk terus berjuang dalam memartabatkan genre muzik ini," ujar anak jati Kuala Lumpur ini meluahkan apa yang terbuku hatinya.
Projek istimewa
Sehubungan itu, untuk meneruskan kelangsungan usahanya memelihara lagu-lagu Melayu, seniman yang berusia 51 tahun ini sedang dalam perancangan untuk menerbitkan album mini Juara Bintang Klasik Nusantara 2007 kategori lelaki, Mohammad Elfee Ismail yang merupakan anak kepada penyanyi veteran, R. Ismail.
Sememangnya, impak menerusi muzik yang dihasilkan Pak Ngah ternyata telah membawa namanya bukan sahaja di seluruh nusantara tetapi juga ke seluruh dunia.
Siapa yang dapat lupa lagu Cindai dan Dikir Puteri yang berkumandang pada malam penutup Sukan Komanwel 1998 yang disaksikan lebih 100 juta penonton di seluruh dunia.
Perbualan semakin rancak tatkala Pak Ngah mengkhabarkan satu berita gembira yang membuatkan dirinya rasa benar-benar dihargai hasil daripada kuasa dan penangan muziknya.
Memandangkan nama dan pengaruh muzik Pak Ngah begitu besar di Indonesia, rupanya ada pihak yang masih mempercayai kredibiliti dan kehebatan beliau dalam menghasilkan muzik irama Malaysia.
Semuanya bermula daripada seorang promoter dari Indonesia yang berkunjung ke Malaysia semata-mata mahu mencari Pak Ngah untuk sebuah projek rakaman album seorang artis baru Indonesia.
"Namun, selepas menilai kemampuan artis itu saya tidak begitu yakin dia mampu membawakan konsep tradisional dan etnik. Dia (promoter) menerima pandangan saya dengan hati terbuka.
"Tetapi, tidak berapa lama selepas itu, dia kembali lagi menemui saya untuk projek yang lain pula. Apabila melihat kesungguhannya yang datang dari jauh hanya mahu menemui saya, akhirnya saya mengalah," ceritanya penuh bersungguh.
Lantas, Pak Ngah menganjurkan satu uji bakat di Jambi, Indonesia sekitar awal tahun ini dan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih daripada 50 orang.
Hasilnya, tiga orang telah disenarai pendek oleh Pak Ngah dan menyedari kekuatan mereka akan terserlah seandainya digabungkan bersama, maka dengan itu tertubuh kumpulan yang diberi nama Bidadari.
Album sulung Bidadari yang dianggotai oleh Puteri, Pipin dan Wulan itu sudah pun dipasarkan oleh Warner Music Indonesia dan mendapat respons yang cukup positif meskipun membawa konsep pop etnik.
Memuatkan 10 buah lagu yang merangkumi enam buah lagu Melayu klasik seperti Penawar Rindu, Empat Dara dan Hari Ribut. Selebihnya adalah komposisi baru oleh Raja Kobat dan dirinya sendiri iaitu lagu Silang Silik.
"Album ini sememangnya menepati cita rasa pendengar dan masyarakat Indonesia yang kita tahu begitu banyak muzik etniknya. Saya begitu optimis dengan kemampuan Bidadari dan genre yang dipertaruhkan mereka," ujar bapa kepada sepasang cahaya mata ini lagi.
Legasi seni
Namun satu yang pasti, Pak Ngah berkali-kali menegaskan, dia sesekali tidak akan tunduk kepada kehendak ramai jika ada yang mahukannya memodenkan lagu-lagu irama Malaysia.
"Cara saya bekerja adalah berbeza dengan komposer lain. Saya tetap menghormati cara orang lain bekerja kerana masing-masing ada caranya," katanya ringkas.
Bagaimana pula dengan lagu Jelmakanlah Ayumu yang diciptanya untuk Siti dalam album Lentera Timur di mana komposisi lagu berkenaan menampilkan sisi lain Pak Ngah dengan apa yang pernah dicipta untuk Siti sebelum ini.
"Itu semua adalah kerana mengenangkan Siti sebagai seorang sahabat dan memenuhi kehendaknya yang mahu menampilkan pembaharuan dalam album itu," ujarnya tentang lagu tersebut yang dimuatkan dalam Album Terbaik AIM 2009 itu.
Sementara itu, ketika ditanya tentang perkembangan terkini Swatari, Swara dan Swakarya di bawah Pak Ngah Productions, tuan punya badan menjelaskan selama lapan tahun beroperasi, sambutannya semakin menggalakkan.
Sehingga kini, Swatari memiliki 100 orang ahli di bawah pengawasan isterinya, Datin Sharifah Mahani Syed Kassim atau lebih dikenali sebagai Mak Ngah serta mempunyai 10 orang tenaga pengajar di mana enam daripadanya adalah kanak-kanak.
Sementara itu, Swakarya yang merupakan pemuzik-pemuzik iringan di bawah pimpinan Pak Ngah sendiri pula mempunyai bilangan ahli seramai 60 orang.
Swara yang sering menjadi penyanyi latar dalam majlis persembahan pula mempunyai enam orang penyanyi latar tetap dan 60 orang jika untuk persembahan koir.
"Alhamdulillah, apa yang saya usahakan selama ini bersama isteri mendapat sambutan. Saya bangga kerana masih lagi ada anak-anak muda zaman ini yang mahu melibatkan diri dalam seni dan budaya warisan bangsa kita.
"Insya-Allah, dengan sokongan berterusan saya mahu melebarkan serta meluaskan lagi legasi seni saya ini," ungkapnya penuh harapan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: