Sunday, July 12, 2009

Reaksi kepada tulisan Siti Jarum minggu lalu

TERSINGGUNG sangat dengan SJAssalamualaikum,
Tergetar dan terusik jiwa saya apabila membaca tulisan Siti Jarum (SJ) mengenai Michael Jackson (MJ) yang tersiar di dalam Pancaindera pada hari ini.

Apa yang saya kalutkan? Apa yang saya sedihkan? Sehingga saya begitu terpanggil untuk menulis kepada surat khabar buat pertama kalinya di dalam hidup saya yang hampir 45 tahun ini.

Saya salah seorang peminat setia MJ semasa hayatnya. Banyak hasil kerja MJ dan MJ itu sendiri yang membawa kesan yang sangat positif kepada kehidupan saya. Dan saya percaya, ada berjuta hamba Allah di dunia ini, peminat MJ yang akan menyatakan perkara yang sama. Saya tak payah ulas satu persatu kesan MJ kepada saya sebab saya percaya SJ sendiripun menyedari hal itu. Itu hak kami, tidakkah begitu?

Seperti juga buat SJ, adalah hak anda untuk menulis "Apalah sangat MJ apabila dibuangkan semua elemen-elemen spektakular" di setiap pertunjukan pentas besar-besaran MJ.

Kalau itu pandangan SJ, itu hak anda. Tapi, adakah kerana anda mempunyai kuasa menulis di surat khabar perdana, maka anda mempunyai hak untuk menyinggung perasaan kami, khususnya peminat MJ? Apa hak anda untuk menggoncang perasaan kami di pagi Ahad ini, menambah kesedihan kami yang kehilangan salah satu pemangkin positif kepada kehidupan kami?

SJ tidak mempunyai hak untuk menulis persada dan memperlekehkan perasaan kami. Kami ini yang masih berada di dalam kesedihan. Kami ini yang merasakan kehilangan.

SJ, anda adalah seorang manusia. Begitu juga saya dan pembaca anda. Siti Jarum, saya tidak pasti dengan nama pojok yang anda pilih; adakah ia semata-mata untuk anda 'mencucuk' secara rambang. Yang saya harapkan ialah anda akan mempunyai jiwa yang halus umpama jarum, hati yang luhur, dan nurani jitu yang sentiasa berpaksikan 'kebaikan' di atas semua tulisan anda.

n Syarifah Adonis, Kuala Lumpur.

MJ sangat hebatTergerak hati saya untuk menulis di ruangan ini apabila Siti Jarum bercerita tentang Michael Jackson (MJ) dalam Pancaindera 5 Julai 2009. Siti jarum bertanyakan apa yang hebat sangat MJ?

Sebenarnya MJ memang seorang yang hebat. Dia lincah di pentas, hebat dengan tariannya, suara yang sedap, lagu-lagunya lain dari yang lain dan mempunyai banyak mesej contohnya Earth Song.

Gayanya menjadi ikutan, lagu-lagunya menjadi siulan dan aksinya sering diperkatakan.

Di Malaysia sebagai contohnya, kita ada Allahyarham Sudirman. Sudirman bersuara merdu dan bijak menghiburkan penonton, lagu-lagunya dekat di hati dan beliau juga meninggal dunia pada usia yang muda.

Kita juga dikejutkan dengan berita tentang MJ memeluk Islam pada akhir tahun lalu. Bagi saya tidak salah jika seseorang mualaf yang masih baru mengenal Islam tidak menjulang atau memperjuangkan Islam. Bagaimana pula dengan artis di negara Islam, yang dilahirkan Islam tapi berperangai seperti bukan Islam?

n Seseorang, Ipoh, Perak.

SJ layak jual nasi lemak sajaSaya terpanggil untuk memberi komen kepada cik 'Siti Jarum' yang entah siapa, menulis mengenai Michael Jackson di Mingguan Malaysia tempoh hari. Adakah Cik Siti membuat homework sebelum menulis satu artikel bertajuk; Apalah sangat dengan Jacko? Awak kenal siapa Michael Jackson? Entah awak pun belum ada di dunia. Adakah awak tidak tahu tiada penyanyi di dunia boleh menandingi suara MJ? Mengapa awak tidak berhenti menulis, menjual nasi lemak lebih sesuai. Kalau iya pun awak bukan peminat MJ, jangan menulis begitu. Amat memalukan dan awak kena minta maaf kepada peminat MJ. Awak mungkin cuma sesuai komen mengenai artis Malaysia sahaja.

n Baba, Melaka.

Siti Jarum mengguris hatiSalam untuk Siti Jarum (jika sekiranya Siti Jarum ini muslim). Saya betul-betul terpanggil untuk menjawab apa yang Siti Jarum tulis dalam Pancaindera - Ahad 5 Julai 2009. Artikel mengenai Michael Jackson (MJ) atau ditulis Jacko oleh Siti Jarum. Pertama kali membacanya saya masih boleh mengawal perasaan, walaupun terkilan sangat, tetapi setelah anak saya marah, sedih dan menangis dengan tulisan Siti Jarum, saya merasakan saya harus menulis untuk memberitahu Siti Jarum yang tulisan dia mengguris perasaan kami. Jika Siti Jarum tidak meminati MJ, sebaliknya memilih MLTR tidak mengapa, itu pandangan dan taste Siti Jarum, tetapi tidak perlulah menulis pandangan Siti Jarum untuk tatapan umum. Saya berani cakap, jika Siti Jarum berpeluang untuk bertemu dengan MJ semasa hayatnya, mungkin lain pula pandangan Siti Jarum.

MJ ialah ikon dunia hiburan, kalau Siti Jarum terlupa kerana keghairahan untuk mengungkit kelemahan MJ. Soal dia pandai menggunakan semua elemen canggih di pentas untuk menutup kelemahannya tidak timbul langsung. Sebenarnya itulah kreativitinya, yang tidak ada pada orang lain, dan kalau ada pun tidak setanding.

Saya mohon Siti Jarum lebih berhati-hati apabila menulis, kerana ini menyentuh hati dan perasaan orang lain.

n Mazura, Suri rumah.

Tahniah, Cik Siti JarumAssalamualaikum Cik Siti Jarum. Saya selalu ikuti tulisan pojok Cik Siti walaupun saya bukanlah remaja. Saya seorang warga akademik dalam bidang sosiologi. Saya setuju pandangan Cik Siti mengenai Jacko kerana Cik Siti melihat dari sudut sosiologi. Saya tertarik dengan pemerhatian Cik Siti tentang robotic age yang melahirkan gesture penampilan Jacko.

Saya tidak pasti adakah Cik Siti mendalami bidang sosiologi atau antropologi. Tapi banyak tulisan Cik Siti dan tentang Jacko juga ada pengetahuan mengenai sosiologi. Saya sangat setuju dengan Cik Siti bahawa Jacko bukan hebat. Saya setuju bahawa yang nampak hebat kepada Jacko adalah penciptaan persembahan iaitu teknologi pementasan. Biasanya peminat-peminat Jacko khususnya di negara ini tidak dapat bezakan antara kehebatan penyanyi dengan pentas yang spektakular. Mereka hanya tengok tapi tidak nampak.

Saya lihat sepanjang selepas kematian Jacko tidak ada yang mengulas secara telus dan berprinsip kecuali Cik Siti. Ini bukan soal menghina orang yang sudah meninggal dunia atau sebaliknya. Perbahasan mesti dibebaskan dari belenggu emosi. Cik Siti, teruslah menulis.

* MARIANA
Bandar Baru Bangi, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: