Sunday, July 12, 2009

Pernah kerja tarik kabel

Nama Adlin dan Badul lebih dikenali namun Amran memiliki pelbagai kisah berwarna-warni legasi A.R. Tompel daripada hidup merempat sehingga menjadi usahawan kafeteria.








AMRAN mengakui sudah merasa asam garam sebagai artis di Singapura pada era A. Rahim, Salim Bachik, Rahimah Rahim dan ramai lagi.


SESEKALI bagi yang pertama kali bertemunya sibuk menjalankan perniagaan makanan di Presint 1, Putrajaya pasti menyangka dia sebagai arwah bapanya. Tidak kurang ada yang berani menyapa dan bertanya: “Muka awak ni macam A.R. Tompel?”

Ironi soalan sedemikian jelas menggambarkan populariti allahyarham bapanya itu masih diingati biarpun telah meninggalkan kita selama lebih tiga dekad. Namun, bagi Amran Aman Ramli, 59, dia selesa dengan kehidupan sederhana itu biarpun tidak mewah.

“Masa kecil saya dan adik-beradik lain tak berani soal mengenai kerja abah malah arwah langsung tidak tawar kami jadi pelakon waima watak kecil,” katanya ketika ditemui di kafeteria diusahakannya di blok Jabatan Peguam Negara.

Enggan menumpang tuah A.R. Tompel, hidup sebagai anak keluarga seni bukan seindah yang disangka. Amran yang dilahirkan di Singapura tidak pernah keluar dari negara pulau itu sehinggalah berpindah rumah ke Johor pada tahun 1980.

Ketika itu barulah dia faham erti hidup biarpun berasal daripada keluarga popular. Ia jauh berbeza sewaktu di Singapura. Malah Amran sebenarnya sudah bekerja tetap di Bank Standard Chartered selepas tamat program kerahan tenaga republik itu.

“Bayangkan selama dua tahun saya kena pegang senjata api semasa menyertai program wajib khidmat negara Singapura apabila berusia 18 tahun. Memang seronok dan kerana rekod cemerlang, saya ditawarkan bekerja di bank,” tambahnya.

Ia suatu pencapaian hebat kerana bukan mudah anak Melayu mendapat kerja tetap ditambah pula fasih bahasa Inggeris yang dianggap ‘kelas tinggi’ pada dekad 1970-an. Namun jiwa Melayu Amran cukup kuat dan dia kurang selesa tinggal di sana.

Harga ‘perpindahan’ itu menyaksikan Amran bekerja keras bagi menyambung hidup termasuk menjadi pekerja kontrak Tenaga Nasional Berhad. Tugas rutinnya menarik kabel berat untuk penyenggaraan bekalan elektrik di sekitar Johor Bahru.

“Hidup susah semasa baru pindah ke sini walhal di Singapura, saya cukup terkenal bahkan sering diundang untuk program hiburan, komedi dan drama TV terbitan Perbadanan Penyiaran Singapura,” katanya yang kini memiliki empat orang anak.

Dia yang waktu itu menetap di Jurong ialah anak bongsu daripada tiga beradik selain Armaya atau popular dikenali sebagai A.R. Badul dan Anuar. Ia hasil perkahwinan A.R. Tompel bersama P. Suriati, isteri pertama daripada empat isterinya.

Tetapi isteri terakhir ada kisah unik. Ketika hujung filem Anak Bapak, A.R. Tompel menjatuhi hukuman ke atas dirinya sendiri dengan mengahwini Rominah Sidek. Isteri keempat dan lebih mesra sebagai Mak Mah itu ialah ibu Adlin Aman Ramli.

“Orang lebih kenal Badul dan Adlin namun muka saya juga yang nampak mirip macam arwah abah. Bezanya, mereka cuma berbakat dalam lakonan manakala saya selain pernah berlakon, saya juga pandai menyanyi,” cerita Amran merendah diri.

Menjadikan semangat bapanya yang diiktiraf Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebagai sutradara pertama Melayu, Amran sudah berlakon dalam 22 buah drama dan 15 buah filem. Aneh, semua wataknya sebagai pelakon tambahan.

Sibuk dengan dunia lakonan, Amran hanya menikahi isterinya kini, Anas Salmi Syed Muhamad semasa berumur 40 tahun. Tawaran berlakon ketika itu mulai kurang dan dia kemudian menceburi bidang perniagaan hasil simpanan sewaktu muda.

“Bayangkan saya bukan popular malah dapat berjumpa Badul kali pertama pun waktu berumur 22 tahun. Mujur saya suka berjimat-cermat dan kini boleh lagi mampu membeli sebuah rumah sendiri di Senawang, Negeri Sembilan,” ujarnya lagi.

Namun, dia tidak cemburu dengan kejayaan adik-beradiknya yang lain. Katanya, itu rezeki mereka dan Amran pernah merasai zaman kegemilangan bergelar artis di Singapura pada era A. Rahim, Salim Bachik, Rahimah Rahim dan ramai lagi.

Menyentuh nama Tompel pada bapanya, Amran menjelaskan, ia hanya nama rekaan arwah untuk watak utama pementasan bangsawan sekitar 1930-an. Bapanya sendiri turut melakonkan watak itu sehingga menjadi terkenal dengan gelaran Tompel.

Hari ini, selain sibuk berniaga di kafeteria, Amran juga menerima undangan menjadi pengacara majlis keramaian termasuk sebagai penghibur dalam kenduri perkahwinan. Darah seninya tetap ada cuma pendekatan mungkin sikit berbeza.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: