Sunday, July 12, 2009

Pengetua spa belajar anatomi

Rahatul Baney menubuhkan Energy Academy Spa dua tahun lalu bagi mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap imej spa.




GARA-GARA berita pertukarannya ke bahagian pengurusan spa dan komunikasi di sebuah syarikat korporat pada beberapa tahun lalu dicanang oleh ibunya kepada jiran tetangga, dimensi Rahatul Baney Mohd. Amin, 37, terhadap bidang ini berubah.

Secara tidak langsung juga, minat Rahatul yang mesra dipanggil Baney terhadap rawatan kesihatan alternatif seperti shiatsu, urutan dan spa sejak di bangku sekolah rendah mekar semula.

Beliau masih ingat, ketika itu pantang ada majalah atau artikel mengenai kesihatan, pasti akan dibaca walaupun beliau kurang faham isi kandungannya.

Anak tunggal ini juga sering dicabar si ibu, Asmah Hamzah, 64, supaya menceburi bidang ini.

"Semakin saya membesar, minat itu semakin meluap-luap. Bila saya ditugaskan di bahagian spa dan komunikasi kira-kira enam tahun lalu, ibu saya mencabar saya agar melakukan sesuatu yang luar biasa di situ," imbau Baney.

Masa bersilih ganti dan kini, beliau membuktikan horizon spa bukan hanya terhad di pusat-pusat kecantikan atau hotel.

Kini, selaku Pengetua Energy Academy Spa, misinya untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap spa semakin menampakkan hasil dengan penubuhan akademi itu dua tahun lalu.

"Terlalu banyak cerita hitam dan kelabu apabila masyarakat bercakap tentang spa. Bertitik tolak untuk mengubahnya, saya menggunakan landasan pendidikan untuk 'memutihkannya'," ujar Baney tenang.

Justeru, kembara pencarian ilmu untuk mendalami teknik urutan serta pengurusan spa telah membawanya hingga ke Filipina dan Thailand.

"Rupa-rupanya di Malaysia tidak ada satu kursus yang dijalankan secara profesional. Kebanyakan pengurut dan ahli terapi yang bekerja di spa hanya berlandaskan pengalaman," jelasnya.

Tidak mahu perkara tersebut berpanjangan, Baney bersama sahabatnya, Datin Ramona sepakat membuka akademi itu bagi memberi pendidikan secara sistematik dan profesional.

"Semenjak Energy Academy Spa mewujudkan kursus pengendalian spa secara profesional, saya lihat sendiri bagaimana ia perlahan-lahan mengubah pandangan masyarakat terhadap spa," kata anak jati Segambut, Kuala Lumpur ini.

Berkongsi cerita, beliau berkata bukan mudah untuk kembali memasuki kelas selepas sekian lama di alam pekerjaan.

"Namun, saya yakin jika saya sendiri tidak turun padang, macam mana saya nak terangkan suasana sebenar pembelajaran di sini kepada pelajar dan ibu bapa mereka?," kata Baney yang telah dikurniakan seorang anak.


BANEY kini mengusahakan sekolah pengurusan spa bersama seorang teman.


Antara silibus yang paling menarik di sini ialah mempelajari anatomi manusia selain teknik pernafasan yang betul.

Baney mengakui, setelah mempelajari mengenai anatomi, kaedah mengurut akan menjadi lebih berkesan kerana kita mempunyai pengetahuan mengenai otot, saraf dan tulang.

"Ini penting untuk diadaptasikan dengan teknik urutan yang dikehendaki oleh pelanggan. Dalam masa yang sama, kita boleh mengesyorkan teknik yang bersesuaian mengikut keperluan tubuh pelanggan," cerita beliau.

Penggunaan istilah-istilah perubatan secara tidak langsung turut menyerlahkan pengetahuan ahli terapi dan tukang urut.

Menurut Baney, urutan yang diperoleh di spa bukan sekadar mengurangkan kesakitan otot atau keletihan.

"Ia melibatkan sentuhan manusia. Sentuhan ini penting dan setiap orang memerlukannya. Dengan teknik yang betul, ia boleh meredakan kesakitan, memberi ketenangan serta mengurangkan tekanan," jelasnya yang gemar berjoging sekiranya mempunyai waktu lapang.

Baney sendiri dapat merasakan aura yang dialirkan daripada tubuh pesakit itu yang penat, tertekan dan sakit ketika mengurut.

"Itulah ajaibnya sentuhan urutan. Sebab itulah saya berusaha menubuhkan akademi ini," ungkapnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: