Thursday, July 23, 2009

Norish ambil hati bakal ibu mertua

Sejak aktres jelita, Norish Karman bercerai dengan suaminya beberapa bulan lalu, dia dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang jejaka yang lebih muda, Mohd Luqman Mohd Amin, yang juga abang kepada penyanyi dan pelakon Farah Dhiya.

Walaupun sebelum Norish yang lebih mesra disapa sebagai NK, pernah menafikan hubungan istimewanya itu, khabar angin tentang hubungan mereka kini terus bertiup kencang.

Menguatkan lagi dakwaan, Norish sejak kebelakangan ini dilihat sering bersama ibu Loqman, malah ketika majlis ramah mesra dengan pelakon drama bersiri Lagenda terbaru TV3, ‘Puteri Aurora Beradu’ di Saloma Bisto, Ampang, Norish Karman turut ditemani ibu Loqman itu.

Sepanjang majlis itu, mereka dilihat sangat akrab, malah Norish sempat mengambilkan makanan untuk bakal mentuanya itu. Situasi ini menunjukkan petanda yang baik dalam hubungan Norish dan Loqman dan tidak hairan sekiranya mereka akan bersatu nanti.

Namun sayangnya, kearaban mereka itu tidak dapat dirakam demi menghormati permintaan Norish yang tidak mahu ibu Loqman itu turut diheret sama dalam situasi yang sedang dilaluinya.

“Tolonglah jangan libatkan dia. Apa yang boleh saya katakan, kami adalah kawan baik dan dialah ‘bestfriend’ saya. Tak ramai yang nak berkawan dengan saya, sebab ramai yang takut dengan kes saya (penceraian). Begitu juga dengan Loqman, dia juga kawan baik saya.

“Kalaulah satu hari nanti kami tidak lagi berkawan, saya tetap akan berkawan baik dengan mak dia, sebab dialah satu-satunya kawan yang saya ada,” ujar Norish yang mula dikenali melalui lakonannya dalam filem Sayang Salmah, sedikit masa lalu.

Menyentuh tentang pelbagai dakwaan dan gosip yang kurang enak dilemparkan pada dirinya setelah kembali ‘single’, Norish yang kini turut mengacarakan program Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, berkata, ia adalah sebahagian dari lumrah kehidupan sebagai artis.

Ditambah pula dengan status ‘MJ’ (Mak Janda) yang baru dimilikinya itu seolah-olah memberi ruang yang mudah untuk dirinya terus dikecam masyarakat. Tindak-tanduknya bukan sahaja menjadi perhatian tetapi juga semakin menjadi buah mulut orang.

“Masyarakat kita selalu berfikir negatif terhadap wanita seperti saya (janda) hinggakan saya keluar menonton konsert Rossa pun menjadi isu. Malah soal saya keluar dan berkawan dengan sesiapa pun juga menjadi isu, sedangkan itu hak saya untuk berkawan dengan sesiapa pun. Saya tak kisah dengan semua kritikan itu kerana saya tetap akan meneruskan kehidupan saya seperti biasa.

“Saya ingin bertanya, apakah salah, sekiranya saya ingin meneruskan kehidupan? Takkan sudah bercerai saya harus berdiam diri, duduk di rumah, termenung sana-sini? Saya bukan seperti itu, kerana saya ada kehidupan yang harus diteruskan. Saya ada anak-anak dan ada karier untuk diteruskan dan itulah keutamaan saya sekarang,” kata Norish.

Tuntut hak dengan bekas suami

Dalam pertemuan itu Norish turut diminta penjelasan tentang tuntutan harta sepencariannya bersama bekas suami yang dikatakan agak keterlaluan.

Menurut laporan dalam hujahan bertulis sebelum ini, Norish bukan sahaja menuntut lima buah kereta (Nissan Murano, Nissan Elgrand, BMW 6 Series, Stavic dan Toyota Caldina) tetapi juga lima buah rumah yang ada di antaranya mencecah harga RM2 juta dari bekas suaminya.

“Orang mungkin salah faham, saya bukannya minta kesemua kereta atau rumah itu, tetapi saya hanya menyenaraikannya untuk Datuk membuat pilihan. Saya bukannya tamak, nak lima kereta atau lima rumah, tapi apa yang saya minta tu mengikut kemampuan Datuk dan terpulanglah padanya nak bagi yang mana satu.

“Salahkah saya menuntut hak sebagai isterinya selama 10 tahun dan ibu kepada anak-anaknya? Saya buat semua ni bukannya untuk kepentingan diri sendiri semata-mata tetapi untuk anak-anak saya. Bapa mereka orang kaya, jadi salahkah saya minta hak untuk mereka juga? Saya tahu pendapatan Datuk banyak mana, jadi apa yang saya minta itu adalah mengikut kemampuannya. Sekarang ni pun, saya hanya minta yang asas sahaja.

“Terus-terang selepas bercerai, saya tak ada rumah, tak ada kereta. Jadi terpaksa saya anak-beranak tinggal di rumah sewa. Untuk pergi kerja dan hantar anak-anak ke sekolah pun saya terpaksa pinjam kereta dengan kawan dan ada kalanya naik teksi sahaja. Dengan duit hasil berlakon itulah saya bayar sewa rumah dan tanggung anak sekolah,” kata Norish yang tidak menafikan bekas suami memberi sedikit nafkah untuk anak-anaknya.

Tambah Norish, kes tuntutannya di mahkamah itu tidak akan berlanjutan sekiranya bekas suami mahu menyelesaikan dengan cara yang baik. Sungguhpun kesnya masih belum menemui jalan penyelesaian, namun kata Norish ia sedikit pun tidak mengganggu emosinya untuk meneruskan karier dan kehidupannya seperti biasa.

Sisi gelap Norish

Beralih tentang lakonannya dalam drama bersiri Legenda, ‘Puteri Aurora Beradu’, kata Norish, inilah kali pertama dia melakonkan watak jahat. Dalam drama versi ‘Sleeping Beauty’ arahan Fairuz Loy itu, NK membawa watak sebagai Sofea yang mengalami tekanan jiwa setelah jejaka yang dicintainya, Imran,(Eizlan Yusof) berkahwin dengan wanita lain, Aishah (Rozita Che wan). Dia kemudiannya berdendam dengan keturunan Imran dan menyihir anak mereka, Puteri Aurora (Memey) atas bantuan seorang bomoh, Mak Itam (Wan Maimunah).

“Pada mulanya pengarah menawarkan saya watak Aishah tu, tapi saya menolaknya sebab saya teringin sangat nak berlakon jahat. Sebelum ni dah selalu sangat saya berlakon baik, jadi saya nak keluar dari karakter macam itu. Mujurlah akhirnya, pengarah beri juga peluang untuk saya bawa watak jahat tu.

“Untuk jadi Sofea, saya harus cipta karakter Sofea itu sendiri. Dari segi imej dan penampilan, saya banyak pakai rambut palsu memandangkan drama ini berkisar dalam tiga abad yang berbeza. Saya juga banyak bermain dengan warna dan warna hitam dan merah dilihat paling sesuai dengan karakter Sofea yang jahat. Selain itu, saya juga banyak membuat latihan dari segi mimik muka dan bermain dengan emosi, termasuklah cara ketawa dan menangis yang luar biasa, kerana watak Sofea ni ‘mental’ orangnya.

“Sepanjang dua bulan ‘shooting’ drama ni, saya rasa penat sangat. Sebab hampir hari-hari ada shooting. Hari-hari jugalah saya kena bangun dan jadi orang lain. Terus-terang, memang stres jadi Sofea sebab saya kena tukar karakter saya untuk dapatkan ‘mood’ yang jahat itu.

“Tapi macam mana pun, saya mampu kawal diri saya dengan membezakan antara lakonan dan realiti dan Alhamdulillah, watak itu tidak mempengaruhi kehidupan saya,” kata Norish yang kemungkinan besar akan kembali sebagai Qistina dalam SPA Q musim ketiga.

‘Puteri Aurora Beradu’ yang diterajui pelakon utama, Memey Suhaiza dan Iqram Dizinly ini sudah pun mula ditayangkan menerusi slot Lagenda, setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di TV3, manakala ulangannya pula di TV9, jam 8.30 malam.

1 comment:

  1. sudah sudahlah norish....awak dah tua.berubah la.
    x malu ke nak tagih harta org sedangkan awak yg
    curang.kalau saya jadik datuk tu, satu sen pun x bagi kat awak..sbb awak x sedar diri...hope datuk
    dijodohkan dgn wanita yang sesuai dan beriman...
    AMIN...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: