Thursday, July 23, 2009

'Kenapa tiada siapa meminang?'


KUALA LUMPUR: “Tak boleh saya berkawan dengan lelaki. Jika berkawan, mesti orang kata kami bercinta. Jika benar saya menjalin hubungan dengan seseorang, kenapa sampai sekarang tiada sesiapa masuk meminang?

“Hakikatnya saya masih solo dan tidak bercinta dengan sesiapa pun termasuk Asrarudin Putra Omar,” jelas pelakon jelita Rozita Che Wan mengenai gosip dia menjalin hubungan intim dengan pemain bola sepak Selangor itu.

Mulanya Rozita enggan komen gosip yang kian tersebar luas itu, namun sikap berdiam dirinya tidak mampu menahan pelbagai pihak daripada terus memperkatakan hubungannya dengan Asrarudin.

Tegas ibu tunggal itu, dia tidak bercinta dengan Asrarudin, sebaliknya mereka hanya kawan biasa.

Rozita berkata, dia yang aktif bermain futsal berkenalan dengan Asrarudin di gelanggang sukan itu.“Kami kawan biasa dan sebagai kawan saya selesa berkongsi cerita dengannya. Salahkah saya berkawan. Apakah sebagai artis saya tidak boleh berkawan dengan sesiapa. Asal saja saya berkawan dengan lelaki, orang kata kami bercinta. Adakah cinta saya semurah itu diberikan kepada sesiapa saja.


“Takkan baru kenal sehari dua, sudah jatuh cinta. Saya bukan muda lagi untuk menabur cinta sana-sini. Sebelum ini saya dikaitkan dengan golongan VIP sedangkan saya tidak kenal mereka pun. Puas saya menafikannya. Sudah sering digosipkan dengan VIP, sekarang dengan pemain bola sepak pula. Entah bila gosip macam ini akan berakhir.

“Apabila digosipkan dengan VIP, isteri mereka cuak dengan saya. Sekarang mereka yang ada anak bujang pula bimbang anak mereka berkawan dengan saya. Sebagai artis saya sudah lali dengan gosip, tetapi saya kasihankan Asrarudin.

“Tentu dia ada wanita idaman. Apa pula kata orang tuanya. Beza usia dia dengan saya macam langit dengan bumi dan boleh dijadikan adik. Jarak usia anak sulung saya (Amar Affendy Azuar Effendy, 13,) dengan Asrarudin, lapan tahun. Dia baru 21 tahun.

“Saya masih waras. Seperti orang lain, saya juga perlukan kawan dan sejak berkenalan dengan Asrarudin di gelanggang futsal saya suka berkawan dengannya. Sebelum ini saya selalu berkepit dengan adik (Ayu Raudhah), tapi apabila saya berkawan saja, ini jadinya.

“Bukan saya tak mahu mencari kawan perempuan, tapi tetap ada masalah. Susah jadi artis. Gerak-geri kita diperhatikan dan dituduh macam-macam. Kadangkala kalau nak makan di luar saya ajak Ayu pergi makan di restoran yang jauh dari orang ramai, tapi dalam pada cuba ‘bersembunyi’, orang tetap mengata yang bukan-bukan terhadap saya,” katanya.

Gosip Rozita dengan Asrarudin mula menjadi bualan apabila dia menemani Ayu menonton perlawanan persahabatan antara pasukan Malaysia dengan Manchester United (MU) di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Sabtu lalu.

Ayu yang kini intim dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak yang turut bermain dalam perlawanan persahabatan itu, mengajak Rozita menemaninya. Pada masa sama, Rozita memang meminati sukan terutama bola sepak dan futsal.

“Anak saya pula meminati pasukan MU dan Asrarudin turut beraksi pada malam itu. Jadi sebagai kawan, salahkah saya datang memberikan sokongan. Dek kerana gosip itu sekarang saya tidak sedap hati meneruskan persahabatan dengan Asrarudin.

“Tolong hentikan gosip yang tidak berasas ini. Hati saya belum terbuka untuk bercinta lagi dan berkahwin buat kali kedua. Saya selesa dengan kehidupan sekarang dan tumpuan lebih kepada kerja serta anak. Mujur mereka sangat memahami dan tahu siapa ibu mereka sebenarnya. Lepas ini dengan siapa pula saya kena gosip,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: