Monday, July 13, 2009

Ketenangan kembali pulih


PENDUDUK mula melakukan urusan seharian mereka di Urumqi, China semalam.


URUMQI - Ketenangan kembali semalam ke bandar raya Urumqi di China selepas 184 orang terbunuh dalam keganasan etnik seminggu lalu.

Kedai-kedai dibuka semula dan kesesakan jalan raya kembali menjadi satu fenomena di bandar raya di wilayah Xinjiang itu.

Sebelum ini, etnik Uighur yang kebanyakannya beragama Islam merusuh dan menyerang etnik Han yang membentuk majoriti penduduk di China.

Anggota-anggota keselamatan melakukan rondaan di kawasan-kawasan kediaman semalam.

Menurut pengiraan rasmi, 137 ornang yang terbunuh ialah etnik Han manakala 46 lagi merupakan etnik Uighur.

Menurut pemerintah, angka kematian akan meningkat lagi.

"Ia kelihatan seperti keadaan mula pulihseperti biasa tetapi saya berpendapat terdapat masalah yang bakal berlaku," kata seorang penjaja daripada etnik Han iaitu Xia Lihai.

Menurutnya, terdapat risiko bahawa protes di kalangan penduduk etnik Uighur akan berlaku.

Dia berkata, keadaan itu berlaku setelah tangkapan dan perbicaraan berhubung kes itu bakal dilaksanakan.

Pada pagi semalam, sebuah pusat penapisan minyak terbakar di pinggir bandar raya ini tetapi kebakarannya dapat dikawal.


ANGGOTA-ANGGOTA polis berkawal di luar pasar utama di Urumqi, China semalam.


Namun, polis dan pegawai-pegawai pusat penapisan menafikan ia merupakan satu serangan yang sengaja dilakukan.

Kelmarin, seorang pegawai kanan yang mengendalikan isu keselamatan iaitu Zhou Yongkang mendesak supaya kawasan keselamatan ditingkatkan untuk mengekalkan kestabilan di wilayah tersebut.

Stesen-stesen televisyen menyiarkan rayuan berhubung pentingnya kehidupan berharmoni di kalangan etnik.

Beberapa pegawai bandar raya di Urumqi menyalahkan punca keganasan terhadap imigran yang miskin di selatan Xinjiang.

"Sekumpulan penjenayah dalam rusuhan yang berlaku pada 5 Julai lalu berasal dari bandar yang terletak 1,500 kilometer jauhnya seperti Kashgar dan Hotan sekali gus menunjukkan ia dilakukan dengan terancang," kata agensi berita China News Service semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: